Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda Selangor mahu pimpinan sukan main peranan, cari bakat baharu

SHAH ALAM, 14 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menitahkan pimpinan dalam sektor sukan memainkan peranan masing-masing demi kejayaan semua jenis sukan.

Tengku Amir Shah bertitah peranan pemimpin penting untuk mencari bakat baharu yang dapat mengharumkan nama negara.

“Dalam membina kualiti dengan mencari juara, kita perlu sedar pentingnya akar umbi dan selepas itu diikuti pengasas seperti sesebuah organisasi atau syarikat tempatan,” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah menerusi sesi dialog ‘Selangor Youths Have A SAY: Visi Sukan Negara Townhall’ yang diadakan secara maya hari ini.

Selangor Youth Community (SAY) menganjurkan sesi dialog sempena jelajah maya Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Sekretariat VSN2030, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor F.C.) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor).

Tengku Amir Shah yang juga pengasas SAY bertitah pembangunan sesebuah sukan berdepan dengan tiga cabaran iaitu jurang antara fasiliti profesional dan komuniti, campur tangan politik dan program kelestarian yang efektif.

“Selain daripada kekurangan fasiliti, jurang antara profesional dan komuniti juga merupakan cabaran dalam pembangunan sukan.

“Penglibatan politik juga ditolak kerana tiada tempat untuk politik dalam sukan kerana tidak diperlukan sebaliknya perkara dititik berat ialah atlet dan pengurusan pentadbiran.

“Cabaran ketiga pula kekurangan program kelestarian yang efektif kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada agensi korporat dalam aktiviti sukan,” titah baginda.