Categories
SAINS & INOVASI

Asteroid sebesar Menara Shanghai lintasi Bumi 19 April

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 12 APRIL: Sebuah asteroid diberi nama 2014 JO25 dilaporkan bakal melintasi ‘hampir’ dengan Bumi pada 19 April 2017 (Rabu) nanti.

Portal FALAK ONLINE melaporkan asteroid itu dipercayai mempunyai diameter sepanjang 650 meter, bakal melintasi Bumi pada jarak selamat, iaitu sejauh 1.8 juta kilometer, atau lebih kurang 4.6 kali ganda lebih jauh dari Bulan.

Pada saiz tersebut, asteroid 2014 JO25 ini hampir sama tinggi dengan Menara Shanghai di China.

FALAK ONLINE melaporkan banyak laman web yang menularkan cerita dan mengatakan asteroid ini bakal terhempas ke Bumi dan menyebabkan mega tsunami.

“Itu semua tidak benar kerana jarak lintasannya amat jauh. Malah, Bumi kita ini pun sentiasa dilintasi asteroid-asteroid yang bersimpang-siur, malah ada yang bergerak di antara Bumi dan Bulan pun.

“Cuba istimewanya kali ini ialah saiz asteroid tersebut agak besar. Kali terakhir sebuah asteroid yang besar melintasi hampir dengan Bumi ialah pada tahun September 2004, oleh asteroid Toutatis (yang bersaiz 5 km!),” tulis FALAK ONLINE.

ASteroid1Penemuan asteroid 2014 JO25 ini dibuat menerusi pencerapan Catalina Sky Survey hampir tiga tahun dulu. Projek ini merupakan satu usaha untuk memantau pergerakan asteroid-asteroid yang boleh mengancam Bumi pada masa hadapan.

Buat masa ini, ahli astronomi masih tidak tahu komposisi asteroid ini, sama ada ia berais atau berbatu.

Namun begitu, menerusi misi angkasa NEOWISE (Near-Earth Object Wide-field Infrared Survey Explorer), pemerhatian awal menunjukkan asteroid ini mempunyai tahap pembalikan cahaya dua kali lebih banyak berbanding Bulan.

“Ini bermakna, walaupun ia melintasi jauh (atau dekat, bergantung kepada perspektif masing-masing) daripada Bumi, ia boleh dapat dilihat menerusi teleskop kecil daripada Bumi.

Menurut space.com , ia akan muncul satu ke dua malam sekitar tarikh terdekat ia melintasi Bumi, iaitu 19 April ini.

 
WAKTU SESUAI MENCERAP

FALAK ONLINE melaporkan waktu ketika ia paling cerah, bersinar pada magnitud 10.7 ialah beberapa jam selepas ia melintas paling hampir iaitu 8:24 malam waktu Malaysia.

ASTER“Namun ketika itu, ia belum terbit lagi. Asteroid ini akan hanya kelihatan selepas jam 9 malam, tetapi itu pun rendah di ufuk timur,” tulis FALAK ONLINE.

Peta kedudukan asteroid ini mendapati menjelang sekitar jam 1.30 pagi masuk tarikh 20 April, asteroid 2014 JO25 ini berada pada poin paling tinggi iaitu sekitar 43 darjah, berhampiran dengan buruj Biduk atau Ursa Major.

Kedudukan tertinggi asteroid 2014 JO25 pada jam 1.30 pagi (12.30 tengah malam di Sabah) pada 20 April 2017.

=EZY=

Categories
NASIONAL SAINS & INOVASI

Ombak laut alternatif jana tenaga elektrik

SHAH ALAM 19 MAC: Pukulan ombak laut boleh dijadikan satu lagi usaha menjana tenaga elektrik alternatif berbanding sumber diperolehi negara pada masa kini.

Usaha terbaru itu dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi projeknya dikenali ‘Hydraulic Wave Energy Converter System’ yang berperanan menyerap kuasa ombak sebelum diproses menjadi sumber tenaga elektrik.

Projek berkenaan adalah hasil tenaga dan fikiran tiga orang pelajar ijazah
sarjana Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT bersama pensyarah mereka, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim selaku ketua, lapor BERNAMA.

