Categories
AGENDA JENAYAH

Abu mayat Chin Peng: Tujuh individu beri keterangan

LUMUT, 2 DIS: Lima lagi individu telah memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ini menjadikan kesemua tujuh individu telah memberi keterangan sejak Jumaat lepas dan siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan pihak Bukit Aman.

“Tujuh individu telah dirakam percakapan dan pihak Bukit Aman telah melawat tempat yang ada (abu).

“Mereka ini adalah saksi-saksi yang terlibat menerima abu mayat, meletakkan (abu mayat) di tempat-tempat di kaki banjaran titiwangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Manjung di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung,di sini, hari ini.

Asisten Komisioner Polis (ACP) Nor Omar Sappi, 44, yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor menggantikan ACP Muhamad Hanif Othman yang ditukarkan ke Kontinjen Pahang.

Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Manjung antara Dr. Azura Abdullah Effendi dengan ACP Siti Dalila Mohd. Yasin dengan disaksikan Pengerusi Perkep negeri, Datin Zainah Othman.

Terdahulu, turut diadakan majlis penyerahan kenderaan pasukan iaitu 16 buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bagi kegunaan ketua polis balai di seluruh negeri Perak menggantikan Perodua Kancil yang telah digunakan sejak tahun 1998.

Razarudin berkata, 103 kenderaan Perodua Kancil telah mula digunakan sejak 21 tahun lepas dan kini hanya 40 buah yang masih digunakan.

“Penggantian kenderaan ini melibatkan sembilan daerah merangkumi 16 buah balai polis yang akan digantikan secara berperingkat.

“Saya berharap dengan dibekalkan kenderaan ini ketua polis balai dapat memantau pergerakan dan kerja dengan efisien sekali gus mengurangkan kadar jenayah di kawasan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Kumpulan bawa pulang abu mayat Chin Peng disiasat

DENGKIL, 28 NOV: Polis akan memanggil kumpulan yang terlibat dalam pengurusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata, pihak polis kini dalam proses untuk mengambil tindakan bagi memanggil pihak yang berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan. Kami masih menyiasat kerana perkara ini sudah lama jadi ia akan mengambil masa untuk kita kenal pasti (mereka yang terlibat),” katanya pada sidang media mengenai Operasi Bersepadu Khazanah, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mayat atau abu mayat Chin Peng tidak akan dibenar dibawa masuk ke negara ini sebagai menghormati keluarga dan waris anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang terkorban ketika PKM melancarkan perang gerila untuk menggulingkan kerajaan ketika itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang

BANGKOK, 27 NOV: Kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Persoalannya adakah pihak terbabit telah memaklumkan perkara itu atau ia diseludup masuk ke negara kita dengan tidak diketahui pihak berkuasa.

“Yang pasti, kita tidak mengetahui langsung (abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia). Kita hanya tahu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa pihak telah membuat laporan polis dan perkara itu akan disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kita tidak mahu melihat isu ini berbangkit dan menimbulkan kemarahan terutamannya terhadap keluarga mangsa keganasan komunis, sama ada secara langsung dengan Chin Peng atau gerakan komunis pada zaman darurat dahulu,” katanya.

Muhyiddin berada di sini untuk ​​​​​​​menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Semalam, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan pada ketika itu telah memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sebarang permohonan bawa masuk abu mayat Chin Peng

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kementerian berkaitan juga telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

“Kita tidak pernah menerima permohonan atau apa-apa tentang membawa balik abu mendiang Chin Peng.

“Kita fikirkan ada sensitiviti, ada juga jasa dan pengorbanan perwira dulu. Jadi kita tengok (siasatan) bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan ‘Smart Technology For Smart City Summit 2019 di Hotel Concorde, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan, melaporkan abu mayat pemimpin PKM itu sudah dibawa masuk ke negara ini pada 16 September lepas, walaupun kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya masih mendapatkan maklum balas daripada tujuh negeri yang dilaporkan masih belum bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada 18 tahun.

Beliau berkata maklum balas itu termasuk daripada Sarawak yang mana negeri itu mempunyai banyak perbezaan dengan Semenanjung berhubung undang-undang perkahwinannya.

“Kita mahukan supaya (had umur) ini ditingkatkan supaya anak kita tidak kira lelaki atau perempuan memahami bahawa perkahwinan itu adalah satu tanggungjawab.

“… dan kita tidak mahu kadar perceraian terutama membabitkan golongan muda adalah tinggi sehingga menjadi satu masalah sosial,” katanya.

Dr Wan Azizah sebelum ini memaklumkan setakat ini, hanya lima negeri yang bersetuju untuk meminda Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan.

Negeri itu ialah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak, manakala Selangor telah meminda enakmen itu dan Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

-BERNAMA