Categories
SASTERA

Disiplin kritikan dan sikap penulis

Oleh Roslan Jomel

 Setelah membaca esei Dicari: Krtik(us) Sastra Indonesia dari buku Politik Sastera karangan Saut Situmorang, jelaslah ada perbezaan besar memisahkan antara kritikan sastera dengan tulisan-tulisan apresiasi dan ulasan. Secara ringkas, itulah batasan takrifannya. Tidak semua penulis membicarakan karya sastera di akhbar atau majalah dianggap kritikus sastera berautentik. Seorang pengarang fiksyen menulis tentang sepak terajang permasalahan dunia sastera dalam esei, tidak semestinya karangan yang dihasilkan itu diistilahkan sebagai kritikan. Bahkan ruangan Kritikan Cerpen dalam majalah seumpama Dewan Sastera belumlah layak sepenuhnya dijadikan contoh kritikan sempurna sebagai rujukan.

Proses mendapat pengiktirafan sebagai kritikawan sastera diraih daripada rejim pembelajaran bawah seliaan tenaga pengajar di universiti. Perakuan itu tidak didapatkan melalui kemenangan-kemenangan dari sayembara penulisan karya kreatif. Mahir menguasai teori-teori sahaja sahaja belum memadai. Dalam esei, Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia, SN Muhammad Haji Salleh menyatakan, “seorang kritikawan yang baik, adalah seorang yang benar-benar teliti dan menyeluruh dalam menurunkan kesannya terhadap sesebuah karya, daripada seluruh peribadinya: akal, emosi, pengetahuan dan sebagainya, kerana sesebuah karya sastera itu adalah hasil daripada keseluruhan manusia penulis, penuh dengan kompleksiti dan paradoks yang terdapat dalam hidup tiap-tiap manusia.”

Sasterawan-sasterawan besar mampu menulis karya yang luar biasa tanpa menerima pendidikan tertinggi. Manakala gelaran pengkritik sastera bertauliah tidak dipetik di jalanan. Ia diperoleh secara akademik dengan latihan sistematik dan mengambil masa untuk memantapkan anatomi bidang berkaitan. Maka, tulisan yang kononnya berpaut pada bayangan kata hati, perasaan dan tanggapan melulu semata-mata, tidak dinilai dalam disiplin kritikan. Saut Situmorang mendefinisikan dalam bahasa mudah, “Arti istilah “kritik(us)” tidak dianggap main-main karena adanya pertanggungjawaban profesional diharapkan dari para “kritikus” yang menulis ‘kritik” seni, karena “kritikus” adalah sebuah “profesi” sama seperti pengacara atau dokter gigi.” Ada beban intelektual di situ.

Sementara tulisan-tulisan yang mengupas karya sastera dihasilkan oleh pengarang-pengarang berkaliber malahan disepakati lebih menarik dan penuh kreativiti. Kadang-kadang kita menemui tulisan-tulisan demikian dalam majalah atau buku dan berasa terlibat secara intim kerana keahlian penulisnya menurunkan pelbagai elemen manusiawi ketika menggeledah isi karya. Pembaca dibawa menyelami pergolakan batin watak-wataknya dengan begitu organik sekali. Karya sastera adalah hasil daripada reaksi kepekaan seseorang penulis terhadap isu-isu yang menyentuh jiwa nuraninya. Berbanding kajian ilmiah yang ditekuni berpandukan dengan segala jenis teori sastera dari langit namun sangat kaku dan robotik, akhirnya terasa membosankan kerana tiada sentuhan imaginasi dan tautan emosinya kepada pembaca. Itulah ironinya.

Dalam Kata Penghantar untuk Siri Wacana Persuratan Baru Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, terbitan Wadi al-Irfan Klasika Media, 2019, Mohd Affandi Hassan dengan nada tanpa berlapis menyatakan keraguan-keraguannya berhubung kaedah penganugerahan gelaran Sasterawan Negara. Beliau menilai dan mempersoal kelayakan kualiti para penulis Malaysia oleh barisan juri yang bertanggungjawab mengangkat darjat kerja kepengarangan.

Semenjak tahun 1981 lagi, saya telah menolak “projek Sasterawan Negara” sebagai tidak perlu dan bertentangan dengan perkembangan penulisan kreatif yang bertunjangkan ilmu yang benar. Pertama sekali, belum ada lagi seorang tokoh kreatif dalam bidang penulisan yang layak digelar pujangga, yang akan melayakkannya disanjung sebagai “Sasterawan Negara”. Keduanya, karya para Sasterawan Negara tidak memenuhi konsep karya kreatif bermutu hatta dinilai dari perspektif barat sekali pun. Ketiga, ukuran yang digunakan untuk membuat pilihan tidak jelas dan tidak tepat, serta cara penerapannya adalah salah.”

Persoalan besar sekarang adalah bagaimana seseorang penulis sama ada baharu atau sudah ternama berhadapan dengan pengkritik sastera neutral? Adakah keegoannya sebagai penulis hebat terlucut oleh teguran yang mengesani beberapa kelemahan dalam karya-karya mereka? Mengapa sebahagian penulis tidak boleh berlapang dada dengan kritikan atau ulasan yang tidak menyenangkan hati mereka? Atau mereka hanya gembira dan bersetuju apabila tulisan ke atas karya mereka dilimpahi kata-kata pujian waima palsu? Jika hal itu berlanjutan, secara psikologinya, naskhah kritikan sastera kita tidak akan mematangkan sikap penulis.

Beberapa nama besar dalam bidang penulisan ketara sungguh emosional apabila dihadapkan dengan pandangan berbeza ketika karya kreatif mereka dikupas. Sebahagian penulis demikian lebih ghairah agar karya kiriman mereka segera disiarkan. Sedangkan Sasterawan Negara pun masih dipersoalkan oleh Mohd Affandi Hassan. Gelaran itu bukan imuniti istimewa. Soal setuju atau tidak, perkara lain. Sepatutnya bidang penulisan karya kreatif dan kritikan beriringan dan saling sokong-menyokong secara sihat. Bayangkan sekian lama karya-karya mereka dibentangkan dalam kertas kerja di dewan seminar gah dengan pelbagai teori canggih. Tiba-tiba beberapa buah tulisan mendedahkan sudut-sudut negatif yang segan diselongkar para pembentang kertas kerja sebelum ini mengganggu kredibiliti nama mereka. Jangan dilupakan, kadang-kadang penulisan seseorang mula merosot akibat faktor usia dan tenaga kreativiti yang semakin melemah. Itu lumrah.

