Categories
PBT SELANGOR

MBSA meterai MoU dengan Nestlé, KPT Recycle jaya kitar semula kawasan strata

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Nestlé Products Sdn Bhd (Nestlé) dan KPT Recycle Sdn Bhd (KPT Recycle) pada Program Kitar Semula Perumahan Strata hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata kerjasama itu bertujuan menggalakkan aktiviti kitar semula dilaksana di kawasan kediaman bertingkat strata terpilih melibatkan 540 isi rumah di Seksyen 18 dan 24 di sini.

“Ini merupakan program perintis yang mana pihak Nestlé menyediakan tong kitar semula strata berkapasiti tiga tan dan penduduk hanya perlu mengasingkan barangan yang sudah dibersihkan mengikut kategori.

“Ia bagi menggalakkan masyarakat terutamanya komuniti Shah Alam mempraktikkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian ke arah menjadikan Bandar Raya Shah Alam Sifar Sampah (Zero Waste) menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis MoU MBSA bersama Nestlé dan KPT Recycle di Dewan Bankuet, Wisma MBSA di sini hari ini.

Majlis disempurnakan EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Juan Aranols berkata projek perintis pertama bersama MBSA itu memudahkan kutipan bahan kitar semula bagi kediaman bertingkat selepas ia berjaya dilaksana di Petaling Jaya dan Subang Jaya.

“Kami berbesar hati meluaskan usaha tersebut bagi memberi manfaat kepada komuniti di Selangor dengan momentum positif ini diteruskan di Shah Alam.

“Usaha ini adalah sejajar dengan sasaran kami untuk mengumpul sehingga 25 tan bahan kitar semula sebulan menjelang 2022 dan mencapai misi tiada bungkusan dimasukkan dalam kambus tanah atau dibuang sebagai sampah sarap,” katanya.