Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: SOSMA tidak patut keatas pimpinan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Tindakan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 disifatkan sebagai salahguna kuasa kerajaan kerana undang-undang sedia ada mampu menangani keganasan.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, SOSMA tidak sepatutnya digunakan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, atau pun mana-mana pihak termasuk terhadap Datuk Jamal Yunos sekalipun.

“Terus terang saya katakan, tidak kira betapa saya benci Jamal Yunos dan kata-katanya, saya tidak suka sesiapa pun tertakluk di bawah SOSMA.

“Undang-undang keselamatan yang menindas itu tidak sepatutnya digunakan terhadap pengganas kerana sudah ada undang-undang sempurna untuk menangani keganasan dalam negara,” katanya.

18 November lalu, Maria ditangkap kerana didakwa melakukan aktiviti memudaratkan kepada demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan, dan kemudian ditahan di bawah SOSMA.

Beliau kini ditahan dalam kurungan di lokasi yang tidak didedahkan dengan mentol lampu dipasang 24 jam.

Izzah berkata, tidak seharusnya ada sesiapa pun sepatutnya ditahan di bawah SOSMA.

“Ada cara yang sesuai dan kedaulatan undang-undang untuk menangani perkara ini.

“Meskipun ada indivitu berpotensi sebagai pengganas, dakwa sahaja mereka di mahkamah,” katanya.

-nR-