Apa diinginkan oleh para penulis sebegitu ialah kritikan dan ulasan yang hanya menaikkan nama dan reputasi peribadi masing-masing. Bukannya untuk memajukan standard kesusasteraan itu sendiri. Mereka telah melepaskan diri daripada tanggungjawab terpenting sebaliknya lebih bernafsu narsisisme. Saya keliru dengan pemikiran sebegitu yang tertanam dalam mentaliti penulis berpengalaman. Apa tujuan sebenar mereka berkarya? Menulis sebagai ikhtiar menambah sumber pendapatan sampingan? Teruskanlah selagi boleh. Menyedihkan, pada masa kini, dengan sayembara demi sayembara dianjurkan, sukar untuk kita mencari seniman berjiwa besar dan sofistikated akalnya.

Categories
SASTERA

Bibir yang menggasingkan bicara

Sepasang mata tumbuh di bibir
menjadi panggung berkaki
mendikirkan wayang semasa
ke mana langkah menikam tanah
di situ lidahnya terlayar
tanpa berbayar.

Kata-kata tak berbaju
jauh sekali berbutang luhur
noda setitik tahi lalat
di tubuh ayat
meski dipupuri
tetap jua berwarna fitnah
sesiapa pun enggan dipersalah.

Bibir, kembalilah ke wajah
yang bijaksana
usah menggasingkan bicara.

Siti Alimah
Tawau

Categories
SASTERA

Selepas Subuh

Selepas subuh
rindu mengelupur resah
seperti dedaun muda luruh
dicatuk angin

Embun menetes kutadah
hilangkan dahaga sepanjang malam
mentafsir mimpi dibunuh berkali-kali
di tengah kota manusia.

Selepas subuh
fajar berarak pulang ke daerahnya
doa mengisi ruang duha

sepagi damai diranah bonda
kutinggalkan segala mimpi
di piring ingatan.

Mamu MK Hasny
Anjung Karyawan Lekir

Categories
SASTERA

Membuka Dimensi

Barangkali mereka telah jemu dengan teka teki
atau menolak dadu di atas dam ular
percaya datang dari jawapan
bukan soalan yang panjang
tidak juga janji kepada angin
biarlah diukir pada lantai
sebuah rumah perjuangan
bersama dimengertikan
zahir yang berdimensi.

Mungkin mereka ingin melihat bentuk
bangunnya sebuah pemberian
tidak hanya melihat fatamorgana
atau berjalan di dalam kabut
kemudian ditidurkan oleh siang
penantian menjadi rindu
yang tersangat panjang.

Mereka telah melepasi garis dewasa
dimekarkan oleh tamadun minda
mereka telah membuka segala pintu
sebuah rumah tanpa dinding
sebuah perjalanan tanpa muktamad.

Solihin Osman
Dangau Seni, Kangar.

Categories
SASTERA

Mata Ketiga Encik Rahman

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

SEMUA staf di syarikat itu sentiasa dalam kerajinan dan kesungguhan kerana mereka tahu majikan mereka iaitu Encik Rahman memiliki mata ketiga yang boleh memandang tembus dinding-dinding dan kubikel pejabat hatta setebal peti besi keselamatan emas milik Rostchild sekalipun.

Cerita ini bukan sekadar gosip liar yang berlegar tanpa tujuan. Seorang pekerja bernama Aizen adalah contoh klasik kepada kegagalan seorang staf yang cuba culas dan terkantoi oleh bosnya. Ia berlaku ketika matahari sedang memanjat langit di luar bangunan dan penyaman udara pejabat seperti salju di Ittaweon yang membuatkan Aizen terketar-ketar cuba menahan kantuk dan melawan keinginan untuk merokok setelah sejak pagi dia belum menjamah sebarang puntung manis kereteknya. Lalu, Aizen yang menyangka Encik Rahman, yang ketika itu baru hari pertama masuk sebagai bos baru yang pada anggapannya pastilah tidak begitu peka dan kalaupun dia garang sekurang-kurangnya pada fasa awal ia sebagai bos, masih punya timbang rasa – jika dia tertangkap cuba keluar pejabat.

Aizen baru sahaja melangkah melepasi pintu pejabat dan dari kesenyapan pejabat itu yang hening dia terdengar dehem-dehem yang agak kuat. Dia tidak peduli dan meneruskan langkah. Keinginannya terlalu memuncak sehinggakan jari manisnya kelihatan seperti sebatang rokok Nusantara. Lalu ia keluar terus, menuju ke port lepaknya yang biasa – yang dia yakin Encik Rahman tidak tahu.

Dia menghisap rokok sepuas-puasnya, mencuci wajah di tandas, mengunyah gula-gula getah dan dengan keyakinan tanpa risau ia masuk ke pejabat dan tatkala melangkah menuju ke kubikelnya, Nuraina Ngadina (nama panggilannya Dina) seorang setiausaha yang jelita beranting-anting besar pada cuping telinganya, memberitahunya bahawa Encik Rahman ingin berjumpanya di pejabat.

Aizen dapat berasakan yang Encik Rahman mengetahui dia keluar tetapi dia boleh beralasan yang dia cuma ke tandas atau ada urusan di tingkat lain. Tercengang Aizen bila Encik Rahman menyebut dengan terperinci tentang apa yang dia lakukan, malah jenama gula-gula getahnya, Wrigley’s. Untuk kesalahan itu Encik Rahman telah memberi amaran keras dan akan mencatatkannya di dalam fail laporan prestasi pekerja yang membuatkan Aizen terus insaf daripada melakukan kerja-kerja hina sebegitu.

