Categories
PBT SELANGOR

MBSA minta penjaja permit sementara mohon lesen tetap

SHAH ALAM, 9 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meminta penjaja yang memperoleh permit sementara membuat permohonan baru bagi mendapatkan lesen perniagaan secara tetap.

Datuk Bandar Shah Alam berkata ia bagi memudahkan urusan penempatan mereka berikutan permit sementara itu hanya boleh digunakan sehingga Disember ini sahaja.

“Kita tahu sebelum ini ada yang meniaga kerana tidak dapat bekerja namun trend itu semakin berkurang sebab kebanyakannya sudah dapat kembali bekerja.

“Oleh itu, MBSA akan cuba tempatkan penjaja yang membuat permohonan bagi meneruskan perniagaan di tempat yang kita sediakan,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor selepas melancarkan MBSA Tanpa Tunai di Dewan Auditorium di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai status penjaja sementara di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang akan tamat pada Disember ini.

Pada 14 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 7,000 peniaga kecil di bawah pentadbiran MBSA menerima lesen sementara tahun ini.

Inisiatif itu bermula Ogos tahun lalu di mana semua PBT di Selangor memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA meterai MoU dengan Nestlé, KPT Recycle jaya kitar semula kawasan strata

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Nestlé Products Sdn Bhd (Nestlé) dan KPT Recycle Sdn Bhd (KPT Recycle) pada Program Kitar Semula Perumahan Strata hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata kerjasama itu bertujuan menggalakkan aktiviti kitar semula dilaksana di kawasan kediaman bertingkat strata terpilih melibatkan 540 isi rumah di Seksyen 18 dan 24 di sini.

“Ini merupakan program perintis yang mana pihak Nestlé menyediakan tong kitar semula strata berkapasiti tiga tan dan penduduk hanya perlu mengasingkan barangan yang sudah dibersihkan mengikut kategori.

“Ia bagi menggalakkan masyarakat terutamanya komuniti Shah Alam mempraktikkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian ke arah menjadikan Bandar Raya Shah Alam Sifar Sampah (Zero Waste) menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis MoU MBSA bersama Nestlé dan KPT Recycle di Dewan Bankuet, Wisma MBSA di sini hari ini.

Majlis disempurnakan EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Juan Aranols berkata projek perintis pertama bersama MBSA itu memudahkan kutipan bahan kitar semula bagi kediaman bertingkat selepas ia berjaya dilaksana di Petaling Jaya dan Subang Jaya.

“Kami berbesar hati meluaskan usaha tersebut bagi memberi manfaat kepada komuniti di Selangor dengan momentum positif ini diteruskan di Shah Alam.

“Usaha ini adalah sejajar dengan sasaran kami untuk mengumpul sehingga 25 tan bahan kitar semula sebulan menjelang 2022 dan mencapai misi tiada bungkusan dimasukkan dalam kambus tanah atau dibuang sebagai sampah sarap,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar kemudahan awam percuma sepanjang Oktober

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan beberapa penggunaan fasiliti dan kemudahan awam secara percuma kepada penduduk sekitar mulai Oktober ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata insentif tersebut ditawar sempena meraikan sambutan ulang tahun bandar raya itu yang ke-21.

“Ia tanda penghargaan dan terima kasih kepada pemegang taruh khususnya warga Shah Alam yang bersama menjadikan bandar raya ini sejahtera, aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena inisiatif ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-21 di Wisma MBSA di sini hari ini.

Antara insentif percuma ditawarkan adalah:
– Tempat letak kereta hub Seksyen 19, berhampiran komuter (10 Oktober)
– Sewaan Laman Teater (Padang C) (10 Oktober)
– Sewaan Dewan Serbaguna MBSA hanya untuk aktiviti sukan seperti badminton/takraw (10 Oktober)
– Tempat letak kereta Bangunan Wisma MBSA (11 Oktober)
– Promosi keahlian percuma bagi Perpustakaan MBSA (sepanjang Oktober)
– Penggunaan skuter elektrik secara percuma setiap 5 minit pertama (sepanjang Oktober)

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam menerusi talian 03-5510 5133 sambungan 1723.

