Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan banjir: LZS buka permohonan fasa dua, lebih 23,000 keluarga terima manfaat

SHAH ALAM, 17 JAN: Lebih 23,000 keluarga menerima bantuan banjir melalui program Lembaga Zakat Selangor (LZS) Peduli setakat 13 Januari.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan masih meneruskan proses permohonan yang dibuka sejak 20 Disember tahun lalu bagi meringan beban mangsa banjir di negeri ini.

“Kami masih meneruskan proses permohonan LZS Peduli bagi meringankan beban mangsa banjir besar di Selangor. Kerjasama dan kesabaran anda amat dihargai,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, agensi itu memaklumkan seramai 22,500 mangsa banjir negeri ini menerima bantuan fasa satu melalui LZS Peduli antara 28 hingga 31 Disember lalu.

Permohonan fasa dua bantuan sama dibuka antara 1 hingga 31 Januari bagi memberi peluang kepada mangsa yang tidak sempat berbuat demikian.

Mangsa banjir boleh membuat permohonan boleh dibuat melalui pautan www.zakatselangor.com.my/lzspeduli manakala manual dikhususkan kepada warga emas tidak mahir teknologi.

LZS mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.