Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jho Low sah terima tawaran suaka daripada sebuah negara

SINGAPURA, 6 JAN: Pembiaya Malaysia dalam buruan, Jho Low, telah ditawarkan suaka oleh sebuah negara pada Ogos tahun lepas atas dasar berlaku penganiayaan politik dan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan terhadapnya, lapor akhbar The Straits Times pada Isnin.

Low berkata demikian ketika menjawab soalan Koresponden Serantau akhbar itu di Kuala Lumpur, Leslie Lopez menerusi temu bual e-mel mengenai tawaran suaka yang diterimanya. Soalan dan jawaban temu bual itu telah disiarkan dalam akhbar tersebut pada Isnin.

“Seperti yang diketahui, saya mempunyai kebimbangan terhadap keselamatan peribadi yang serius, oleh itu, tidak akan menyentuh mengenai lokasi saya atau maklumat lain seumpamanya

“Bagaimanapun, saya boleh mengesahkan bahawa saya telah menerima tawaran suaka pada Ogos 2019 daripada sebuah negara yang mematuhi prinsip-prinsip Deklarasi Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Eropah berkaitan Hak Asasi Manusia atas dasar berlaku penganiayaan politik dan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan ke atas saya,” kata Low.

Pada Disember tahun lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa Jho Low telah ditawarkan suaka oleh sebuah negara namun tidak menyatakan nama negara itu.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret di Malaysia telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Low bagi membantu siasatan dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang ahli perniagaan berusia 38 tahun tersebut sepanjang tahun lepas.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi pembabitannya dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli perniagaan yang dilahirkan di Pulau Pinang itu dikatakan menetap di beberapa lokasi termasuk Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan berusaha keras bawa pulang Jho Low – Mahathir

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kerajaan sedang berusaha keras untuk membawa pulang ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low untuk menghadapi tindakan undang-undang terhadap peranannya dalam skandal rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata maklumat mengenai dia tidak mudah diperolehi.

“Saya dimaklumkan bahawa dia mungkin memegang beberapa pasport dan (mungkin) membuat perubahan kepada mukanya. (Tetapi) semua perkara ini adalah khabar angin.

“Kita tidak mempunyai bukti tetapi ia boleh berlaku. Ini membuatkan kita sukar menjejaki dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen ke-15 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis percaya bahawa Low masih bersembunyi di sebuah ‘negara terpencil’ tetapi enggan mendedahkan lokasi terkini Jho Low.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata Abdul Hamid akan memaklumkan kepadanya tentang perkembangan pencarian Jho Low dari semasa ke semasa.

“Beliau tidak memberitahu saya di mana dia (Jho Low) dijumpai, jadi saya tidak tahu. Tetapi tidaklah setiap kali beliau tahu di mana Jho Low berada beliau akan menelefon saya.. bukan begitu. Sekali- sekala beliau akan melaporkan kepada saya,” kata Perdana Menteri.

Kepada persoalan lain, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak berhasrat untuk berperang semata-mata kerana Jho Low.

“Kita boleh berperang tetapi kita akan kalah perang dan kita tidak dapat Jho Low juga. Kita sedar bahawa kita bukan negara yang kuat, kadang-kadang orang berbuat baik kepada kita, kadang-kadang tidak,” katanya.

Semalam, Abdul Hamid melahirkan rasa kecewa dengan kurangnya bantuan dari negara tersebut kepada pihak berkuasa Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara luar lindungi Jho Low adalah tidak bertanggungjawab

TAWAU, 4 NOV: Tindakan negara tertentu yang melindungi ahli perniagaan paling dikehendaki Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata negara berkenaan juga mengambil pendekatan enggan memberi kerjasama kepada Malaysia sekali gus menyukarkan tugas pihak berkuasa.

“Kita memohon kerjasama negara berkenaan untuk menghantar (Jho Low) kembali ke sini, tetapi dia seolah-olah kebal dengan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa negara itu.

