Categories
NASIONAL SELANGOR

Minyak naik, RM jatuh, rakyat miskin

Sinopsis

FOKUS Untuk 06092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia menyebabkan rakyat semakin miskin berikutan kuasa beli menurun ekoran kenaikan harga barangan diimport khususnya makanan, kata Ahli Ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

2. Kenaikan harga rumah yang heboh di kalangan rakyat, adalah rentetan kesempitan rakyat yang bertambah selepas kenaikan harga minyak, kata Rafizi Ramli.

3. Gabungan Persatuan Pengguna- pengguna Malaysia (Fomca) mendesak kerajaan memansuh cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans berikutan kenaikan harga minyak.

4. Umno BN tidak mampu menjalinkan kerjasama erat dengan Ikhwan Muslimin kerana parti pemerintah itu menyimpan prasangka serong terhadap mana-mana gerakan Islam.

5. Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas keangkuhan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggesa gelaran Sasterawan Negara ditarik balik daripada Datuk A Samad Said.

6. Syawal tiba ke penghujungnya. Saksikan kemeriahan sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL)

Categories
NASIONAL SELANGOR

OIC digesa putus hubungan diplomatik dengan Mesir

mesir

SHAH ALAM 20 OGOS : Negara-negara Islam (OIC) digesa memutuskan hubungan diplomatik dengan Mesir dan mengkaji hubungan perdagangan sekiranya tentera dan as-Sisi masih berkuasa dan bertegas untuk bertindak ganas.

Setiausaha Agung Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Ab. Halim Ismail, kekejaman melampau tentera yang menggunakan kereta kebal, helikopter dan peluru hidup mengakibatkan ribuan orang awam terbunuh dan cedera, hanya dalam tempoh sehari, adalah satu bentuk keganasan, satu tindakan tidak bertamadun.

“Hanyalah kerana hendak mempertahankan kepentingan kelompok dan kedudukan selesa yang mereka nikmati sejak zaman Mubarak.

“Pemerintah tentera sanggup ‘berperang’ dengan saudara mereka sendiri, membunuh rakyat tidak bersenjata yang hanya memprotes secara aman bagi mendapatkan kembali keadilan dan kehidupan demokratik mereka,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, tindakan kebencian pihak tentera, kelompok nasionalis dan golongan liberal-sekular terhadap bangkitnya satu kesedaran baru dengan Islam sebagai tunjangan, tidak dapat diselindung-selindung lagi.

“Kuasa Barat bersama boneka mereka yang terdiri dari pemerintah negara Arab tertentu berkonspirasi jahat dengan menggunakan wang, media dan pelbagai tipu muslihat bagi menggagalkan apa juga usaha positif yang boleh memberi kredit kepada Morsi.

“Media digunakan mereka untuk memomok Morsi dan menggelapkan segala usaha baik yang dibuatnya. Mereka sengaja membentuk dan membina kebencian rakyat untuk memberi justifikasi untuk mereka bertindak,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada penyelesaian lebih baik dari memulang kembali kuasa kepada Morsi dan Parti Kebebasan dan Keadilannya.

“Parti tersebut mesti diberi tempat dalam sebarang proses demokrasi dan pilihan raya masa akan datang.

“Tindakan mengharamkan Ikhwan Muslimin dan menafikannya dari terlibat dalam proses demokrasi adalah satu kesilapan besar yang akan membawa Mesir ke dalam kancah keganasan yang memusnahkan masa depannya.

Beliau menyeru semua para pejuang keadilan dan pendukung demokrasi supaya bangun menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kudeta oleh tentera dan tindakan ganas tanpa perikemanusiaan membunuh rakyat yang tidak berdosa.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rampasan kuasa Mesir dan pengajaran dari Turki

mesir

Oleh Anwar Ibrahim

(RENCANA) Sesetengah pihak menggelarnya pengakhiran kepada politik Islam, sebahagian lain lebih cenderung kepada ‘detik-detik sukar’ namun ada juga berdalih dari kenyataan ‘penglibatan tentera’.Jadi, mengapa pengibar bendera demokrasi seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU) tidak mampu atau tidak bersedia mengakui rampasan kuasa itu rampasan kuasa? Jerman bertindak sedikit baik dengan mengatakan situasi yang berlaku di Mesir sebagai “satu tamparan besar terhadap demokrasi di Mesir”, walaupun negara-negara Barat selebihnya cuba menyembunyikan kejahatan mereka dengan semata-mata panggilan akan sekatan dan mengelakkan keganasan. Tetapi kegagalan merujuknya sebuah rampasan kuasa, apalagi mengutuknya, memperlihatkan sikap pilih kasih terhadap demokrasi.

