Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Zakat Selangor bina semula 18 rumah mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudah mengenal pasti 18 buah rumah asnaf fakir dan miskin yang perlu dibina semula akibat terjejas banjir tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata proses membina semula kediaman mangsa banjir itu bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

“Pembinaan rumah ini dikendalikan unit hartanah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan akan berusaha menyiapkannya secepat mungkin supaya mangsa dapat pulang segera ke kediaman mereka.

“Ketika ini, mangsa yang terkesan kini menetap di kediaman yang disewakan LZS. Bagi projek baik pulih rumah pula, ia sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan lebih RM3 juta,” kata Saipolyazan M Yusop kepada Selangorkini.

Katanya, lebih 50,000 keluarga sudah menerima sumbangan tunai RM600 menerusi inisiatif LZS Peduli yang disalur secara berperingkat sejak 28 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, LZS mengumumkan rancangan membina semula 32 rumah asnaf fakir dan miskin yang terjejas banjir bulan lalu manakala 150 rumah lagi akan dibaik pulih.

Pada 20 Disember lalu, agensi itu mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas banjir di Selangor.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada setiap ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.