Oleh: HAFIZAN TAIB
SEPANG, 15 FEB: Kewujudan kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu, dirancang Kerajaan Negeri bagi menggalakkan aktiviti berbasikal di kalangan orang ramai khususnya penggemar sukan itu.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata lokasi itu dipilih khususnya untuk pembinaan R&R kerana ia didapati sesuai dan menjadi tumpuan golongan berkenaan.
“Ia membabitkan mereka yang suka berbasikal,” katanya kepada SelangorKini di sini, semalam.
Elizabeth berkata, buat masa ini tiada perancangan untuk membina R&R sama di kawasan lain kerana ingin memberi tumpuan di situ supaya orang ramai menggunakan kemudahan disediakan.
Katanya, melalui pendekatan itu, R&R terbabit akan lebih dikenali dan dikunjungi ramai selain aktiviti berbasikal menjadi lebih popular.
“Setakat ini tidak tetapi kita bagi sokongan R&R ini dahulu kerana ia boleh dikatakan kawasan untuk aktiviti rekreasi berbasikal (recreational cycling),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri ingin mempraktikkan teknologi hijau dalam pembangunan negeri.
“Untuk motosikal? Saya pilih teknologi hijau,” katanya.
Difahamkan, Kerajaan Negeri mewujudkan R&R itu dengan peruntukan kira-kira RM50,000 untuk menarik minat penggemar sukan berbasikal dan orang ramai.
EZY