Tunisia mengutuk penggulingan Mursi sebagai “rampasan kuasa terang-terangan”, yang menjejaskan demokrasi dan akan menyuburkan radikalism. Dalam sebuah ucapan di Istanbul pada 5 Julai, Perdana Menteri Turki, Erdogan mengutuknya:
“Tidak kira di mana atau siapa yang disanggah, rampasan kuasa kesannya merosakkan, tidak berperikemanusiaan dan menentang hak rakyat, hak nasional dan demokrasi”.   mursi 1

Dalam kritikannya yang penuh semangat, Erdogan tidak hanya memberi respon seperti yang dijangka tetapi dia juga mengaitkan dengan belajar dari sejarah Turki. Mesir masih berkemampuan menemui harapan baru seperti Turki, negara yang telah menyusuri perkembangan demokrasi dengan sejarah rampasan kuasa yang pahit dan menyakitkan.

Lantas, perlembagaan demokrasi Mesir yang baru ditempa, masih rapuh dan belum kukuh sekaligus ditumbangkan. Tiada topeng- seperti melantik ketua hakim Mahkamah Tertinggi untuk mengetuai ‘kerajaan sementara’- dapat mengubah fakta bahawa kuku besi tentera telah memutarkan kembali jam negara Arab paling berpopulasi di dunia.

Sebahagian mewajarkan rampasan kuasa 30 Jun atas asas bahawa Revolusi 25 Januari pada 2011 yang menggulingkan Mubarak juga dibantu oleh tentera Mesir. Tapi analogi tersebut tidak benar. Ketika Revolusi menyaksikan diktator yang telah memerintah secara kejam selama 30 tahun ditumbangkan, ini adalah penggulingan seorang presiden yang telah dilantik secara demokratik melalui pihanraya yang adil dan bersih. Perbezaan kedua-duanya terlalu ketara: Seorang mendapat kuasa kerana tentera, manakala seorang lagi mendapat kuasa atas mandat rakyat tetapi diketepikan oleh tentera.

Kebisuan Barat

Dengan kekal membisu ketika tentera menerbitkan ultimatum kepada Presiden Mursi, Barat menjadi subahat. Kegagalan mengecam rampasan kuasa setelah fakta membuktikan kebersalahannya mencetuskan debat akan ketidakseragaman dalam
polisi luar Barat apabila kudeta melibatkan negara-negara yang diperintah oleh parti-parti yang dipilih secara demokratik cenderung kepada politik Islam.

Sesetengah pengulas telah berkata mengenai pertembungan antara Islamis dan Liberalis menjadi sebab utama akan kejatuhan Mursi. Mesir, seperti yang ditegaskan, tidak mahu kerajaan ala-Taliban. Selain dari fakta bahawa ia hanya disokong dengan hujah yang lemah, ia juga diletakkan dalam konteks yang salah. Mursi tidaklah jatuh – dia digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa yang terang dan nyata.

Tambahan pula, walaupun ada sifat autokratik berlebihan dalam meluluskan dekri Presiden yang ditentang ramai, namun menyamakan Ikhwan Muslimin dan Taliban adalah satu kejahilan yang tidak dapat diterima dan lebih parah daripada Islamophobia.

Lebih dekat dengan kebenaran ialah mungkin saki-baki rejim Mubarak telah merampas hari tersebut untuk kembali berkuasa yang telah diambil, tidak serta merta selepas revolusi, tetapi selepas Ikhwanul Muslimin mendapat kuasa. Bahkan,  mungkin tidak keterlaluan untuk menyatakan revolusi-balas telah dirancang oleh mereka yang ingin menuntut kembali kegemilangan yang telah hilang.

mesir 2Semua pelantikan jawatan utama setelah rampasan kuasa dilakukan oleh tentera. Nama-nama ini bergema harmoni dengan mereka yang tidak menolak akan kembalinya praetoria Mesir tetapi menggerunkan mereka yang percaya orang-orang bawahan Mubarak telah dikuburkan selayaknya. Pelajaran-pelajaran sejarah telah dipandu jelas di sini.

Sejarah moden Turki mengingatkan kita akan tindakan tanpa henti tentera melaksanakan siri kudeta dalam usaha mendapatkan kuasa dan keistimewaan. Rakyat Turki tidak diberikan demokrasi secara mudah. Sebagaimana yang sedang kita saksikan di Mesir, rakyat Turki terpaksa berjuang gigih untuknya dan lebih payah untuk mengekalkannya.

