Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 21 JUN: Masyarakat diingatkan untuk tidak mengabaikan peranan penting mereka dalam penjagaan kebersihan persekitaran agar bebas daripada sarang pembiakan Aedes.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr S. Balachandran berkata, tindakan pantas untuk pemeriksaan dan rawatan jika terdapat tanda-tanda demam denggi juga penting diberi perhatian.
“Semua pihak perlu memastikan kawasan rumah dan tempat kerja agar jumlah kes tinggi dapat dikurangkan.
“Jangan tunggu sehingga ada kematian baru bertindak. Amalkan sepuluh minit setiap minggu (bersihkan rumah),” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui semalam di Bazar Ramadan Seri Muda sempena Kempen Keselamatan Bazar yang disempurnakan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.
Mengulas lanjut, Balachandran berkata Selangor masih mencatat daftar kes lebih tinggi berbanding tahun lepas dan merupakan catatan kes tertinggi denggi berbanding negeri lain.
“Empat daerah yang mencatatkan kes tertinggi iaitu Petaling, Gombak, Klang dan Hulu Langat, kes-kes kematian juga meningkat,” katanya.
Sehingga 13 Jun lalu, terdapat hampir 30,000kes denggi dilaporkan dengan 77 kematian (Petaling: 19, Hulu Langat: 19, Klang: 14 dan Gombak: 6).
EZY