“Pelbagai kaedah kita guna, tetapi pelbagai alasan (negara itu) diberikan sehingga ada menyatakan dia (Jho Low) melakukan pembedahan wajah,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 16 penerima anggota dan pegawai PGA di Markas Batalion 14 PGA Tawau, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha sehingga hujung tahun ini bagi membawa pulang penjenayah dikehendaki negara itu.

“Saya masih guna pendekatan dan bersedia bekerjasama dengan pihak tersebut, apa sahaja syarat yang dia mahu, saya bersedia mendengar, tetapi yang penting penjenayah ini mesti diserahkan kembali kepada kita,” katanya lagi,

Bagi Abdul Hamid, dia bersangka baik dengan semua negara jika berkaitan jenayah.

Menurutnya, mana-mana negara perlu bekerjasama bukan bertindak melindungi penjenayah ekoran ada kaitan politik sebelum ini.

“Ini jenayah, dia (Jho Low) merompak wang sebuah negara dan dia mendapat perlindungan di sebuah negara lain,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan ahli perniagaan yang terlibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu memiliki pasport Cyprus.

“Kita terima maklumat mengenai perkara itu, dia mengeksploitasi mereka (negara berkenaan) yang memerlukan wang untuk ekonomi,” katanya lagi.

Dalam perkara berasingan, Abdul Hamid menyarankan peguam bagi tahanan LTTE yang mendakwa didera dan diseksa anggota berkuasa supaya tampil membuat laporan.

“Saya yakin dengan anak buah saya, kamera litar tertutup (CCTV) ada, jadi saya mengalu-alukan, kalau dia ada bukti, tampil ke hadapan, atau mengadu kepada hakim, dan sama-sama kita berhujah di mahkmah,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, setiap anggota dan pegawai polis tahu akan hak-hak tahanan mengikut undang-undang.

“Saya sendiri mengambil berat hal ini, saya tidak benarkan mereka (tahanan LTTE) dijentik pun,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib beri kepercayaan penuh kepada Jho Low

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Seorang saksi penting memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kepercayaan penuh kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menguruskan isu-isu berkaitan projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd. (PSI).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, ini kerana Jho Low adalah perancang dalam projek usahasama itu sejak dari awal.

Saksi pendakwaan kesembilan itu juga merujuk kepada minit mesyuarat Pengerusi Lembaga Penasihat pada 16 Okt 2009 iaitu mesyuarat antara beliau sebagai CEO dan Pengarah 1MDB merangkap Sekretariat Lembaga Penasihat 1MDB dengan Najib sebagai Pengerusi Tetap Lembaga Penasihat 1MDB (CBOA).

“Mesyuarat ini diaturkan oleh Jho Low selepas perbincangan saya dengan Jho Low di mana saya memaklumkan beliau tentang isu-isu yang ditimbulkan oleh BOD (ahli lembaga pengarah) 1MDB mengenai usahasama (JV) dengan PSI tersebut dan arahan BOD kepada saya untuk taklimatkan kepada CBOA.

Pada mesyuarat ini saya telah memperincikan kepada Datuk Seri Najib isu-isu berkaitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan laporan-laporan terkini berkaitan perjalanan operasi syarikat. Saya juga melaporkan akan perkembangan terkini dan maklum balas daripada BOD mengenai usahasama dengan PSI terutamanya berkaitan dengan penilaian semula aset JVCo (usahasama 1MDB dan PSI) yang diminta oleh BOD,” katanya

Beliau berkata Najib mengarahkan tidak perlu diadakan penilaian aset JVCo setelah mengambil kira faktor-faktor hubungan dua hala, kewangan dan reputasi negara.

Katanya, beliau percaya sebelum mesyuarat itu berlangsung, sudah ada perbincangan awal dan persetujuan antara Jho Low dengan Najib kerana semasa mesyuarat berlangsung, Najib tidak banyak persoalan dan selepas menyemak deraf minit beliau terus menandatangani dengan tiada pindaan.

“Pada pandangan saya, tujuan mesyuarat ini diadakan hanyalah untuk memutuskan arahan daripada Datuk Seri Najib dalam bentuk minit mesyuarat yang actionable oleh saya.

Saya juga mengambil maklum arahan dari Datuk Seri Najib yang JV ini adalah bersifat G to G (antara kerajaan dengan kerajaan) dan amat penting dari segi politik kepada kedua-dua negara.

“Oleh itu juga, kerana Jho Low adalah perancang JV ini dari awal, saya mempercayai yang Datuk Seri Najib memberi penuh kepercayaan kepada Jho Low untuk menguruskan isu-isu berkaitan dengan PSI dan 1MDB,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Peguam Najib gesa Jho Low dibawa ke mahkamah

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa supaya ahli perniagaan dalam buruan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho atau Jho Low dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Jho Low hendaklah dibawa segera supaya mahkamah dapat menentukan kebenaran di sebalik kes bekas perdana menteri itu.

“Kira-kira sebulan dahulu Ketua Polis Negara mengatakan bahawa mereka (polis) telah mendapat Jho Low dan mereka tahu di mana keberadaan beliau.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka mesti mendapatkan Jho Low.

“Saya ingin Jho Low dibawa secepat mungkin agar kita dapat menentukan kebenaran,” katanya.

Muhyammad Shafee yang mengetuai barisan peguam Najib berkata demikian dalam hujahnya ketika permohonan khabar angin terhadap keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol Azral, 49, ketika memberi keterangan semalam sebagai saksi pendakwaan kesembilan dalam perbicaan Najib yang membabitkan penyalahgunaan RM2.3 bilion dalam dana 1MDB telah menggambarkan hubungan erat antara bekas perdana menteri itu dengan Jho Low.

Tentang ini, Muhammad Shafee berkata, itu cuma ’khabar angin’ tiada sesiapa yang dapat membuktikan apa yang diperkatakan oleh saksi tanpa keberadaan Jho Low.

Saya kemukakan bahawa keterangan khabar angin tidak boleh diterima melainkan Jho Law dibawa ke mahkamah.

“Keadilan semula jadi akan tersingkir kerana saya tidak berpeluang untuk menyoal balas Jho Low,” kata Muhammad Shafee.

Beliau menambah bahawa apa juga yang saksi dengar daripada Jho Low mungkin tidak benar kerana saksi kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib dalam keterangannya telah melabelkan Jho Low sebagai ‘pakar pemanipulasi’.

“”Mengapa kita mesti menerima kata-kata beliau (Jho Low) apabila dia memanipulasi keseluruhan TIA, 1MDB dan PM (Perdana Menteri) itu sendiri,” katanya.

Ketika menyanggah keterangan peguam pembelaan, ketua pendakwa raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihak pendakwaan berhak menunjukkan bahawa Najib tidak dan tidak boleh dikelirukan oleh Jho Low.

Dia mengimbas kembali keterangan Amhari bahawa Najib tidak membuat sebarang tindak balas yang buruk atau terkejut apabila dimaklumkan tentang arahan Jho Low menerusi draf surat.

“Ini merupakan tingkah laku yang menggambarkan apa yang diucapkan oleh Jho Low,” katanya.

Sri Ram juga berkata, kes-kes yang dijadikan alasan oleh pihak pembela dalam permohonan mereka tidak boleh dipakai dalam corak fakta kes semasa yang beliau nyatakan sebagai unik.

Beliau berkata, ini kerana tertuduh bukan orang biasa tetapi perdana menteri dan orang yang paling berkuasa di negara ini (ketika dakwaan kesalahan itu dilakukan).

“Atas sebab itu, kami dengan hormatnya tidak membantah apa yang Shahrol Azral katakan, apa yang dikatakan Amhari, bagaimana mereka bertindak atas kenyataan Jho Low, bagaimana mereka mengesahkan dengan tertuduh dan keadaan tertuduh dan Jho Low semuanya adalah relevan,” katanya dan menambah ia adalah keterangan mengikut keadaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan penghakimannya.

Perbicaraan disambung dengan Shahrol Azral memberi keterangan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

– BERNAMA