Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 babit kanak-kanak meningkat 160 peratus

PUTRAJAYA, 17 FEB: Malaysia mencatat peningkatan kes Covid-19 sebanyak 160 peratus dalam kalangan kanak-kanak bagi minggu epid kelima hingga minggu epid keenam tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia menunjukkan peningkatan dari 6,524 kes pada minggu epid kelima kepada 16,959 kes pada minggu epid keenam melibatkan kanak-kanak dengan usia baru lahir hingga 11 tahun.

“Dari segi pecahan angka, daripada 6,524 kes berkenaan, 2,282 kes adalah kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun manakala 4,242 kes ialah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Bagi 16,959 kes pula, beliau berkata ia melibatkan 6,163 kes dalam kalangan kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun dan 10,796 kes melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Merujuk kepada peningkatan kes agak membimbangkan itu, Khairy menyeru agar orang ramai membawa anak masing-masing menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dan segera menerima vaksin Covid-19 seperti ditetapkan.

Beliau berkata pendaftaran PICKids juga agak rendah dalam negara dengan angka belum mencapai sejuta pendaftaran.

“Saya juga memohon kerjasama majikan untuk membenarkan pekerja mereka membawa anak untuk janji temu vaksinasi,” katanya.

Menjawab kebimbangan orang ramai mengenai peningkatan kemasukan kes Covid-19 ke hospital, Khairy berkata biarpun angka kes meningkat, vaksin Covid-19 menunjukkan keberkesananan yang baik dalam melindungi individu daripada jangkitan lebih teruk.

Memberi contoh kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam (16 Februari) iaitu sebanyak 1,269 kes, beliau berkata 428 kes atau 33.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 841 kes lagi atau 66.3 peratus adalah pesakit kategori satu dan dua.

Bagi kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima dilaporkan semalam juga, katanya antara 75 kes yang dilaporkan adalah sama ada tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak.

Beliau turut menjelaskan antara sebab pesakit Covid-19 kategori satu dan dua dimasukkan ke hospital adalah kerana isu medical emergency antaranya menghidap penyakit komorbid tidak terkawal, baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit tidak terkawal, kes obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi dan keadaan rumah kurang sesuai.

Bagi kes melibatkan kanak-kanak pula, ia disebabkan kekurangan air dalam badan, demam berpanjangan dan kelesuan, mempunyai penyakit kronik dan juga disebabkan tiada penjaga.

Berikutan gelombang Omicron yang aktif, Khairy juga menyarankan majikan untuk mengelakkan urusan pekerjaan secara fizikal seperti mesyuarat dan perjumpaan, sebaliknya menggalakkan konsep bekerja dari rumah.

Mengenai perkembangan dos penggalak Covid-19, beliau turut menyarankan agar individu yang masih belum mendapat janji temu dos penggalak untuk terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan dan menerima vaksin mereka.

Berdasarkan data di laman web CovidNow setakat semalam, sebanyak 13,607,475 atau 57.8 peratus populasi dewasa dalam negara menerima dos penggalak Covid-19; sejumlah 22,940,521 individu atau 97.5 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 98.7 peratus atau 23,217,374 menerima sekurang-kurangnya satu dos.

-BERNAMA