Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir syukur ramai individu prihatin, bantu bersih kediaman

SHAH ALAM, 27 DIS : Mangsa banjir bersyukur ramai individu sudi datang membersihkan kediaman selepas teruk dilanda banjir sejak Sabtu lalu.

Maznah Mahamud, 37. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Maznah Mahamud, 37, berkata jika mengharapkan tenaganya dan suami, sudah tentu kerja pembersihan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Anak saya empat orang tetapi semua masih kecil, yang sulung 16 tahun dan bongsu tiga tahun. Apabila adanya bantuan daripada pihak luar lega sangat.

“Terima kasih sukarelawan Pekawanis (Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor), Team Selangor dan yang lain-lain sudi datang rumah kami hari ini,” katanya.

Mengulas bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Selangor, Maznah berterima kasih dan berhasrat mahu membeli peti ais menggunakan wang tersebut.

“Peti ais penting sangat, yang sebelum ini sudah rosak tenggelam banjir. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Siti Saidah M Sarvani, 43. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Manakala, Siti Saidah M Sarvani, 43, turut menghargai dengan bantuan RM1,000 itu yang disifatkan dapat membantu menampung perbelanjaan pasca banjir.

“Terima kasih juga kepada pasukan yang datang bantu bersihkan rumah kami hari ini. Banyak bantuan tidak putus-putus kami terima selepas ditimpa musibah ini,” katanya.

Semalam Pekawanis, Team Selangor dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam turun padang membersihkan enam buah rumah di Kampung Lombong di sini.