Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 4,500 daftar e-wasiat, makin ramai ada kesedaran

SHAH ALAM, 10 NOV: Lebih 4,500 individu memilih kaedah pengurusan harta pusaka dan wasiat secara dalam talian yang disediakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Konsep e-wasiat yang diperkenal sejak April 2018 menerima sambutan menggalakkan dengan hampir setiap hari menerima pendaftaran baharu, kata pengarah baitulmalnya.

“Tindakan ini dipuji kerana ia dapat menangani masalah pembahagian harta pusaka jika individu itu meninggal dunia selain mengelak perebutan antara waris,” kata Indera Shahril Mohd Shahid.

Jelasnya, pelbagai promosi dibuat bagi menarik umat Islam menggunakan kaedah itu antaranya hebahan di media sosial, kuliah agama di masjid dan surau serta melalui radio Ikim.fm.

“Kita mengalu-alukan lebih ramai menggunakan perkhidmatan ini kerana dokumen wasiat mereka akan diurus dengan lebih adil, terjamin, profesional serta mengikut hukum syarak,” katanya lagi.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan www.mais.gov.my atau hubungi Bahagian Harta Baitulmal Mais di talian 03-55143773 atau 03-55143772.