Categories
PBT SELANGOR

Pengunjung taman awam di Shah Alam beri kerjasama, patuh SOP

SHAH ALAM, 19 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) belum mengeluarkan kompaun atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) di taman awam setakat ini.

Datuk Bandarnya Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata perkembangan itu membuktikan pengunjung peka dengan arahan ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Kita berpuas hati kerana berdasarkan pemantauan penguat kuasa, kebanyakan orang ramai yang beriadah beri kerjasama, faham SOP dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal.

“Penguat kuasa dan Ranger Shah Alam juga memantau ketat dengan hanya membenarkan individu lengkap dos vaksin masuk ke taman awam,” katanya hari ini.

Beliau yang ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Blok 1, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 di sini, berkata pihaknya tidak berkompromi sekiranya ada individu melanggar SOP.

“Di peringkat awal mungkin kita menegur dulu tetapi jika enggan patuh arahan, kita terpaksa mengambil tindakan terhadap mereka.

“Ada ibu bapa yang membawa anak-anak usia bawah 18 tahun keliru dengan SOP. Sebenarnya golongan ini dibenarkan masuk tetapi mereka (ibu bapa) perlu bersama mereka supaya tidak berkeliaran,” katanya.

Bermula 22 Ogos, semua taman awam di bandar raya ini dibuka kepada orang ramai yang lengkap menerima vaksin Covid-19.

Kebenaran hanya untuk bersukan, rekreasi dan riadah dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Zamani Ahmad angkat sumpah Datuk Bandar Shah Alam kesembilan

SHAH ALAM, 15 JUN: Dato’ Zamani Ahmad Mansor mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam kesembilan di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Pelantikan Zamani Ahmad, 50, berkuat kuasa semalam, menggantikan Dato’ Haris Kasim yang dilantik pegawai kewangan negeri pada Mac lalu.

Majlis angkat sumpah berlangsung mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengemas kini status kesihatan, penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Zamani Ahmad berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Diploma Sains Pengurusan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Berikut pengalaman Zamani Ahmad yang bertugas dalam perkhidmatan awam sejak 25 tahun lalu:

1996- Berkhidmat di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi
1997- Penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan
2001- Penolong pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor
2003- Penolong pengarah di Kementerian Pertahanan (Bahagian Khidmat Negara)
2004- Ketua penolong pengarah (Bahagian Keselamatan Negara)
2007- Ketua penolong pengarah Majlis Keselamatan Negara
2008- Bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam
2009- Bertugas di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
2013- Setiausaha bahagian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor
2015- Setiausaha Majlis Perbandaran Kajang
2018- Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pengurusan)
14 Jun 2021- Dilantik Datuk Bandar Shah Alam

Categories
AGENSI SELANGOR

Penjawat awam wajib pakai pelitup muka sejak PKPB Diubahsuai

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri menguatkuasakan pemakaian pelitup muka kepada semua penjawat awam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Diubahsuai pada 4 Mei lalu.

Timbalan setiausaha kerajaan (pengurusan) berkata pekeliling itu dikeluarkan menerusi ketua jabatan dan mereka dibenarkan untuk membuka seketika jika ingin berucap ketika mesyuarat.

“Kita sebenarnya telah mengeluarkan arahan kepada semua menerusi ketua-ketua jabatan bagi memastikan penjawat awam memakai pelitup muka.

“Kita sentiasa pakai sejak keluar dari rumah hingga ke pejabat kecuali dalam mesyuarat yang kita buat penjarakan sosial kerana kadang-kadang kita tidak boleh dengar apa disampaikan jika bercakap sambil memakainya,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Beliau berkata orang awam yang ingin berurusan di semua jabatan Kerajaan Negeri juga dinasihatkan untuk memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19.

Zamani Ahmad menjelaskan Selangor bersedia mengikuti semua saranan Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan Persekutuan selagi ia baik untuk memutuskan rantaian wabak termasuk arahan mewajibkan pemakaian bahan berkaitan di tempat awam bermula 1 Ogos hadapan.