Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda Selangor mahu pimpinan sukan main peranan, cari bakat baharu

SHAH ALAM, 14 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menitahkan pimpinan dalam sektor sukan memainkan peranan masing-masing demi kejayaan semua jenis sukan.

Tengku Amir Shah bertitah peranan pemimpin penting untuk mencari bakat baharu yang dapat mengharumkan nama negara.

“Dalam membina kualiti dengan mencari juara, kita perlu sedar pentingnya akar umbi dan selepas itu diikuti pengasas seperti sesebuah organisasi atau syarikat tempatan,” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah menerusi sesi dialog ‘Selangor Youths Have A SAY: Visi Sukan Negara Townhall’ yang diadakan secara maya hari ini.

Selangor Youth Community (SAY) menganjurkan sesi dialog sempena jelajah maya Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Sekretariat VSN2030, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor F.C.) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor).

Tengku Amir Shah yang juga pengasas SAY bertitah pembangunan sesebuah sukan berdepan dengan tiga cabaran iaitu jurang antara fasiliti profesional dan komuniti, campur tangan politik dan program kelestarian yang efektif.

“Selain daripada kekurangan fasiliti, jurang antara profesional dan komuniti juga merupakan cabaran dalam pembangunan sukan.

“Penglibatan politik juga ditolak kerana tiada tempat untuk politik dalam sukan kerana tidak diperlukan sebaliknya perkara dititik berat ialah atlet dan pengurusan pentadbiran.

“Cabaran ketiga pula kekurangan program kelestarian yang efektif kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada agensi korporat dalam aktiviti sukan,” titah baginda.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda serah makanan, duit raya kepada anak yatim

KAJANG, 28 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim dan Miskin Anak Yatim Rukaiyah, Sungai Merab hari ini.

Antara yang disumbangkan Tengku Amir Shah adalah barang makanan, biskut raya, pelitup muka dan komputer riba manakala 33 penghuninya menerima duit serta baju raya.

Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau pusat jagaan itu selain beramah mesra bersama penghuni serta kakitangannya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Komuniti Belia Selangor (SAY) berkata sumbangan terbabit menerusi program Sunway Raya Cheer yang dijalin bersama Sunway Group.

Nurul Azwa Mohd Rodzi berkata kerjasama memasuki tahun ke empat itu membabitkan 190 anak yatim dari empat rumah kebajikan dengan peruntukan hampir RM28,000.

“Selain rumah kebajikan ini, sumbangan turut diberi kepada Persatuan Kebajikan dan Perlindungan Rumah Jalinan Kasih di Cheras serta Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa dan rumah anak yatim bukan Islam, Shelter Home For Children di Petaling Jaya.

“Tahun ini serahan agak berbeza kerana pandemik Covid-19. Selalunya kita bawa anak-anak ini membeli baju raya tetapi kali ini kita beli dan hantar kepada mereka,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerjasama SAY-UiTM perkasa belia OKU Selangor

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Selangor Youth Community (SAY) menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkasa belia kelainan upaya (OKU) negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SAY Nurul Azwa Rodzi berkata gabungan julung kali membabitkan pelaksanaan beberapa projek demi manfaat golongan itu pada masa hadapan.

“Kami dapati golongan OKU tidak banyak diiktiraf dan disebabkan itu kalau boleh kita mahu kerjasama erat antara kedua-dua pihak ini berterusan.

“Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah juga dijadual turun padang menjayakan program lain yang sedang dibincangkan,” katanya pada program pusingan akhir Liga Usahawan OKU (SAY LEAD) di sini semalam.

Azwa mewakili SAY menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tersebut bersama Timbalan Canselor UiTM Prof Dr Roziah Janor sambil disaksikan Tengku Amir Shah.

Menurut Azwa, seramai enam mentor dari Fakulti Keusahawanan dan Pemasaran universiti terbabit mengendali kursus bimbingan niaga secara dalam talian terhadap peserta SAY LEAD tahun ini.

