Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya abai desakan bantu rakyat, Anwar ubah fikiran sokong keluar wang KWSP

SHAH ALAM, 9 MAC: Ketua pembangkang mendesak kerajaan membenarkan pencarum mengeluar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah tiada azam untuk membantu rakyat, termasuk mangsa banjir.

“Saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular di kalangan rakyat.

“Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, beliau berkata rungutan rakyat yang terdesak mahu menggunakan wang tersebut makin kerap didengarnya sepanjang kempen ketika pilihan raya Johor kini.

“Justeru, setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah-olah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi,” katanya lagi.

Anwar melahirkan rasa kecewa terhadap sikap kerajaan khususnya Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang didakwanya ‘tidak mempedulikan’ desakan tersebut.