Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

700 peserta terlibat sidang bandar pintar, fokus ekonomi digital

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 700 peserta dijangka terlibat menerusi Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 yang bakal berlangsung pada 19 hingga 21 November ini.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata penganjuran edisi keenam konvensyen digital terbesar itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan secara maya.

Agensi memaklumkan dengan tema Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi, SDEC 2021 adalah acara tahunan di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

“Konvensyen ini mengumpulkan pemain industri, ahli akademik, peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan individu dari pelbagai sektor untuk mendalami serta mengembangkan ekosistem pendigitalan sedia ada dan masa hadapan.

“Tiga aktiviti teras dipilih untuk mencerminkan tema tahun ini iaitu perbincangan panel selama dua hari dan Pitch@Selangor serta Liga Super Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Persidangan itu akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 20 November dan turut diserikan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menerusi persidangan itu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim turut menandatangani memorandum persefahaman bersama CTDK Holdings dan Sidec Sdn Bhd sambil disaksikan Amirudin.

Selain itu, sebanyak 45 panelis berpengalaman turut ditampil bagi membincangkan pelbagai topik mengenai Fintech, Agritech, Travel Tech, pemasaran digital dan pendigitalan PKS.

Panelis terdiri daripada pemimpin terkemuka, pengasas dan pakar dalam industri antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Fabian Bigar.

Manakala, sebanyak 20 syarikat startup daripada tiga program pemecut terbaik di Selangor iaiatu Sidec, ScaleUp Malaysia dan Sunway iLabs akan bersaing untuk memenangi tiga tempat teratas dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000.

Mereka yang ingin membeli tiket berharga RM79 untuk tiga hari ke konvensyen berkenaan boleh berbuat demikian menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/sdec2021.

Layari http://www.sidec.com.my/sdec2021untuk maklumat lanjut.