“Kami mengakui tahap pemahaman golongan ini (OKU) terhadap kursus bimbingan secara maya mengambil sedikit masa tetapi mentor akan pantau dan nilai prestasi mereka setiap minggu,” katanya lagi.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sasar lahir jaguh usahawan, seni setanding global

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Selangor Youth Community (SAY) menyasar untuk menghasilkan jaguh berkualiti dalam pelbagai cabang setanding global menjelang 2027.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata usaha itu selaras visi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor untuk mencungkil bakat belia termasuk orang kelainan upaya (OKU).

Nurul Azwa Rodzi menjelaskan antara teras utama yang dikenal pasti meliputi keusahawanan, sukan, seni kreatif dan khidmat masyarakat.

“Kita membawa hasrat besar Tengku Amir Shah iaitu juara dunia yang mahu dilahirkan bukan diukur daripada kuantiti semata-mata sebaliknya menekankan aspek kualiti.

“Justeru, kita percaya “pocket rocketman” seterusnya adalah dari Selangor yang akan membanggakan Raja Muda dan negeri ini,” katanya ditemui pada pusingan akhir Liga Keusahawanan OKU (SAY LEAD) di sini semalam.

Tengku Amir Shah berkenan memilih tiga peserta terbaik pada pusingan akhir liga yang berlangsung sejak November tahun lalu membabitkan 20 peserta.

Selain diberi tunjuk ajar berhubung pengurusan perniagaan, peserta turut didedahkan pengurusan akaun dan strategi pemasaran serta kursus komunikasi.

Sementara itu, Azwa berkata organisasi terbabit bangga dengan pencapaian usahawan seni Muhammad Azizi Abdul Latif, yang memenangi anugerah Prince’s Trust dalam pameran secara maya tahun lalu.

“Ini penyertaan pertamanya dan jika kita boleh bawa masuk beliau ke lebih banyak acara, mungkin berpotensi untuk merangkul anugerah peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Muhammad Azizi, 31, yang mengalami kecacatan pada tangan kanan turut memenangi Liga Keusahawanan OKU Selangor pada tahun lalu.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang RM575,000 rancak aktiviti Selangor FC, SAY

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM575,000 kepada Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) dan Selangor Youth Community (SAY).

Serahan dana oleh Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini bagi menyemarakkan aktiviti belia negeri.

Haris dalam kenyataan berkata sebanyak RM500,000 diagihkan kepada Selangor FC manakala RM75,000 diserahkan untuk pembangunan organisasi SAY.

Beliau menjelaskan MBSA juga bersedia menyalurkan kepakaran dan bantuan lain meliputi aspek logistik kepada pasukan Selangor untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

“Di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor, kami berharap sumbangan ini menjadi pembakar semangat kepada pemain Red Giants untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Kami juga mahu mendekatkan lagi hubungan dengan warga Shah Alam yang rata-ratanya penyokong tegar pasukan Selangor,” kata Haris.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon menyambut baik sumbangan oleh pihak berkuasa tempatan itu untuk pembangunan akar umbi bola sepak.

“Usaha MBSA perlu diberi galakan kerana mereka ingin menghidupkan komuniti sukan. Sumbangan ini bukan hanya untuk pasukan utama tetapi pembangunan peringkat akar dan akademi bola sepak lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jom ke Pesta Ke’Chill Rantai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 JAN: Orang ramai dipelawa hadir memeriahkan Pesta Ke’Chill Rantai, yang bakal berlangsung di Laman Budaya Shah Alam, di sini, pada 27 Januari ini.

Acara bulanan anjuran Selangor Youth Community (SAY Community) dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Sunway Group itu bermula dari jam 12 tengahari hingga 7 petang.

SAY dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, program itu bakal mempamerkan artis dan penghibur tempatan dalam usaha menonjolkan bakat dan karya mereka kepada khalayak umum.

“Ia juga sebagai medium membawa komuniti yang memiliki bakat kreatif untuk berhimpun di bawah satu bumbung sama,” katanya.

Lebih menarik, program berkenaan menyajikan persembahan muzik, puisi, graffiti, bazar kreatif dan kendera saji (food truck).

