Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

ADN Batu Tiga tawar kupon RM5 beli ayam murah Ahad ini

SHAH ALAM, 26 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga menyediakan kemudahan kupon bernilai RM5 kepada penduduk kawasan itu membeli ayam yang ditawarkan dalam Program Intervensi Harga Ayam dan Telur.

Wakil rakyatnya, Rodziah Ismail berkata kupon itu diberikan kepada pembeli terawal dan ia memberi peluang kepada penduduk mendapatkan ayam pada harga lebih murah.

Katanya, orang ramai hanya perlu mengisi butiran di https://forms.gle/hZ9uUJdGmZggiCb36 untuk menuntut kupon pada Ahad ini.

“Khas buat penduduk Dun Batu Tiga. Anda kini boleh dapatkan harga ayam murah serendah RM8 sekilogram.

“DUN Batu Tiga akan memberikan kupon RM5 bagi pembeli terawal,” katanya di Facebook.

Menerusi info grafik yang dipaparkan di Facebook, program bakal berlangsung di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah bermula jam 9 pagi.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram menerusi program di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta bakal diperluas ke seluruh negeri jika mendapat sambutan orang ramai.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

ADN Batu Tiga belanja minyak percuma untuk 200 motosikal

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seramai 200 penunggang motosikal menerima sumbangan petrol secara percuma daripada wakil rakyat Batu Tiga sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Rodziah Ismail berkata inisiatif itu bagi meringankan beban masyarakat yang berdepan ketidaktentuan harga petrol termasuk yang terjejas akibat Covid-19.

“Semoga inisiatif ini meringankan beban rakyat yang terkesan susulan pandemik selain menjimatkan perbelanjaan harian mereka,” katanya ditemui di Stesen Minyak Petron Lebuhraya Persekutuan di sini.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada kenderaan pacuan empat roda yang melalui stesen berkenaan.

Sementara itu, penunggang motosikal Khairulnizam Ahmad Kabir, 26, tidak menduga mendapat rezeki minyak percuma dan berharap program seumpama itu akan diteruskan.

“Saya mengucapkan terima kasih atas inisiatif Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga dan berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Penghantar makanan Zarkashi Zainal Abidin, 25, juga tidak melepaskan peluang mendapat manfaat setelah dimaklumkan mengenai inisiatif itu melalui WhatsApp.

“Memang bagus program seperti ini sesekali dianjurkan untuk membantu golongan memerlukan, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat bimbing ADN Muda, beri peluang dekati masyarakat

SHAH ALAM, 27 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga akan mendidik ADN Muda kawasan itu berhubung pembentukan dasar serta penyelesaian masalah rakyat.

Rodziah Ismail berkata Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz juga dibimbing meneliti sebarang isu dan memberinya peluang mengikuti program kebajikan bagi menimba pengetahuan.

“Saya turut berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan amanah rakyat dan pandangan tentang kemajuan telah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga,” katanya menerusi Facebook.

EXCO perumahan itu berkata beliau gembira dan teruja melihat aksi Maizatul ketika Program ADN Muda Selangor Virtual baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan kehadirannya untuk bersama merasai bekerja sebagai wakil rakyat DUN Batu Tiga dan yakini jika digilap dengan nilai yang baik, dia pasti akan melangkah jauh,” katanya.

Pada program dijalankan awal bulan ini, Maizatul, 19, dipilih sebagai pembahas terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan perlu kurangkan yuran pengajian universiti, ringan beban B40

SHAH ALAM, 14 JUN: Kerajaan tidak wajar mengenakan yuran pengajian penuh kepada pelajar universiti awam mahupun swasta di saat rakyat terkesan dengan perintah kawalan disebabkan Covid-19, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga.

Rodziah Ismail yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata hal ini kerana kebanyakan pelajar berasal daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kerajaan perlu mengambil langkah yang bertanggungjawab dan memastikan tiada mahasiswa terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu untuk membayar yuran.

“Ini berikutan banyak aduan yang diterima bahawa yuran pengajian masih perlu dibayar seperti biasa walaupun sesi pembelajaran dijalankan sepenuhnya secara dalam talian,” katanya menerusi Facebook.

Baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad memaklumkan pengajian di universiti diadakan menerusi dalam talian sehingga 31 Disember ini.