Categories
NASIONAL

Isu 1MDB: Akur atau derhaka raja  

SHAH ALAM, 7 OKT: Isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB) dilihat sangat mendesak apabila Raja-Raja Melayu bangkit bertitah menggesa siasatan berkenaan firma itu dipercepatkan selain tindakan sewajarnya diambil.
Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin, berkata walaupun tindakan bertitah berkenaan pentadbiran negara bukan amalan Raja-Raja Melayu tetapi ia jelas memperlihatkan keprihatinan dan kebimbangan memuncak baginda sekalian.
kadir_jasin“Apabila Raja-Raja Melayu mengeluarkan titah berkenaan penyiasatan 1MDB pasti ia sangat mendesak dan diperlukan. Dalam erti kata lain, Raja-Raja Melayu berasa tidak boleh berdiam diri lagi,” katanya memetik Malaysia Kini.
Kadir juga membangkitkan persoalan sama ada kerajaan bermula dengan perdana menteri atau patuh pada titah itu.
“Kita mahu lihat sama ada kerajaan, bermula dengan perdana menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, akan mentaati perintah Raja-Raja Melayu itu atau menderhakainya,” katanya.
Kadir berkata, Najib sebagai ‘pahlawan Bugis’ pasti arif berkenaan kedaulatan raja-raja memandangkan beliau salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu juga membangkitkan sama ada agensi penguatkuasaan dan pendakwaan negara akan’taat kepada Raja-Raja Melayu atau setia dan takut kepada Najib.
Mesyuarat-Majlis-Raja-RajaSemalam, Raja-Raja Melayu dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit.
Raja-Raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, berlarutan dan memakan masa terlalu lama, maka ia akan menjejaskan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
Titah itu bagaimanapun disambut baik Kerajaan Selangor yang berharap semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat perlu mengalu-alukan serta mengambil serius pandangan yang dikemukakan baginda sekalian.
“Mewakili rakyat Selangor, kami menjunjung tinggi dan sangat menghargai pandangan serta nasihat tidak ternilai dalam kenyataan berkenaan,” kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan hari ini.
-NR-
Categories
SELANGOR

Selangor sokong penuh gesaan Raja-Raja Melayu

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 OKT: Selangor menyambut baik dan menyokong penuh gesaan Raja-Raja Melayu terhadap Kerajaan untuk menyelesaikan siasatan isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat perlu mengalu-alukan dan mengambil serius pandangan yang dikemukakan dalam kenyataan itu.

azmin-pc-DNS-01Katanya, setiap butiran yang dibangkitkan juga ternyata berkait rapat dengan isu rakyat, menunjukkan betapa sekalian baginda mengambil berat hal berkenaan.

“Kami ingin tekankan peringatan diberikan untuk menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dalam mengangkat perlembagaan dan undang-undang itu bukan sahaja sesuai dengan isu semasa melanda negara.

“Malah, seharusnya menjadi panduan bagi mereka yang memegang tampuk kepimpinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Raja-raja Melayu dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Mesyuarat-Majlis-Raja-RajaBaginda sekalian mahu semua pihak bertanggungjawab memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Raja-raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia akan menjejaskan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

Sehubungan kenyataan itu, Mohamed Azmin berkata, semua pihak tidak boleh menolak kepentingan pandangan dan keprihatinan sekalian baginda.

“Mewakili rakyat Selangor, kami menjunjung tinggi dan sangat menghargai pandangan serta nasihat tidak ternilai dalam kenyataan berkenaan,” katanya.

-NR-