Categories
SUKANKINI

FAS senarai pendek 8 jurulatih kendali Red Giants

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyenarai pendek lapan individu berpotensi menjadi ketua jurulatih pasukan Selangor.

Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia terdiri daripada seorang jurulatih tempatan dan tujuh jurulatih asing.

Katanya, kelebihan akan diberikan jurulatih yang pernah berada dalam Liga Malaysia.

“Kita tidak mahu menandatangani pemain atau pengurusan tanpa mendapat persetujuan ketua jurulatih, sebab itu pentingnya pelantikan ketua jurulatih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran SAY IGNITE 2018 di Hotel Sunway Putra, di sini.

Katanya, barisan kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bertungkus-lumus menjalankan temu duga mencari ketua jurulatih baharu.

Pada masa sama, katanya, baginda turut menghormati keputusan Mehmet Durakovic menarik diri sebagai jurulatih Selangor, beberapa hari lalu.

“Tidak dinafikan, persiapan sedikit tergugat kerana kita sudah menandatangani beliau dua bulan lalu, namun kita menghormati keputusan itu,” katanya.

Pada September lalu, Durakovic menandatangani kontrak dengan FAS sebagai pengendali skuad Gergasi Merah, bagi musim 2019.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, beliau menghadap Tengku Amir yang juga Presiden FAS, menyatakan hasratnya untuk terus bersama pasukan Perak FA.

Baginda mempertimbangkan perkara itu dan bersetuju membatalkan kontrak berkenaan memandangkan Durakovic banyak berjasa kepada pasukan Selangor sepanjang kerjaya bola sepaknya.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Shah Alam Antlers, SAY dan MBSA jalin kerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JUL: Kelab bola sepak komuniti, Shah Alam Antlers menjalin kerjasama dengan Selangor Youth Community (SAY) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam aktiviti bola sepak termasuk komuniti serta kemasyarakatan.

Presiden Shah Alam Antlers, Ahmad Suffian Mamat berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Dr Johan Kamal Hamidon dan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, 23 Julai lalu.

“Sebagai sebuah pasukan bola sepak komuniti mewakili Shah Alam secara keseluruhannya, kerjasama sebegini sangat penting untuk kita bagi mendekatkan lagi Shah Alam Antlers dengan komuniti Shah Alam.

“Ini sejajar dengan syarat Program Pembangunan Kelab Komuniti Football Selangor (FS) di bawah kelolaan SAY,” katanya menerusi http://shahalamantlers.com

Selain itu, beliau berkata, kerjasama itu juga menunjukkan Shah Alam Antlers mahu mengikuti model kelab bolasepak Jepun di mana setiap kelab disyaratkan J-League untuk mendapat pengiktirafahan Datuk Bandar atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bandar atau bandar raya masing-masing serta melakukan aktiviti komuniti juga kemasyarakatan.

“Shah Alam Antlers merakamkan setinggi penghargaan kepada SAY dan MBSA atas kesudian mengiktiraf pasukan kami sebagai rakan komunitinya,” katanya.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Lima produk usahawan Selangor sedia tembusi pasaran global

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 23 FEB: Lima usahawan muda Selangor bertekad tidak mensia-siakan peluang membawa hasil inovasi mereka menembusi pasaran antarabangsa apabila produk masing-masing terpilih dalam program SAY ASPIRE.

Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif pengeluar produk yang dinamakan Tanimac, Ridzuan Othman berkata, kejayaannya hari ini membolehkan beliau mendapat bantuan kewangan juga bimbingan teknikal yang betul untuk mengorak langkah ke tahap global.

“Peluang ini bukan senang dapat dan kami percaya mereka ada sistem pembelajaran yang lebih kukuh dan kita perlukan bantuan teknikal juga kewangan daripada agensi seperti MATRADE untuk mengeksport produk.

“Sesungguhnya dengan bantuan sebegini, syarikat bumiputra yang masih baru seperti kami boleh menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih efisien dan membuktikan anak tempatan Malaysia boleh menghasilkan produk inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘SAY ASPIRE 2018 – Pitching Session’ Bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di Sunway Resort Hotel & SPA, di sini, semalam.

