Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 400 individu sertai Team Selangor, pelawa lebih ramai sukarelawan

SHAH ALAM, 27 DIS : Lebih 400 individu menyertai sukarelawan Team Selangor bagi melaksanakan aktiviti bergotong-royong di kawasan terjejas banjir setakat semalam, kata ketua sekretariatnya.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Syahaizel Keman berkata penyertaan masih dibuka dan mereka yang berminat perlu mempunyai minat tinggi dalam aktiviti kesukarelawanan serta sihat tubuh badan.

“Team Selangor turut menerima penyertaan sukarelawan daripada pasukan Selangor FA dan Selangor FC. Kita mengalu-alu lagi penyertaan orang awam untuk bersama membantu mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui dalam program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di Kampung Lombong di sini.
Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.


Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan dilanda banjir di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI