KUALA SELANGOR, 22 JAN: Seramai 300 pelajar kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menerima bantuan wang tunai RM100 menerusi Program Kembali ke Sekolah.
Wakil rakyat Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu diharap meringankan beban keluarga menyediakan keperluan persekolahan.
“Tahun sebelum ini kita tetapkan kedai untuk mereka berbelanja tetapi kali ini lebih bebas. Jadi boleh gunakan wang untuk membeli apa dimahukan.
“Penerima dikenal pasti oleh ketua kampung, penghulu, ahli majlis dan pihak sekolah. Kita hanya beri kepada pelajar yang layak,” katanya ditemui selepas menyampaikan bantuan di sini hari ini.
Tahun ini MBI memperuntuk RM1.68 juta bagi menjayakan program berkenaan melibatkan seramai 16,800 pelajar di seluruh DUN.
Sementara itu Juwairiya berkata pada Disember lalu pihaknya mengagihkan 400 beg Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kepada pelajar berkelayakan sebagai inisiatif mengurangkan beban keluarga.
“Dalam masa sama kita juga menziarahi 15 pelajar kurang berkemampuan untuk diberikan bakul makanan dan wang tunai,” katanya.