Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bilangan asnaf dijangka meningkat, pastikan tiada golongan cicir bantuan

SHAH ALAM, 17 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan jumlah asnaf negeri ini meningkat sehingga 70,000 individu pada tahun hadapan.

Ketua Divisyen Operasi Bahagian Asnaf Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata anggaran itu bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 selain tahap pertumbuhan ekonomi ketika ini.

“Pada 2019 bilangan asnaf antara 54,000 hingga 56,000 orang. Jumlah meningkat pada 2020 kepada 58,000 selepas wabak dan mencecah 64,000 tahun ini.

“Pandemik memang beri kesan kepada asnaf sedia ada malah yang bukan fakir sebelum ini jatuh ke kategori itu (akibat Covid-19) disebabkan hilang pekerjaan dan perniagan tidak sebaik sebelum ini,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Pedulikah Zakat Selangor? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam ini.

Sebagai persediaan menghadapi peningkatan jumlah terbabit, Mohd Sabirin berkata LZS melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi mengelakkan sebarang isu.

“Pertama kita akan fokuskan kepada empat golongan asnaf iaitu fakir, miskin, amil dan mualaf dengan peruntukan 70 peratus kutipan khas untuk kumpulan ini, kita tidak mahu ada tercicir terima bantuan.

“Kedua kita ikut maqasid syariah iaitu dahulu bantuan keperluan hidup seperti makanan dan tempat tinggal. Barulah kita beri bantuan lain seperti pendidikan,” katanya.