Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan lebat berterusan di enam negeri hingga esok

SHAH ALAM, 3 JAN : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi Facebook memaklumkan negeri tersebut adalah Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sabah.

Amaran hujan lebat berterusan (buruk) pula dijangka berlaku di Johor membabitkan Daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru hari ini.

Amaran hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di Terengganu (Kemaman), Pahang (Maran, Kuantan, Bera dan Pekan) diikuti Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin).

Ia turut melibatkan negeri Melaka, Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kota Tinggi dan Johor Baharu serta Sabah di Telupid, Kinabatangan, Beluran Sandakan dan Kudat.

Menurut kenyataan itu lagi, amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan hujan, ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150mm dalam tempoh 24 jam.

Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh enam jam.

Amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.