Adrian Lowel adalah staf kedua yang kantoi oleh Encik Rahman apabila beliau membawa sepuluh ketul karipap pusing ke meja kerjanya, menyorokkan bungkusan plastik di bawah laci meja komputer dan sambil menaip beliau makan satu persatu sampai habis. Sebelum waktu rehat dia dipanggil Encik Rahman, yang mengetahui semua kelakuannya, bahawa Adrian Lowel telah tertumpahkan teh halia di lantai berhampiran mejanya dan pada suatu-suatu masa Adrian Lowel tidak membawa tisu, dia selsema lalu menyelek kahaknya (bagi mengelakkan ia bergumal di dalam mulut atau berulang-alik ke tandas) pada bawah mejanya.

Adrain Lowel kebingungan. Bagaimana Encik Rahman boleh mengetahuinya dengan jelas. Sewaku rehat, Adrian Lowel yang tidak dibenarkan keluar telah menahan Aizen dan memberitahu tentang ilmu laduni Encik Rahman. Mereka berdua tidak dapat menerima akan kepengetahuan Encik Rahman itu, yang terlalu teliti. Apakah perkara yang bisa menjelaskan ini semua?

Mereka cuba berfikir. Dan akhirnya mereka mendapati ada satu kejanggalan pada Encik Rahman iaitu ia suka memakai songkok yang terpesuk ke dalam, menutupi dahinya. Memang benar, sejak hari pertama masuk ke pejabat itu lagi Encik Rahman tidak pernah menanggalkan songkoknya yang dipakai sehingga menutupi dahinya. Kalau tidak songkok, ia memakai kopiah dan ketika waktu pulang, Aizen selalu mengesyaki yang songkok Encik Rahman akan terkendap dengan bau peluh dan mengakibatkan ketidakselesaan pada Encik Rahman yang berkemungkinan membuatkannya mencabut songkok itu. Tetapi tidak berlaku. Sebaliknya Encik Rahman menggantikannya dengan topi penuh yang juga melindungi dahinya.

Dakwaan ini diperkuatkan lagi oleh cerita orang lain seperti Maimun Jaharah yang terkantoi mengumpat Encik Rahman dengan Rozilia Daud. Atau Joceline Tan yang diketahui kerap bermain judi dalam talian, turut diketahui oleh Encik Rahman. Lama-kelamaan semua staf mula bekerja dengan baik. Tidak ada lagi yang culas atau memonteng. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana mereka tahu jika ada sebarang kesilapan yang mereka lakukan Encik Rahman pasti akan mengetahuinya.

Setelah beberapa tahun menabur bakti di bahagian itu Encik Rahman dinaikkan pangkat. Sewaktu majlis perpisahannya semua staf tidak dapat menahan diri daripada persoalan itu. Iaitu benarkah Encik Rahman memiliki mata ketiga di dahinya. Encik Rahman ketawa dan menafikannya. Namun semua staf kelihatan serius dan membuatkan Encik Rahman menghela nafas dan perlahan-lahan – sambil disaksikan dengan penuh debar oleh semua staf – menanggalkan songkoknya.

Ada yang menggeleng dan ada yang tercengang. Tenyata dahi Encik Rahman biasa sahaja dan tiada apa yang pelik. Ia rata malah ada kesan lebam seperti orang yang kuat bersembahyang.

“Tapi bagaimana selama ini encik boleh tahu semuanya?” Tanya Aizen. Yang lain angguk sama mengiakan. Encik Rahman dengan tenang dan riak wajah yang tak terkesan menjawab, “Aku melihat dengan mata hatiku.”

Namun perihal itu akan dilupakan oleh staf itu, baik Aizen, baik Adrian Lowel, baik Rozilia Daud, baik Maimun Jaharah, baik Joceline Tan atau Nuraina Ngadina kerana kepercayan dan persoalan mereka selama ini cumalah satu ketidakwujudan yang mengecewakan. Tapi saya tahu itu semua tidak benar. Sebelum majlis perpisahan itu bermula Encik Rahman sudah mengesan perkara seperti ini akan berlaku lalu menyorokkan saya ke dalam hatinya, untuk sementara.

Categories
SASTERA

Bergayutan Keresahan di Kelopak Mata

Oleh Nik Aidil Mehamad

Tengah malam kelmarin,Pak Rumi yang dingin, ekonomis tutur bicaranya, mengoyak bungkusan mee segera, campak mee ke dalam periuk kecil yang menguap wap. Dapur gas menyala, bayang tubuh kurusnya makin jelas terbekas di langsir jendela dapur apabila api dapur gas melayang-layang ditiup angin dari luar rumah. Bayangnya turut menari-nari. Dia duduk di meja makan dalam tempoh masa yang agak lama hanya untuk sepinggan mi segera.

Langsir dapurnya seolah-olah kelir wayang kulit. Betapa bosan pun wayang gambar malam itu, Elena akan duduk menonton Pak Rumi. Lelaki itu selalunya akan mundar-mandir di dapurnya. Lampu dapur dipadam barulah Elena turun dari loteng rumah Ibu Yu. Dalam rumah yang tidak punya cahaya elektrik yang cukup – hanya ruang dapurnya bercahaya pada waktu malam, Pak Rumi tinggal.

Sepasang merpati bertengkar di atap rumah. Rumah dicat dengan warna senja. Polesan cat tidak rata, dinding rumah masih terlihat permukaan papan kayu. Ada tingkap yang tercabut dari tubuh rumah. Sebahagian tubuh rumah Pak Rumi disembur grafiti, barangkali luahan remaja-remaja di kampung Elena. Grafiti lirikal dari kumpulan musik dari UK. Potongan lirik itu melekat dalam kepala Elena, “ I don’t care if it hurts, I want to have control, I want a perfect body and I want a perfect soul.”

