Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan sekat aktiviti sosial jika kes Covid-19 meningkat

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan tidak teragak-agak menarik balik kebenaran aktiviti sosial jika kes jangkitan Covid-19 meningkat selepas negara beralih ke fasa endemik.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mastura Yazid berkata kerajaan hanya menggunakan satu tatacara operasi piawai (SOP) apabila negara beralih ke tahap endemik iaitu protokol kesihatan umum, lapor Berita Harian.

“Bagaimanapun jika terdapat kes mendadak dan meningkat, kerajaan melaksanakan langkah pencegahan dan memantau dengan sistem ‘heightened alert’ yang mana hanya terdapat dua kategori dalam sistem ini iaitu tinggi atau rendah.

“Dilihat berisiko tinggi, kerajaan akan mengenakan sekatan aktiviti sosial, bukannya aktiviti ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah mahu mengetahui sama ada kerajaan bercadang membuat satu pelan baharu memandangkan ramai yang mula tidak menjaga SOP kerana bebas bergerak menjalankan aktiviti sosial, sekali gus wabak Covid-19 boleh meningkat.

Mastura menjelaskan SOP berkenaan akan diputuskan sebuah jawatan kuasa yang dipengerusikan perdana menteri berdasarkan penilaian yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).