Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Team Selangor bantu cuci rumah, edar makanan di tujuh lokasi

SHAH ALAM, 25 DIS: Seramai 115 sukarelawan Team Selangor meneruskan aktiviti membantu mangsa banjir pada hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata aktiviti memasuki hari kelapan itu meliputi tujuh kawasan di lima daerah iaitu Hulu Langat, Kuala Selangor, Klang, Sepang dan Petaling.

“Pergerakan sukarelawan bermula jam 8.45 pagi dengan aktiviti mencuci rumah penduduk di Kampung Bangi Lama (Hulu Langat), Kampung Tanjung Siam (Kuala Selangor), Meru (Klang) dan Kampung Sri Tanjung (Sepang).

“Bagi aktiviti pengedaran makanan siap masak pula kita lakukan di Kampung Lombong (Klang), Desa Subang Perantau dan Taman Setia Warisan (Petaling),” katanya kepada SelangorKini.

Syahaizel Keman berkata pihaknya memperuntuk sekitar 20 hingga 30 sukarelawan dalam satu-satu masa bergantung keadaan lokasi.

“Dianggarkan lebih 250 sukarelawan Team Selangor telah terlibat sejak kejadian ini minggu lalu hingga setakat sekarang,” katanya.

Semalam Team Selangor mempelawa individu atau organisasi yang berminat menjadi sukarelawan pasukan mereka untuk turun padang membantu mangsa banjir di negeri ini.

Individu yang berminat boleh daftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.