Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Ibu bapa perlu yakin vaksin berkesan, ambil iktibar kes di AS

SHAH ALAM, 5 OKT: Ibu bapa yang menolak vaksin untuk anak mereka harus mengambil iktibar peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan remaja di Amerika Syarikat (AS) pada masa kini.

Pakar Kesihatan Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara Datuk Dr Musa Nordin berkata 27 peratus pesakit virus di negara itu membabitkan individu berusia bawah 18 tahun yang belum diberi suntikan pelalian kerana tidak dibenarkan ibu bapa.

Menurutnya, peningkatan jangkitan dalam kalangan kumpulan itu menyebabkan wad dan unit rawatan rapi penuh.

“Kepada ibu bapa di sini, tunggu apa lagi dan ambil langkah betul benarkan anak-anak terima vaksin untuk elak penularan.

“Risiko untuk masuk hospital untuk mereka yang belum menerima vaksin adalah 10 kali ganda,” katanya pada program bual bicara Vaksinasi Remaja, Lindungi Semua di Facebook Media Selangor malam ini.

Dr Musa berkata ibu bapa harus yakin keberkesanan vaksin yang diperkenalkan sejak puluhan tahun lalu dalam mencegah penyakit berbahaya.

“Sejak lahir sudah diberi vaksin mencegah batuk kering serta Hepatitis B yang menyebabkan barah hati dan suntikan untuk 10 jenis penyakit.

“Sejarah vaksin ini cukup panjang dan berkesan, ibu bapa harus yakin sebagai ikhtiar menentang Covid-19,” katanya.