Tombol pintu dapur dipulas dengan sangat pelan. Seolah-olah ada bayi sedang lena tidur. Bukan pertama kali Elena masuk ke dalam rumah yang pengap bau kayu arang. Baunya masih juga sama hari ini. Cahaya matahari menerebos masuk dari rekahan atap rumah, melimpah di lantai yang tidak ditampal jubin mozek. Sebuah telaga di penjuru dapur, aneh telaga terletak di ruang dapur. Kedengaran ikan-ikan puyu berenangan dalam telaga kerana suasana dalam rumah yang sunyi juga sayup-sayup kedengaran lagu folk klasik Tagalog yang tiris dari radio. Pokok-pokok orkid tergantung di dinding dapur. Berderetan ikan laga  dalam botol kaca disusun di atas para-para. Lumut menempel di dinding dapur. Elena menyentuhnya dengan jari-jemarinya, lumut tidak basah.

Pak Rumi sedang merenung balang kaca. Seekor ikan laga berekor kemerahan seperti model-model dalam iklan fesyen busana – memperagakan ekornya yang berkilau mengembang. Dia menjentik balang kaca beberapa kali sebelum memandang Elena sekilas dan kembali merenung balang kaca sebelum berkata, “ibuku dalam balang kaca”. Kata-kata Elena tidak dihiraukannya apabila gadis itu memberitahunya tentang kematian Ibu Yu.

Lelaki itu bangun dan berdiri di sebelah Elena yang sedang menekuni pemandangan di hadapannya. Di hadapan mereka tergantung pokok-pokok orkid – bunga-bunga orkid yang pelbagai warna melahirkan visual psikedelik dalam keremangan cahaya lampu ayam yang menyala di atas kepala.

Pak Rumi tidak tahu, tubuh kecil Ibu Yu tumbang ke lantai, pada malam Elena menonton filem Happy Together arahan Wong Kar Wai. Kebetulan, imej-imej keintiman Elena dengan Ibu Yu ada di sela-sela imej bergerak dalam filem ini. Ibu Yu tewas dengan gangren – bakteria menjalar ke buah pinggang dan menumpang tinggal di paru-paru.

Elena keluar dari rumah Pak Rumi, di tangannya tergenggam botol kaca yang terisi ikan laga berekor kemerahan . Uban yang memutih di kepala Pak Rumi seperti pokok kapas di hadapan rumahnya. Sepanjang tali air yang mati ini, berderetan rumah yang akan ditenggelami bah bila musim tengkujuh datang. Rumah-rumah ini dibina di atas tanah pusaka. Susun atur rumah yang berterabur seperti rumah lego yang disusun anak kecil.

Pintu dan tingkap rumah yang belum dikatup menayangkan kehidupan dalam rumah walaupun senja makin hampir. Bagus juga cahaya lampu jalan tidak melimpah di bumbung-bumbung rumah, kegelapan menyorok keresahan yang berkeliaran pada waktu malam.

Bunyi-bunyi ambien dari perut rumah ketika Elena berjalan dari satu rumah ke satu rumah menuju pulang ke rumah Ibu Yu; bunyi tumbukan lesung batu adalah melodi keghairahan seorang ibu menyiapkan makan malam, kedengaran mesin basuh uzur membilas keringat semalam, tangisan anak kecil yang menikam dada, suara gitar yang melagukan My Bloody Valentine. Elena juga dengar alunan bacaan ayat Quran pada satu jendela dapur, seorang perempuan bertelekung putih masih di atas sejadah, cahaya matahari yang masuk dari jendela dapurnya terbekas bayang Elena di dinding hadapannya. Elena menghilang sebelum perempuan itu menoleh ke arah jendela dapur.

Tiket bas terhimpit di antara not-not kertas dalam dompet. Bas menuju ke Kuala Lumpur malam ini. Drebar bas melaung kepada penumpang, “dilarang membawa masuk nostalgia ke dalam bas”. Bas teroleng-oleng seperti kemabukan memanjat bukit-bukau dan kegatalan bas yang dinaiki Elena mengenyitkan mata kepada bas yang berselisih dengannya.

Diari harian dibuka, kata-kata terakhir Ibu Yu ditulis di atas kertas memo terselit dalam diari dan Elena akan tampalnya di pintu peti ais,“jangan bawa balik keresahan dan bawa masuknya ke dalam rumah”.

Sering saja Elena membawa masuk keresahan ke dalam rumah. Hunikannya dalam rumah, seolah-olah ia aib diri sendiri. Begitulah Elena menjaga rahsia keresahan yang sebenarnya tumbuh seperti teratai yang meliar di tali air sepanjang petempatan dirinya dibesarkan dan pada waktu malam ada yang membelah kesunyian dengan deruman enjin motorsikal, membawa keresahan merayau-rayau di belakang rumah kosong, di alur-alur kecil berselut, di tepi sungai, belakang bangunan kedai terbiar, dalam semak-samun juga ditepi kuburan.

Bergayutan keresahan di kelopak mata dan mereka tidak peduli.

Categories
SASTERA

Intertekstualiti dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Oleh Za’im Yusoff

 SEKALIPUN kata “creative” berasal daripada kata akar “create” mengisyaratkan kepada penciptaan baru, kebanyakan karya tidak lebih daripada apa yang disifatkan Aristotle dalam Poetics, yakni sejenis mimesis, bahasa mudahnya peniruan.

Namun, peniruan berbeza dengan penipuan seperti ciplak cuplik kerana kedua-duanya mampu dibezakan. Misalnya, mimesis kelas tinggi mampu dihurai melalui alat kritikan mimetik antaranya menerusi teori intertekstualiti.

Intertekstualiti adalah kajian hubung kait antara suatu teks dengan teks lain yang dipelopori oleh Julia Kristeva, tokoh linguistik Perancis hasil pengembangan teori dialogik Bakhtin sekitar 1960-an menerusi tulisan “Le mot, le dialogue et le roman“.

Kristeva meringkaskan intertekstualiti sebagai sebarang penyerapan dan transformasi daripada karya-karya terdahulu (dikenali sebagai hipogram) yang kemudian dihurai melalui prinsip-prinsip intertekstualiti seperti transformasi (pemindahan), modifikasi (pengubahsuaian), paralel (keselarian), ekserp (petikan), ekspansi (pengembangan), eksistensi (unsur baru), haplologi (pengguguran), defamiliarisasi (luar kelaziman), demitefikasi (penentangan) dan konversi (putar balik).