Tanimac adalah alat pertanian inovatif berupa alat penyemai benih pelbagai jenis tanaman yang pertama di dunia dan mampu meningkatkan tahap kecekapan pertanian serta mengurangkan kos buruh dengan drastik.

Ridzuan berkata, antara pasaran global yang menjadi sasaran beliau adalah sekitar Eropah ekoran kos buruh yang tinggi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar produk aiskrim Pops Malaya, Rose Yasmin Abd Karim pula berkata, program yang diilhamkan Tengku Amir Shah itu bakal merealisasikan cita-cita beliau untuk memasarkan produknya ke pasaran global.

“Memang rezeki kami kerana pada peringkat ini semua peserta menawarkan produk terbaik dan kami akan mengambil peluang ini untuk mempelajari bagaimana untuk mengembangkan pasaran.

“Ini adalah peluang untuk usahawan muda di Selangor, bahkan dengan adanya pelan ini kita berpeluang membawa produk buatan Selangor ke pasaran global kerana jika kita bersendirian mungkin boleh capai tetapi sedikit perlahan berbanding jika bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti ini,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan produk sama di pasaran, Pops Malaya adalah aiskrim atau snek sihat yang diperbuat daripada bahan semula jadi tanpa bahan tiruan yang sesuai untuk semua golongan khususnya kanak-kanak.

Selain itu, aiskrim berkenaan juga dipasarkan pada harga lebih murah berbanding kebanyakan aiskrim jenama terkenal.

“Dengan produk kami, ibu bapa boleh beri anak makan tanpa rasa bersalah kerana tidak menjejaskan kesihatan mereka. Kita galakkan pengguna buat pilihan lebih sihat,” katanya.

Selain dua syarikat itu, antara usahawan lain yang terpilih adalah produk Dapo iaitu perabut, barangan hiasan dan koleksi peralatan dapur buatan Malaysia dengan konsep jenama gaya hidup hijau.

Sementara dua lagi produk yang terpilih adalah produk tuala wanita, Athena Empowers dan Medicat produk semburan anti kulat juga anti bakteria khusus untuk haiwan peliharaan yang diperbuat daripada minyak masak terpakai.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Sepuluh usahawan muda bentang idea produk di hadapan Tengku Amir Shah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 22 FEB: Seramai 10 finalis membentangkan idea produk dan perniagaan masing-masing di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi merebut lima tempat untuk menyertai program SAY ASPIRE.

SAY ASPIRE adalah satu program membantu usahawan muda menambah baik perniagaan bagi membolehkan mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Selain mendapat pelbagai latihan dan pendedahan, program yang mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu turut menawarkan bantuan kewangan bernilai RM50,000 daripada Hijrah Selangor.

Pemilihan peserta program cetusan ilham Tengku Amir sendiri dijalankan selama enam bulan membabitkan 100 peserta peringkat awal sebelum melalui beberapa peringkat saringan.

Sesi penilaian 10 finalis yang diadakan di Sunway Resort Hotel & SPA, di sini, hari ini dinilai panel juri yang terdiri daripada Tengku Amir yang juga Penaung Diraja dan Presiden Eksekutif Selangor Youth Community; Pengarah Eksekutif Sunway Group Berhad, Sarena Cheah; Pengarah MATRADE, Mansor Shah dan Ketua Pengarah Eksekutif Hijrah Selangor, Roslim Md Akhir.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SAY semarak semangat generasi muda cetus era baru

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG, 2 APR: Selangor Youth Community (SAY) menyemarakkan lagi semangat generasi muda dengan mewujudkan masa depan lebih cerah untuk Selangor melalui acara SAY IGNITE 2017 yang julung kali diadakan di Sunway Pyramid Convenstion Center, di sini, semalam.

Pengasas dan Penaung SAY, Raja Muda Selangor, DYMM Tengku Amir Shah begitu percaya bahawa inisiatif SAY Ignite 2017 bakal menjadi pencetus kepada era baru untuk belia di Selangor.