Harganya darah, peluh dan airmata bagi mereka yang bersatu oleh kecintaan akan kebebasan dan demokrasi dan mensabitkan peranan tentera ialah melindungi negara, bukannya menentukan kerajaan yang memerintah. Pemilihan kerajaan hanya boleh dilaksanakan melalui kotak undi.

Demokrasi perlu dibayar dengan harga yang mahal tetapi kesukaran dan kesengsaraan di bawah pemerintahan tentera lebih payah. Seperti yang Perdana Menteri Erdogan nyatakan, ” setiap rampasan kuasa melumpuhkan ekonomi Turki, membazirkan aset-aset Turki dan mengakibatkan negara, bangsa dan pemuda khususnya, terpaksa membayar dengan harga yang tinggi.”

Rakyat Mesir juga membayar harga yang mahal untuk revolusi dan kini menanggung beban sekali lagi kerana mempertahankannya. Ini ditujukan kepada rakyat Mesir, kemuncaknya ketika pembunuhan beramai-ramai lebih 100 orang penyokong Mursi dan ahli-ahli Ikhwan sekitar Masjid Rabiatul Adawiyah di Kaherah.

general

General Tentera Abdul Fattah as-Sisi dan pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah mesti bertanggungjawab atas darah yang telah ditumpahkan oleh tangan-tangan mereka. Penyembelihan rakyat yang tidak bersalah mesti dikecam. Cubaan untuk menjustifikasikan rampasan kuasa atas ‘sebab-sebab aneh’ seperti kelemahan pentadbiran Mursi, sifatnya yang eksklusif, dan protes oleh jutaan rakyat Mesir, adalah cetek dan sangat subjektif.

Apatah lagi, bukti-bukti yang dipercayai menunjukkan bahawa banyak demonstrasi jalanan yang menuntut penggulingan Mursi ditaja oleh bantuan asing dan badan-badan kerajaan serantau. Dalam mana-mana keadaan, sejak bila protes secara besar-besaran membenarkan akan pengambil alihan kuasa oleh tentera?

Dalam demokrasi, tekanan boleh diberikan melalui demonstrasi di jalan-jalan agar kerajaan yang berkuasa sentiasa ‘keep-in-check’ tetapi pemerintahan yang dilantik secara demokratik tidak wajar ditumbangkan melalui protes jalanan ataupun desakan tentera.

Apa seterusnya untuk Mesir?

Dialog perdamaian adalah sia-sia seperti mana ianya retorik kosong. Panggilan untuk kesatuan dan perdamaian adalah suatu perkara tetapi apabila ia berpunca daripada satu pihak yang menjadi perampas, ruangan sempit menjadi semakin kecil.

Apalagi penyelesaian dengan pistol diacu ke arah kepala satu pihak. Bersama dengan mereka yang berpemikiran keadilan dan menyokong demokrasi, saya menambah suara saya menyeru Barat, khususnya Amerika untuk melakukan perkara yang sepatutnya.

Bantuan berbilion dollar dalam ketenteraan dan ekonomi kepada Mesir seharusnya atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, bukannya sokongan ke atas rampasan kuasa. Presiden Mursi mestilah dikembalikan ke pejabatnya yang hak dan sebagai balasannya pula, memulakan dialog nasional yang meliputi semua pihak.

Ini bukanlah kegagalan revolusi. Ini adalah rampasan kuasa yang dipinjamkan atas pemberontakan rakyat, menukarkan Arab spring kepada musim sejuk yang tidak menenangkan. Perjalanan demokrasi sebenar tidak mungkin pernah berjalan
mudah. Apatah lagi demokrasi yang baru berputik seperti di Mesir.

Mereka yang dipilih secara demokratik mesti dibenarkan untuk menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka, atau sekurang-kurangnya dalam situasi yang mendesak di mana rakyat inginkan mandat baru, membenarkan pilihan raya semula diadakan. Selagi mana pemerintah patuh kepada proses perlembagaan dan mendukung undang-undang, tiada justifikasi moral atau perundangan untuk mengalihkan mereka. rakyat mesir

Rakyat Mesir berdiri teguh, bersatu dan berjuang habis-habisan dalam menamatkan 6 dekad di bawah kediktatoran tentera demi menikmati kebebasan dan demokrasi sebenar. Marilah kita bersama-sama tidak bersubahat dengan rampasan kuasa yang melanggar konstitusi dan tidak bermoral. Mari bersama kita memainkan peranan kita untuk melihat rakyat Mesir meraikan kemenangan Revolusi 25 Januari.

Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

* Terjemahan dari artikel http://www.aljazeera.com/indepth/opinion/2013/08/201381310934937401.html yang disiarkan Al-Jazeera oleh Mesir Kini *