Ringkasnya melalui kaedah intertekstualiti, naratif Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang idea dan cerita asalnya ditukangi Hajah Ainon Ariff, Nur Naquyah Burhanuddin dan Aliya Nazlan membawa penikmat sinema mendenai ziarah muhasabah.

Ziarah yang dimaksudkan adalah memercikkan nuansa-nuansa naratif legenda dongeng Melayu yang pernah disinemakan (sekaligus menjadi hipogram bagi filem ini) seperti Si Tanggang (1961), Singapura Dilanggar Todak (1961), Bawang Putih Bawang Merah (1959), Raja Bersiong (1963, 1968), Batu Belah Batu Bertangkup (1959), juga legenda ciptaan P. Ramlee seperti Nujum Pak Belalang (1959) dan Anakku Sazali (1956).

Setelah menziarahi naratif, filem itu menggugah dengan mengajak kita jujur bermuhasabah seraya berani mengubah bagi melengkapkan sebarang sudut pandang yang memerlukan rejuvenasi ke atas interpretasi sekaligus mengkayakan penghayatan khazanah bangsa.

Selama ini, nilai pengajaran yang sering dikuak tanggap termasuklah jendela legenda dongeng Melayu lebih cenderung ditelusuri menerusi bingkai pendekatan tarhib (ancaman) berbanding pendekatan targhib (anjuran).

Ini diamati dengan cermat oleh Bapa Pendidikan Malaysia, Che Aminuddin Baki dalam “Aminuddin Baki di Rumah Persekutuan (2015)”. Beliau berpandangan pendekatan pendidikan informal khususnya di rumah lebih banyak menggunakan perkataan “jangan” seraya tidak berani mencuba, mitos yang lebih bertujuan menakut-nakutkan kanak-kanak sehinggalah persoalan suratan azali yang menjadi wahana pendidikan tanpa sedar menjadi penghalang kepada kemajuan bangsa dan masyarakat Melayu.

Di sinilah, filem berperanan memaparkan secara konsisten watak-watak protagonis dalam naratif legenda yang dijungkir balik menjadi antagonis, bukan semata-mata ingin menguar-uar “inilah kreativiti cicit piut Tok Selampit Melayu moden”. Bahkan lebih cemerlang, beginilah kita harus pandang bagi menghadapi ‘todak-todak’ masa depan yang menerjang.

Misalnya, acapkali dalam legenda Si Tanggang termasuklah naratif filem Si Tanggang (1961) arahan Jamil Sulong, kompas moral dihala kepada Si Tanggang yang mencuaikan hak seorang ibu bermula dengan si anak meremehkan tanggungjawabnya kepada si ibu. Hal ini membawa kepada nilai pengajaran secara tarhib iaitu si anak jangan sesekali menderhaka kepada ibunya.

Namun, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal melalui prinsip ekspansi menduga kita untuk mengubah halaan kompas moral ke arah pihak yang dicuaikan hak — apakah pantas seorang ibu menggunakan ‘keramat sumpahan’ sebegitu? Selain hal ini bersifat lencongan plot yang bermutu tanpa menolak dapatan nilai pengajaran dalam naratif terdahulu; naratif baru sebegini menemukan kita dengan nilai pengajaran segar.

Akhirnya, kita mendakap pesan betapa hubungan kekeluargaan bukan sekadar berlegar antara hak dengan tanggungjawab bahkan kasih sayang yang menerima penuh kewujudan tiap-tiap insan dalam keluarga sebagaimana anjuran golongan sufi untuk kita “memakai sifat-sifat Tuhan yang mendahulukan kemaafan berbanding kemurkaan”.

Intertekstualiti paling mahal dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal adalah melalui prinsip haplologi dengan memperdalam makna peribahasa mahsyur, “Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama” tatkala mengetengahkan naratif Singapura Dilanggar Todak.

Kendatipun kembara naratif ternyata menjelmakan batang-batang pisang mengubui Inderaloka daripada serangan tsunami todak kemudian batang-batang pisang hadir di luar dugaan sebagai bedil-bedil meriam sehingga lasykar musuh terkebil-kebil dihunjam, sesuatu yang nyata adalah watak Hang Nadim pula sengaja ditiadakan.

Secara halus, ‘kehilangan’ watak Hang Nadim memperdalam sudut pandang peribahasa berkenaan betapa nama yang ditinggalkan manusia setelah pemergiannya adalah erat terkait pada jasa-jasanya yang membukit. Namanya mungkin hilang tetapi watak Hang Nadim pasti muncul dikenang saat jasa-jasanya timbul direntang di layar besar wayang.

Sejujurnya, keberanian Les’ Copaque dalam mempertaruhkan deretan intertekstualiti seumpama ini adalah sesuatu yang berisiko khususnya menyoroti penerimaan khalayak penonton yang belum pernah memesrai naratif legenda dongeng Melayu.

Di sini terserlahnya kebijaksanaan pasukan produksi saat memanfaatkan pelbagai instrumen naratif misalnya melalui lirik-lirik OST khususnya Buai Laju-Laju dalam episod menziarahi naratif lagenda sebelum meneruskan naratif dengan episod tafsir semula menerusi lensa muhasabah.

Rangkap pertama Buai-Buai Laju iaitu Sunyi sepi hidup tanpa keluarga/ Menagih kasih ibunda/ Diriku ini terperangkap di sini/ Sanggupnya difitnah insan yang dikasihi – dengan tembang puitis sederhana alunan mezzo-soprano Ernie Zakri sudah cukup menumpahkan gambaran naratif asal legenda malah diselitkan imbas muka bagi lencongan plot pada kalimah “terperangkap di sini”.

Terperangkap adalah paradoks ironis lantaran yang dipenjara adalah Bawang Putih yang memfitnah sedangkan lirik ini mengisyaratkan Bawang Merah yang terperangkap bahkan kolam air yang ditanggap sebagai laluan penyelesaian kembara menjadi kering walhal arus air mengalir di daratan sekeliling.