“Selangor ialah negeri yang mempunyai paling banyak kepelbagaian daripada segi umur, kumpulan etnik dan latar belakang, dan melalui SAY IGNITE 2017, kami berharap dapat menyediakan cetusan bagi menyatukan minat dan semangat mereka dalam mewujudkan komuniti yang dinamik.

“Saya membayangkan Selangor akan dipenuhi belia yang bersemangat dan bermotivasi, melahirkan bakat yang mampu mengubah dunia dalam bentuk seni budaya, kesihatan dan sukan, muzik dan hiburan serta keusahawanan,” titah baginda.

Acara kemuncak SAY Ignite adalah sesi pleno bertajuk ‘Menyemarakkan Minda Golongan Muda Malaysia’ yang menampilkan Tengku Amir sendiri sebagai ahli panel bersama Ketuan Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz serta Ketua Pegawai Eksekutif PurelyB, Raja Jesrina Azlina RAja Arshad.

IMG_20170401_131505_551Dalam pada itu, SAY IGNITE juga membawa pertandingan akhir SAY ADA GAYA dan anugerah SAY CHAMPION yang meraikan dan mempromosikan ikon belia di Selangor yang berjaya dan mampu memberi inspirasi kepada belia yang lain.

Manakala SAY ADA GAYA dijuarai Muhammad Akmal Harith apabila mempersembahkan bakat nyanyiannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 serta mendapat bimbingan daripada penyanyi rap ternama, Altimet.

Akmal berkata, SAY adalah platform anak muda selain mencungkil bakat mereka juga dapat menyertai pelbagai aktiviti berfaedah yang dilaksanakan.

“Ini adalah tempat yang sesuai untuk belia mengorak langkah tidak kira dari segi hiburan, sukan dan perniagaan daripada membuang masa kepada perkara yang tidak berfaedah,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

100 karya seni dipamer di Segaris Art Center

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Buat julung kalinya Selangor Youth Community (SAY) bersama UiTM Holdings Sdn Bhd berkolaborasi menempatkan lebih 100 hasil karya seni 70 pelukis dari 13 buah institusi di Segaris Art Center bermula 7 hingga 19 Mac ini.

Pameran yang dinamakan School of Thought (SOT) itu menyediakan platform bagi graduan dari seni lukis mempamerkan hasil karya mereka yang akan membolehkan hasil dipertengahkan ke masyarakat umum.

Majlis dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bertempat di White Box Publika Solaris Dutamans, Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

Pengurus Kanan SAY, Zaiferez Hadzere Zainal berkata, SOT merupakan satu platform buat para graduan terpilih mempamerkan karya seni terbaik mereka.

“Terdapat 70 pelukis dari 13 buah institut pengajian dari seluruh Malaysia antaranya dari Sunway University, UiTM, UNISEL, UMK, UMS, UNIMAS, USM, ASWARA, Dasein Academy of Art, MIA, MMU, The One Academy dan Kolej Saito.

“Program ini juga sebagai inisiatif memupuk dan meningkatkan penyertaan artis muda melalui dalam bidang seni disamping menghargai karya-karya seni dari anak muda khususnya,” katanya.

Katanya, graduan pelukis juga diberi peluang mempamerkan karya di Segaris Art Center supaya masyarakat dapat menilai bakat terpendam serta keunikan mereka di persebarkan.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar program ini dapat memberikan impak yang besar kepada pembangunan seni di negeri ini dan juga tanah air.

“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, kita akan merangka untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan,” katanya.

Difahamkan, Segaris Art CenterP adalah jenama yang dibangunkan oleh UiTM Art and Design Sdn Bhd yang dimiliki oleh UiTM Holdings Sdn Bhd.

Hadir sama dalam majlis perasmian Orang Besar Istana selaku penasihat SAY, YM Syed Haizam Jamalullail, Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Ezhar Moslim, Ketua Pegawai Kewangan UiTM Holdings Sdn. Bhd., Zakiah Mastor dan Pengarah UiTM Art & Design Sdn Bhd, Professor Madya Ramlan Abdullah.

=EZY=