Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 4,500 daftar e-wasiat, makin ramai ada kesedaran

SHAH ALAM, 10 NOV: Lebih 4,500 individu memilih kaedah pengurusan harta pusaka dan wasiat secara dalam talian yang disediakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Konsep e-wasiat yang diperkenal sejak April 2018 menerima sambutan menggalakkan dengan hampir setiap hari menerima pendaftaran baharu, kata pengarah baitulmalnya.

“Tindakan ini dipuji kerana ia dapat menangani masalah pembahagian harta pusaka jika individu itu meninggal dunia selain mengelak perebutan antara waris,” kata Indera Shahril Mohd Shahid.

Jelasnya, pelbagai promosi dibuat bagi menarik umat Islam menggunakan kaedah itu antaranya hebahan di media sosial, kuliah agama di masjid dan surau serta melalui radio Ikim.fm.

“Kita mengalu-alukan lebih ramai menggunakan perkhidmatan ini kerana dokumen wasiat mereka akan diurus dengan lebih adil, terjamin, profesional serta mengikut hukum syarak,” katanya lagi.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan www.mais.gov.my atau hubungi Bahagian Harta Baitulmal Mais di talian 03-55143773 atau 03-55143772.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais: 2,500 daftar e-Wasiat, galak lebih ramai sertai

SHAH ALAM, 23 OKT: Seramai 2,500 individu mendaftar e-Wasiat iaitu perkhidmatan menguruskan harta pusaka dan wasiat secara dalam talian oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Mais berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai menggunakan kemudahan berkenaan bagi membolehkan umat Islam menulis wasiat dengan lebih mudah, pantas dan efektif.

Jelasnya, tindakan awal seseorang individu mendaftar dengan e-Wasiat juga mampu menangani masalah pembahagian harta pusaka sekiranya sudah meninggal dunia.

“Pada masa sama, ia dapat mengelakkan sebarang isu pergaduhan atau perebutan harta pusaka antara waris sebagaimana yang kerap berlaku dalam masyarakat kita kini.

“Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan penulisan wasiat ini, Mais amat berharap, umat Islam khususnya di Selangor akan menggunakan kemudahan ini bagi pengurusan wasiat mereka,” kata Mais di Facebook.

Menurut Mais lagi, pengguna hanya perlu membuat pendaftaran e-Wasiat di www.mais.gov.my serta mengisi maklumat harta yang ingin diwasiatkan.

“Melalui sistem ini, ia akan melaksanakan pengurusan dan pembahagian wasiat dan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada benefisiari dan ahli waris,” katanya lagi.
⁣⁣
Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Harta Baitulmal Mais di talian 03-55143773 atau 03-55143772.