Simbol kata dan simbol visual ini usainya bertujuan memberatkan lagi makna keterperangkapan spiritual dalam diri Bawang Merah lantas memperkenal sisi antagonisnya sendiri melalui prinsip modifikasi pada peleraian sebelum jujur mengikuti jejak langkah separalel kisah mulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang memilih untuk memaafkan Mistah Ibn Usasah, saudaranya sendiri yang terlibat memfitnah Ummul Mukminin Aisyah semasa musibah Hadisul Ifki.

Simbol Keris Siamang Tunggal juga dihipogram dari Keris Panjang Beruk Berayun, alat kebesaran diraja Selangor sebagai lambang Raja Berdaulat iaitu legenda mengisahkan keris yang tidak berlok hanya berfungsi dengan baik jika berada di tangan mereka yang benar-benar layak sahaja.

Dalam filem ini, bilah ghaib dimunculkan berdikit-dikit sebagai instrumen bagi melengkapkan rejuvenasi ke atas interpretasi legenda dongeng Melayu secara bertahap-tahap. Selain itu, keadaan keris yang ringan pada sahabat yang setia sebaliknya menjadi berat pada seteru yang derhaka. Ini ternyata menganjurkan prinsip eksistensi dalam intertekstualiti untuk menguatkan makna moral bagi watak protagonis, Mat Jenin selain menceritakan keluhuran fitrah kanak-kanak menerusi watak Upin dan watak Ipin.

Tuntasnya, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang disutradarai tiga pengarah berbakat, Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid dan Ahmad Razuri Roseli benar-benar menyuntik sedar betapa pohon sinema sebenar adalah saat pembikinnya berpaut erat pada naratif yang berakartunjangkan jati diri warisan. Hanya dengannya, barulah sinema kita mampu berkembang mekar berhayat panjang, tinggi dipandang dirakam zaman.

Categories
SASTERA

Sajak buat lelaki yang keluar dari halaman sebuah Buku

Seorang lelaki keluar dari helaian buku
dan memberiku seteguk penawar
dari kata-katanya yang meliuk
seperti ular yang menyusur akar.

Kemudian dia meninggalkan sepasang kasut
bersama nota yang bertandakan namaku
“jangan lelah bermain dalam dunia kata-kata”.

Ah, lalu kusarung kasut dan berlari
ke padang sajak, kutebas semak
fikiran yang tumbuh tajam juga
merapikan wajah bunga yang pucat.

Bulan dan bintang di tangan langit
kuambil ketika malam ketiduran
lantas kupakai selendang awan
sebagai penyamaran untuk sebuah
pengembaraan paling berani.

Kerana belum puas bermain kata
aku mahu ke halaman sebelah
di situ kutemukan baki penawar
kuteguk, menghilangkan hausku
sebelum kupilih untuk menulis
tentangnya, di bahu sebuah jalan.

Hidayyah At Mizi
Sendayan

Categories
SASTERA

Kaunter Rasa di Bursa Perempuan

Emosi perempuan umpama
graf indeks di bursa jiwa
sekejap melonjak dengan tiba-tiba
sekejap menjunam tanpa dapat diterka
kekadang statik sukar diramal perasaannya.

Membaca graf perasaan perempuan
perlu kepada analisis teknikal
bukan sekadar fundamental jiwanya
soal hati, emosi dan tanggungjawab
bukan sekadar terjahan sentimen cinta
yang kadang-kadang menggoda
mainkan hati sekadar suka-suka.

Barangkali jiwa wanita terlalu halus
di papan jiwa
kadang-kadang kencang berombak
sentimen emosinya terlalu ganas
sehingga terpancar gembira
pada wajah yang mencuka
walaupun indeks atma ditutup
bercampur pada hujung dagangan
setiap kali lafaz cinta ditutup.

Tentang jiwa perempuan
hatinya bukan saham utama
untuk kita beli dan jual sesuka hati
tatkala rugi
kita tinggalkan kaunter cintanya
mencari kaunter baru yang lebih muda
tinggi, seksi dan menggoda.

Besok kita lihat paparan berita
indeks perasaan tiba-tiba menjunam
memecah lantai emosi
kerana ada lelaki mengambil kesempatan
kemudian lari sembunyi diri
habis madu sepah dibuang.

Nimoiz T.Y
Ipoh, Perak

Categories
SASTERA

Hari itu, Politik Cuti Sakit

Oleh Lokman Hakim

SAYA tidak tahu apa yang mereka lakukan di sekolah itu. Dengar ceritanya ada pilihan raya, tetapi saya tidaklah ambil berat hal remeh-temeh seperti itu. Ah, bukanlah saya tidak peka dengan senario politik negara ini. Cuma soalnya, mereka mahu mengundi siapa? Tiada calon kelihatan. Tiada sesiapapun yang muncul di paparan media mencalonkan dirinya. Tiada janji ditaburi. Tiada visi. Nihil. Tiba-tiba Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan kenyataan media memaklumkan hari ini ada pilihan raya tanpa letak sebab-musababnya.

Lalu apa pula tujuan mereka berkumpul di sekolah itu? Kotak undi sudah diusung masuk. Mereka akan mengisi kertas cabutan undi yang tidak diletakkan nama-nama calon. Tiada parti politik juga kelihatan di mana-mana. Bendera-bendera dan sepanduk digantung hanya terdiri daripada warna-warna pelbagai. Hijau, merah, biru warnanya. Ada yang nakal meletak bendera warna pelangi. Ada juga yang bubuh iklan produk kecantikan tiada kelulusan KKM pada bendera, mengiringi bendera-bendera berwarna pelbagai itu. Tiada siapa tahu makna warna-warna tersebut. Tanpa cogan kata. Tanpa nama parti. Tanpa nama calon. Kosong macam otak rakyat kebanyakan sekarang yang sudah jenuh disuruh bertahan dengan segala bentuk kesusahan tanpa usaha jelas untuk menyelesaikannya.

Rengsa juga dibuatnya. Majikan telah memberi cuti kerana sudah digazetkan hari pengundian ialah hari cuti. Saya tetap mahu bekerja kerana majikan berkata cuti tahunan terpaksa dipotong kerana hari mengundi itu. Ah, mana boleh macam itu! Tapi sebab saya makan gaji, kenalah patuh sahaja. Setakat bercuti apa masalahnya? Setakat potong gaji sehari tidak mengganggu perbelanjaan bulanan sangat.

