Categories
NASIONAL

Pakatan fokus empat isu bela nasib pekerja

SHAH ALAM, 1 MEI: Pakatan Harapan (Pakatan) mengariskan empat fokus utama memberdaya pekerja negara ini sempena Hari Pekerja 2017 yang disambut hari ini.

Empat fokus tersebut adalah isu peningkatan kos sara hidup, mengurangkan pengangguran anak muda, mempertahan hak pekerja sambilan dan membantu rakyat Malaysia yang bekerja di luar negeri.

“Sekiranya Pakatan membentuk kerajaan pusat, kami akan hapuskan GST yang merupakan satu cukai regresif menzalimi rakyat terutamanya golongan miskin.

” Kami juga akan hapuskan kapitalisme kroni dan memastikan persaingan sihat dalam penyediaan pelbagai barangan dan perkhidmatan seperti beras, jalan bertol, perkhidmatan telco dan internet,” katanya.

mou-pakatan1Pakatan berkata demikian dalam kenyataan bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pakatan yakin kesemua fokus itu akan dilaksanakan sekiranya gagasan itu berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menyentuh usaha mengurangkan pengangguran dalam kalangan anak muda, Pakatan sudah mengarahkan jawatankuasa manifesto dan dasar bertemu pelbagai kumpulan sasar serta pihak berkepentingan.

”Pertemuan tersebut bertujuan mewujudkan pelan tindakan mengurangkan pengangguran anak muda di bawah kerajaan Pakatan,” tambahnya.

Pada masa sama, bagi menjaga Hak pekerja sambilan terutama pemandu teksi dan ‘e-hailing’, Pakatan akan menggubal Rang undang-undang khusus buat pemandu ‘e-hailing’ tanpa mengabai nasib dan kebajikan para penandu teksi serta lain-lain pekerja sambilan.

Untuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negeri pula, jangka pendek, Pakatan berjanji membantu memudahkan proses perjalanan pekerja Malaysia di antara Johor dan Singapura.

“Bagi jangka masa panjang, Pakatan berusaha menghidupkan semula ekonomi negara untuk memastikan lebih ramai pekerja memilih untuk bekerja di Malaysia berbanding di luar negara,” katanya.