Categories
NASIONAL SELANGOR

Nampak pegawai SPR kira undi dalam lokap sebelum PRU 13

tribunalSUBANG JAYA 18 SEPT:  Ada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat kiraan undi awal sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13, kata saksi ketiga Tribunal Rakyat PRU-13.

Abu Hussin Tamby, wakil calon Dun Air Limau, Melaka berkata, ia berlaku 2 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 3.15 petang.

Semasa kejadian, saksi bersama dua wakil calon lain diiringi dua anggota polis ke IPD berkenaan untuk menyerahkan kotak peti undi awal dari Lubuk Cina.

Semasa masuk ke balai itu, katanya, beliau dengan jelas menyaksikan kira-kira tujuh anggota SPR mengelilingi longgokan kertas undi di satu sel lokap.

“IPD itu memang menjadi tempat simpanan peti undi. Semua kotak undi dikumpulkan dalam lokap.

“Semasa tiba di lokap, saya lihat tujuh atau lapan orang memakai baju SPR mengelilingi timbunan kertas undi itu, menunjukkan mereka sedang buat kiraan.

“Hanya nampak kertas undi tetapi kotak peti tiada. Saya percaya ia dari Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah,” katanya yang kemudian membuat laporan polis di IPD Masjid Tanah.

Beliau ada memohon kepada polis untuk menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.

“Polis tidak boleh beri jawapan tepat. Mereka cuma kata segala keputusan terhadap salah laku itu diserahkan kepada atasan,” katanya.

Tribunal antara 18 hingga 22 September di Hotel Empire di sini ditubuhkan berikutan desakan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan penipuan PRU 13.

Ia mengkaji, menyiasat dan menilai rungutan mengenai insiden menjelang PRU 13 atau di sekitar pilihan raya termasuk proses pengundian.

Lima individu ternama yang berkelayakan dipilih untuk menyertai tribunal termasuk dua daripadanya dari luar negara.

Mereka ialah bekas wakil khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Ghai dan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Prof Ramlan Surbakti.

Wakil Malaysia ialah Peguam bela dan Peguam cara Mahkamah Tinggi, Datuk Azzat Kamaludin; bekas Profesor Madya Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Setiausaha Agung Majlis Gereja-gereja Malaysia, Rev Dr Hermen Shastri.

– FZL

Categories
NASIONAL

Pegawai SPR Kira Undi Awal “Secara Senyap”

SPR tipu suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA 29 MEI : Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan lagi bukti bahawa terdapat keraguan dalam proses pengundian awal yang boleh memesongkan keputusan pilihanraya ke-13.

Bukti tersebut di dalam dua laporan polis yang dibuat ejen calon PKR, kata pengarah strategi PKR Rafizi Ramli.

Laporan pertama dibuat di Melaka berkenaan pengundian awal di DUN Machap, manakala yang kedua dibuat di Perak berhubung pengundian pos di DUN Pengkalan Hulu.

Dalam laporan polis pertama ejen calon PKR Dun Machap, Abu Hussin Tamby mendakwa melihat pegawai Suruhanhjaya Pilihan Raya (SPR) membuka dan mengira kertas undi dari peti undi awal yang disimpan di Ibupejabat Daerah Polis Alor Gajah.

Insiden berkenaan terjadi apabila Abu Hussin sedang mengiringi pegawai SPR yang membawa peti undi awal untuk disimpan di dalam balai polis berkenaan.

?Saya melihat sejumlah anggota SPR yang dianggarkan seramai tujuh hingga lapan orang sedang duduk mengira kertas-kertas undi di sebelah lokap tempat peti undi awal kami disimpan.

“Selepas selesai mengiringi untuk menimpan peti undi awal di dalam lokap, saya sempat lagi melihat petugas-petugas yang memakai baju SPR sedang mengira kertas undi,” katanya dalam laporan polis berkenaan.

Dilaporkan sebelum ini bahawa undi awal dan undi pos hanya akan dikira pada hari buang undi iaitu 5 Mei. Manakala undi awal dan undi pos dibuat lima hari sebelum tarikh itu.

Sementara dalam kejadian kedua, ejen calon PKR Dun Pengkalan Hulu, Jauneh Otoh membuat laporan polis ekoran kehilangan peti undi awal bagi Kem 18 Pasukan Gerakan Awam (PGA) di Pengkalan Hulu yang tidak sampai seperti yang dijadualkan.

Kejadian meragukan itu mengakibatkan ejen-ejen PKR menuntut supaya peti undi tersebut dkecualikan daripada pengiraan undi dan dipersetujui oleh pegawai SPR.

PKR turut dimaklumkan, Ketua Pemerintah Kem 18 PGA Pengkalan Hulu membuat laporan polis pada 9 Mei 2013 di Balai Polis Pengkalan Hulu dan mendakwa peti undi yang hilang telah dijumpai.

Jelas Rafizi, dua kejadian benar yang berlaku ini membayangkan betapa longgarnya kawalan, integriti dan seliaan peti undi awal
sehingga boleh hilang dan dibuka begitu sahaja.

“Keputusan undi pos dan undi awal di seluruh negara menimbulkan kecurigaan apabila-calon-calon Pakatan Rakyat mendapat undi sekitar 10 hingga 15 peratus daripadanya.

“Ianya jauh lebih rendah dari tahap sokongan dalam PRU-12 pada sekitar purata 30 peratus,” tambah Rafizi.