Seorang anggota kumpulan itu, Khairul Anwar Mohmad, pelajar Ijazah Sarjana Fizik (Tenaga Diperbaharui) berkata, kawasan UMT yang berhampiran dengan laut sesuai untuk pelaksanaan projek itu.

Inovasi itu menyerupai aplikasi penggunaan tenaga berasaskan sumber cahaya suria (sistem solar) dan sumber angin (sistem kincir).

Beliau berkata, sistem itu akan ditempatkan di kawasan pantai berhampiran UMT, dan bersifat kalis air serta tahan lasak untuk menerima pukulan ombak.

“Bila sistem ini menerima pukulan ombak setinggi tiga meter secara konsisten dalam tempoh satu jam, ia mampu menjana bekalan elektrik sehingga 40kW atau bersamaan penggunaan untuk empat buah rumah selama sebulan,” katanya.

Khairul Anwar berkata, pada peringkat awal, tenaga dijana dibekalkan secara percuma kepada masyarakat di perkampungan nelayan di Kuala Terengganu.

Katanya, projek itu mendapat geran RM1.4 juta daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan kini dalam fasa rekaan dan penambahbaikan.

“Kami menyasarkan inovasi ini digunakan sepenuhnya pada 2019 sekaligus memberi bekalan elektrik percuma kepada golongan nelayan ,” katanya.

=EZY=

Categories
SAINS & INOVASI

Fenomena Matahari paling hampir dengan Bumi hari ini

SHAH ALAM 4 JAN: Fenomena Perihelion apabila kedudukan matahari berada paling hampir dengan permukaan bumi berlaku hari ini.

Menurut Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata, matahari akan berada di titik paling hampir dengan bumi.

“Semasa fenomena berlaku, Matahari akan berada di jarak 147,100,998 kilometer (km) dari Bumi berbanding pada kebiasaannya iaitu di 149,600,000 km.

“Fenomena perihelion berlaku apabila Bumi melengkapkan putaran 365 hari mengelilingi orbitnya yang berbentuk elips (bujur),” katanya dipetik Sinar Harian.

Tambahnya lagi, terdapat sedikit perubahan suhu yang berlaku semasa fenomena ini namun tiada yang mendatangkan bahaya.

Orang ramai juga diminta tidak panik atau cemas memandangkan fenomena ini sering berlaku saban tahun.

“Memandangkan jarak Matahari yang dekat dengan Bumi, ia mungkin akan menyebabkan suhu cuaca sedikit tinggi daripada kebiasaannya, walaupun begitu ia tidak menyebabkan kepanasan yang melampau atau ‘heatwave’.

“Perbezaan saiz Matahari juga dapat dilihat tetapi tidak begitu ketara dan kita di Malaysia tidak dapat melihat fenomena ini kerana ia berlaku pada waktu malam, pukul 10.18 malam,” jelasnya.

Katanya lagi, para saintis di seluruh dunia akan menggunakan kesempatan ini untuk mengambil ukuran radiasi matahari dan merekodkannya.

Bagaimanapun, pada 4 Julai nanti, bumi akan mengalami satu lagi fenomena iaitu Aphelion di mana ketika itu, matahari akan berada pada jarak paling jauh dengan bumi.

=EZY=

Categories
NASIONAL SAINS & INOVASI

Fenomena ‘Supermoon’ 14 Nov, terdekat dalam tempoh 68 tahun

SHAH ALAM 9 NOV: Fenomena ‘Supermoon’ atau bulan penuh Perigee bakal menyaksikan bulan berada paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun yang boleh dilihat pada 14 November ini.

Ia akan kelihatan bermula jam 7.24 malam dan seterusnya fasa bulan penuh atau purnama pula pada jam 9.54 malam.

Fenomena itu berlaku apabila bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan Bumi (Perigee) yang membuatkan saiz bulan seolah-olah lebih besar daripada biasa.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), dalam satu kenyataan menjelaskan saiz fizikal bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali.

Fenomena ‘Supermoon’ pernah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015.

supermoonBagaimanapun, kejadian kali ini bakal menyaksikan bulan berada paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh melayari laman web, Facebook dan Twitter Agensi Angkasa Negara (ANGKASA).

Orang ramai juga dijemput untuk berkongsi imej Perigee bulan purnama pada 14 November ini di Facebook ANGKASA.

EZY