Saya bertegas untuk tidak pergi mengundi. Biarpun setelah itu, saya diberi leteran bertele-tele mengenai pentingnya menanam rasa patriotik dalam diri. Kita harus ikhlas mengundi, demi perubahan masa hadapan generasi seterusnya, kata majikan. Sambil-sambil itu, dia menghisap cerut dan menghembuskan asapnya ke muka saya seolah-olah saya tiada masa hadapan. Saya tidak peduli akan hal itu. Saya cuma mahu bekerja menghidupkan hari ini. Menghidupkan detik kini itu lebih bermakna daripada berjuang untuk hari esok yang mungkin tak sempat saya temui pun.

Soalnya sekarang ialah bukan saya tidak mahu pergi mengundi. Cuma saya tidak nampak mana-mana parti politik pun. Bagaimana mahu mengundi sesuatu yang tidak ada? Apakah negara ini sudah gila? Saya jadi bingung. Gaji saya dipotong demi pilihan raya palsu. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Namun, saya sudah belajar untuk bertahan hingga otak kosong. Saya juga harus menerima sesuatu yang tidak masuk akal seperti pilihan raya ini.

Kereta diparkir di bahu jalan. Saya hanya mahu menikmati sarapan di sebuah warung berhadapan dengan sekolah tersebut. Mujurlah ada beberapa gerai dibuka khas untuk para pengundi membeli makanan ringan. Sekurang-kurangnya, ketenteraman saya di warung kegemaran ini tidak begitu terganggu. Jelas, bilangan pengunjung warung berganda tiga kali berbanding hari biasa. Saya harus akur berkongsi meja dengan beberapa orang pengunjung. Masing-masing punya jari yang sudah diwarnakan menandakan undian sudah dibuat.

Ah, harapnya mereka tidak memandang serong pada diri ini yang tidak mengundi. Tanpa mahu berbual dengan sesiapa, saya ambil nasi lemak di atas meja, lalu menempah teh susu kegemaran. Namun, apabila berada semeja dengan para pengundi, pastinya saya tidak dapat mengelakkan diri daripada mendengar perbualan mereka. Saya dapat rasa cuping ini bergerak-gerak macam telinga keldai menepis lalat.

“Kau rasa siapa yang akan menang nanti?”

“Entahlah. Aku ikut sahaja arahan. Undi tetap undi. Undi demi masa depan.”

“Betul. Yang penting, kita dah laksanakan tanggungjawab kita.”

Saya menghabiskan nasi lemak mungkin hampir tiga bungkus dan tidak berasa kenyang langsung. Sepertimana ketiadaan wakil rakyat untuk diundi, begitu jugalah rasanya hilang perut ini. Saya tempah pula roti telur. Disusuli roti sardin. Teh susu yang habis digantikan pula oleh secangkir nescafe. Habis cangkir nescafe, saya minum pula kopi O gelas besar. Entah apa pula yang menghuni perut saya pada waktu ini. Mungkin ia berkait rapat dengan apa yang saya dengar.

Kedengaran seperti berintipati tetapi kosong makna. Kata-kata retorik yang dilontar sebelum ini juga puas sudah menerjang telinga. Saya patut berhenti makan. Pengunjung-pengunjung warung kian hangat membicarakan hal-hal politik tanpa menyebut nama parti dan individu. Aneh sekali. Bagaimana mereka boleh begitu konsisten? Adakah dimensi saya sudah berubah?

Rasa ingin tahu membuatkan saya pergi ke sekolah merangkap pusat mengundi tersebut. Ketika membayar harga makanan dan minuman, saya dimaklumkan bahawa seseorang telah membayarkan makan minum setiap pengunjung-pengunjung warung seikhlas hati tanpa mahu dikenali.

Saya disambut petugas pilihan raya dengan senyuman manis. Tidaklah saya berbaris sepertimana orang lain. Saya maklumkan bahawa saya sekadar mahu menumpang tandas sekolah. Jalan raya masih sesak. Semangat para pengundi amat luar biasa.

Ketika membuang air kecil, terdengar suara dari kubikel bersebelahan. Mungkin orangnya tengah bercakap di telefon. Entahlah.

“Hari ini politik cuti sakit! Tapi ramai datang mengundi sebab ketiadaan parti politik juga suatu pilihan! Kau datang ke tak?”

Betul juga, ya?  Saya patut berbaris dan menurunkan undian, yakni pada ketiadaan. “Parti yang tidak ada” juga sejenis parti, bukan? Dengan semangat berkobar-kobar saya segera menyertai barisan selama sepuluh minit sebelum teringat bahawa saya belum mendaftar selaku pengundi lagi. Tidak pernah sama sekali. <END>

Categories
SASTERA

Gadis Penjual Buku

Gadis itu senja
sunyi yang bersembunyi
dalam lipatan buku.

Dia tak peduli
mata yang melahap
wajah bukunya
mulus diratah
setelah kenyang ditinggal.

Sengaja dia membogelkan
tubuh bukunya
di pelantar pamer
untuk dijamah beramai-ramai
secara gratis.

Pabila malam tiba
buku-bukunya menangis
dalam hatinya.

Baharuddin Sairi
Sungai Nibong,Sekinchan

Categories
SASTERA

Evolusi langgam bahasa rentasi zaman

Oleh Taji Kuning

 KERANA silap membaca isi surat yang tertulis “salam paduka kekanda” tetapi dibaca sebagai “paduka kakanda empunya sembah, datang kepada paduka adinda”, Raja Pasai iaitu Raja Pahlawan mengamuk sehingga habis dibunuh seisi istana ketika itu.

Padahal si utusan dari tanah Haru telah ditegur beberapa kali oleh Raja Pahlawan sendiri yang mendengar bacaan itu kedengaran tidak sepatutnya.

Lanjutan hal itu membawa kepada peperangan antara Pasai dan Haru sehingga turut memberi kesan kepada Melaka. Tidak dapat dipastikan adakah si utusan benar-benar tersilap baca, tidak cermat baca, ada masalah penglihatan atau memang surat itu dikarang dengan perkataan sebegitu. Cerita itu dimuatkan dalam Sulalatus Salatin pada bab Akibat Salam Dibacakan Sembah.

