Categories
NASIONAL SELANGOR

OIC digesa putus hubungan diplomatik dengan Mesir

mesir

SHAH ALAM 20 OGOS : Negara-negara Islam (OIC) digesa memutuskan hubungan diplomatik dengan Mesir dan mengkaji hubungan perdagangan sekiranya tentera dan as-Sisi masih berkuasa dan bertegas untuk bertindak ganas.

Setiausaha Agung Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Ab. Halim Ismail, kekejaman melampau tentera yang menggunakan kereta kebal, helikopter dan peluru hidup mengakibatkan ribuan orang awam terbunuh dan cedera, hanya dalam tempoh sehari, adalah satu bentuk keganasan, satu tindakan tidak bertamadun.

“Hanyalah kerana hendak mempertahankan kepentingan kelompok dan kedudukan selesa yang mereka nikmati sejak zaman Mubarak.

“Pemerintah tentera sanggup ‘berperang’ dengan saudara mereka sendiri, membunuh rakyat tidak bersenjata yang hanya memprotes secara aman bagi mendapatkan kembali keadilan dan kehidupan demokratik mereka,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, tindakan kebencian pihak tentera, kelompok nasionalis dan golongan liberal-sekular terhadap bangkitnya satu kesedaran baru dengan Islam sebagai tunjangan, tidak dapat diselindung-selindung lagi.

“Kuasa Barat bersama boneka mereka yang terdiri dari pemerintah negara Arab tertentu berkonspirasi jahat dengan menggunakan wang, media dan pelbagai tipu muslihat bagi menggagalkan apa juga usaha positif yang boleh memberi kredit kepada Morsi.

“Media digunakan mereka untuk memomok Morsi dan menggelapkan segala usaha baik yang dibuatnya. Mereka sengaja membentuk dan membina kebencian rakyat untuk memberi justifikasi untuk mereka bertindak,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada penyelesaian lebih baik dari memulang kembali kuasa kepada Morsi dan Parti Kebebasan dan Keadilannya.

“Parti tersebut mesti diberi tempat dalam sebarang proses demokrasi dan pilihan raya masa akan datang.

“Tindakan mengharamkan Ikhwan Muslimin dan menafikannya dari terlibat dalam proses demokrasi adalah satu kesilapan besar yang akan membawa Mesir ke dalam kancah keganasan yang memusnahkan masa depannya.

Beliau menyeru semua para pejuang keadilan dan pendukung demokrasi supaya bangun menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kudeta oleh tentera dan tindakan ganas tanpa perikemanusiaan membunuh rakyat yang tidak berdosa.