Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan banjir RM1,000 DUN Dusun Tua selesai diagih sebelum 8 Januari

HULU LANGAT, 1 JAN: Bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua akan selesai diagihkan sebelum 8 Januari, menurut wakil rakyatnya.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata penyerahan bantuan itu akan dilakukan secepat mungkin bagi membantu penduduk membeli barangan seperti perabot yang musnah dalam musibah itu pada 18 Disember lalu.

ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof

Menurutnya, ketika itu ketua kampung dan pengerusi persatuan penduduk mengumpul data mangsa terbabit untuk diserahkan kepada Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Langat untuk diproses.

“Kita cuba untuk beri kepada semua mangsa sebelum 8 Januari, kita sedar ramai mahukan bantuan itu secepat mungkin.

“Bantuan kepada penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sudah selesai, sekarang fokus untuk mangsa kekal di rumah,” katanya ditemui hari ini.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah. Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu.