Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

EXCO: Sasar wujud pusat kitar semula di setiap PBT, atasi lambakan sampah

SEPANG, 7 NOV : Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kawasan bersesuaian di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dijadikan lokasi pusat kitar semula.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata rancangan masa hadapan itu bertujuan mengurangkan lambakan sampah di pusat pelupusan sekali gus menjimatkan kos ditanggung PBT.

“Kawasan itu perlu berada pada laluan digunakan lori kompaktor KDEB Waste Management supaya memudahkan proses kutipan selain menjimatkan masa.

“Sekarang pusat kitar semula dah ada di Meru, Klang dan Bandar Bukit Puchong, Puchong. Pembinaan dua pusat kitar semula ini dilihat berjaya dan sekarang kita usaha dapatkan tapak sesuai di semua PBT,” katanya.

Beliau ditemui Sze pada program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Majlis Perbandaran Sepang Zon Kota Warisan hari ini.

Sementara itu beliau berkata kesedaran masyarakat untuk melaksanakan aktiviti berkaitan penjagaan kebersihan dan amalan 3R (mengurangkan, guna semula, kitar semula) semakin meningkat.

“Penduduk, JPP, MPP (majlis perwakilan penduduk), JKP (jawatankuasa penduduk) dah banyak memulakan program 3R ini walaupun guna nama berbeza namun matlamatnya sama.

“Usaha ini perlu dilaksanakan secara konsisten bagi mendidik masyarakat  yang berdisiplin serta mementingkan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBI lancar inisiatif galak amalan 3R

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor melancarkan Inisiatif Kitar Semula bagi memupuk kesedaran berkenaan konsep ‘Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula’ (3R) dalam kalangan warga kerja, di Bangunan Darul Ehsan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, hampir 7,000 tan sampah dihasilkan, di Selangor setiap hari dan dihantar ke tapak pelulupusan sisa pepejal.

“Semakin hari kita sudah tiada tempat untuk buang sampah. Kita sebenarnya tidak diajar sejak mula (untuk mengamalkan 3R).

“Setiap hari sampah yang dibuang adalah makanan sekitar 30 hingga 40 peratus. Kita perlu belajar dari Jepun yang paling berdisiplin mengamalkan 3R,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Katanya, sisa pepejal itu boleh diproses kepada bentuk lain, sekali gus menyelamatkan tanah yang menjadi kawasan pengumpulan sebelum dilupuskan.

Inisiatif MBI itu turut membabitkan kerjasama Kloth Malaysia Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Eksekutif, Nik Suzila Nik Hassan dan Mahanom Basri selaku Pengerusi Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS).

Bersempena dengan inisiatif 3R itu, MBI menyediakan tiga tong sampah bagi pengasingan kertas, barangan plastik dan tin aluminium.

MBI turut menempatkan sebuah tong khas bagi orang awam membuang fabrik yang tidak lagi digunapakai.