Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: 47 kes ajaran sesat dikesan sejak Januari tahun lalu

SHAH ALAM, 28 OKT: Sebanyak 47 kes pemujaan bertentangan Islam dilaporkan di seluruh negara antara Januari 2020 hingga September lalu, kata menteri hal ehwal agama.

Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kes dikesan tahun lalu manakala baki antara Januari hingga September tahun ini, jelas Idris Ahmad seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata langkah bagi mengatasinya termasuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam menyelidik ajaran dan doktrin meragukan.

“Kita juga mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup dengan kumpulan terbabit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Kita turut melaksanakan kajian menyeluruh sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.”

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Pari) berhubung jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini selain usaha mengatasinya.