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh telah mengalihkan cerita itu kepada bentuk sajak bertajuk Ceritera yang Kedua Puluh Empat dan diterbit dalam buku Sajak-sajak Sejarah Melayu. Tulisnya:

 

Cih, Pasai ini tiada sayang pada bahasa,

pada rasa dan hati yang dikandunginya.

ayat dilengkungkan dengan pembacaan,

makna dipindahkan kepada kehendak.

tiada akan besar bangsa

yang tiada kasihkan bahasanya,

tiada kebenaran pada manusia

yang tidak dapat melihat kenyataan.

 

Cerita ini mengingatkan kita kepada peribahasa “kerana pulut santan binasa/kerana mulut badan binasa” yang begitu popular menggambarkan akibat kesilapan dalam percakapan. Makna baru dari perkataan yang tersilap selalunya mendatangkan fitnah yang lebih besar. Tetapi berapa ramai yang mengambil pengajaran dan cuba mengelak melakukan kesilapan dalam kehidupan seharian?

Silence is Golden kata peribahasa orang putih yang kemudiannya dinyanyikan kumpulan KRU sebagai “diam itu ‘kan pintar”.

Dalam bahasa Melayu juga ada banyak peribahasa,  pepatah dan perumpamaan berkaitan diam seperti “diam-diam ubi berisi” atau seperti “bunyi tin kosong”. Adakah ini semua sebagai respon terhadap kisah amukan Raja Pahlawan? Atau ia sebagai ingatan kepada rakyat bawahan supaya berhati-hati apabila berbahasa dengan golongan atasan?

Tidak dapat dinafikan, bahasa banyak larasnya. Laras bahasa pasar, bahasa rasmi, bahasa persuratan, bahasa istana, bahasa korporat, bahasa akhbar dan entah berapa banyak jenis lagi. Kata sesetengah orang, ini menunjukkan bahasa juga ada kastanya. Adakah ini benar? Mungkin ya mungkin tidak. Langgam, gaya dan loghat sering berevolusi selaras dengan pergerakan zaman dan perkembangan ilmu.

Ada gaya bahasa yang sudah ditinggalkan seperti penggunaan kata ganti nama diri “hamba” dan “tuan hamba” yang mungkin digunakan secara minimal pada sesetengah tempat sahaja. Namun, tetap saja ada jarak antara satu-satu golongan via laras bahasa atas beberapa faktor.

Merenung kembali kisah dari Sulalatus Salatin, di situ boleh kita boleh petik banyak pengajaran. Pertamanya supaya lekas sedar diri dan memperbetulkan keadaan kemudian meminta maaf. Itulah yang sepatutnya dilakukan si utusan. Kedua, cerita itu menunjukkan betapa seorang pemerintah yang biasa hidup dikelilingi sanjungan dan tentunya salah satu bentuk sanjungan adalah melalui laras bahasa yang diguna pakai di dalam istana yang memerlukan orang bawahan mengangkat sembah, merendah diri dan mengikut arahan, telah menyebabkan si Raja Pahlawan tidak langsung dapat bersabar sehingga terheret ke kancah perang.

Kata Azizi Abdullah, pujian adalah racun. Ya, racun yang boleh merosakkan hati dan perasaan seseorang.

Jadi, bagaimana dengan zaman sekarang? Akan berlakunya perang jika tersilap cakap? Lihat ucapan-ucapan Donald John Trump yang celupar akibat dikuasai kemarahan dan sentimen yang sedikit sebanyak menimbulkan reaksi hangat. Dan di sekeliling kita sendiri, lihat kenyataan-kenyataan menteri yang sememangnya menyakitkan hati rakyat seperti “kalau harga ikan naik, beli ayam”, “boleh menoreh di musim tengkujuh” dan bermacam-macam lagi yang tidak enak boleh didengar dalam perbahasan parlimen. Barangkali apabila berada di puncak kuasa kita menjadi kurang cermat dalam melepaskan perkataan. Tetapi, kita tidak boleh kata menteri atau ahli politik saja yang celupar dan kurang ajar dalam bercakap. Masyarakat sendiri, dek letusan maklumat terikut-ikut sama. Komen-komen atau hantaran di laman sosial tidak sedikit yang mencarut dan penuh emosi.

Rentetan isu demi isu yang sentiasa menghangatkan iklim politik kita merebas sama kejelekan-kejelekan masyarakat dalam menanggapinya. Tulisan-tulisan yang menghasut dikongsi dan tular sehingga dengan mudah dipercayai ramai pula. Lebih menyedihkan, ada juga penulis yang menulis puisi dan cerpen penuh dengan sangkaan jahat terhadap kaum yang tidak disukainya akibat tularnya cerita yang tidak benar. Padahal sastera sepatutnya medium pencerahan bukannya alat menyebar kebencian. Sewajarnya masyarakat harus ingat ayat al-Quran surah Al-Hujurat, “Jika datang kepadamu satu berita, maka selidikilah kebenarannya dahulu” agar kita menjadi manusia yang lebih bertamadun dan celik maklumat.

“Tiada akan besar bangsa/yang tiada kasihkan bahasanya,” baris sajak ini patut dihadam sedalam-dalamnya oleh penulis, orang awam atau menteri sekalipun. Ingatan dari sajak sasterawan negara seharusnya dipegang jika kita mahu melihat bangsa kita menjadi besar; besar di sini bukanlah aspek penggunaan bahasa atau kemajuan teknologi sahaja, tetapi nilai-nilai kemanusiaan yang patut membugar lalu melahirkan masyarakat bertamadun. Berbahasalah dengan baik dan berhati-hati. Ingatlah celaan Tuhan terhadap orang yang mencarut, mengumpat dan menyebar pembohongan. Menulislah dengan baik dengan ejaan penuh dan perkataan-perkataan molek kerana karya atau tulisan yang baik sentiasa menyejukkan jiwa. Jangan jadi seperti Raja Pahlawan yang lupa kuasanya cuma sementara. <END>