Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dana RM1.2 juta dikumpul ganti al-Quran rosak, sasar beli 50,000 naskhah

SHAH ALAM, 10 FEB: Sebanyak RM1.2 juta dikumpul menerusi Tabung Dana Wakaf al-Quran (Pascabanjir) bagi menggantikan naskhah rosak akibat bencana pada Disember lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata sumbangan diterima pihaknya dalam bentuk naskah al-Quran serta wang tunai.

“Kita harap capai sasaran RM1.5 juta bagi pembelian 50,000 naskhah pada Mac. Semoga lebih ramai menyumbang supaya kita dapat beli al-Quran baharu,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Masjid Setia Alam di sini, hari ini.

Pada 5 Januari Jais melancarkan Tabung Dana Wakaf al-Quran (Pascabanjir) bagi menggantikan naskhah yang rosak akibat banjir.

Program selama dua bulan mulai semalam menyasarkan pembelian 50,000 naskhah dengan belanja keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Penyumbang terawal antaranya Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Perbadanan Wakaf Selangor.

Mohd Shahzihan berkata pihaknya menerima titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu tabung itu segera dilancarkan.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Maybank Islamic : 562106718620) dengan catatan DANA WAKAF ALQURAN.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.