Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Mulanya ‘dipaksa’ masuk INPENS, akhirnya…

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 MEI: Awalnya, Nor Shahira Amira Ismail ‘dipaksa’ ibu bapanya untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma kemahiran di Inpens International College (INPENS).

Tanggapan permulaan baginya, pendidikan kemahiran tidak setaraf dengan pengajian peringkat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan swasta lain.

Namun, selepas menduduki semester pertama dan diberi pendedahan awal di institut pendidikan milik Kerajaan Negeri itu, beliau menerima pelbagai input bermanfaat sebagai persediaan memenuhi keperluan pasaran.

“Awalnya saya tidak berminat dengan bidang kemahiran, apatah lagi untuk belajar menjahit.

“Ramai orang pandang rendah belajar kemahiran dan saya cuma dipaksa untuk belajar.

“Tetapi bidang kemahiran inilah mendatangkan pendapatan lumayan. Daripada pembelajaran itu juga kini menjadikan saya lebih bercita-cita tinggi,” katanya kepada SelangorKini.

INPENS2Nor Shahira adalah pemegang Diploma Pembuatan Pakaian Wanita menerima Anugerah Khas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) pada Majlis Konvokesyen INPENS 2017 kali ke 21 di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, pagi ini.

Ketika mengikuti pengajian di INPENS, salah satu produk beg tangan rekaannya dipamerkan pada pameran keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Lebih membanggakan rekaan beg tangan daripada jenis kain ‘denim’ itu mendapat permintaan tinggi dengan penjualan mencecah RM3,000.

“Rekaan beg itu saya hanya gunakan cebisan seluar jeans lama untuk dijadikan beg tangan yang lebih menarik.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan baik dan mendapat permintaan tinggi di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Akmal Zainul Ariffin Mohamad Rashidi, penerima Anugerah Khas Exco Pendidikan Negeri berkata, INPENS membuka peluang positif kepadanya untuk terus menerokai bidang elektronik dan mekatronik.

Mahir bertutur dalam Bahasa Jerman, Akmal Zainul kini melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah di German – Malaysian Institute (GMI).

=EZY=