Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

ADN Batu Tiga tawar kupon RM5 beli ayam murah Ahad ini

SHAH ALAM, 26 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga menyediakan kemudahan kupon bernilai RM5 kepada penduduk kawasan itu membeli ayam yang ditawarkan dalam Program Intervensi Harga Ayam dan Telur.

Wakil rakyatnya, Rodziah Ismail berkata kupon itu diberikan kepada pembeli terawal dan ia memberi peluang kepada penduduk mendapatkan ayam pada harga lebih murah.

Katanya, orang ramai hanya perlu mengisi butiran di https://forms.gle/hZ9uUJdGmZggiCb36 untuk menuntut kupon pada Ahad ini.

“Khas buat penduduk Dun Batu Tiga. Anda kini boleh dapatkan harga ayam murah serendah RM8 sekilogram.

“DUN Batu Tiga akan memberikan kupon RM5 bagi pembeli terawal,” katanya di Facebook.

Menerusi info grafik yang dipaparkan di Facebook, program bakal berlangsung di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah bermula jam 9 pagi.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram menerusi program di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta bakal diperluas ke seluruh negeri jika mendapat sambutan orang ramai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program harga ayam, telur murah diperluas ke seluruh negeri bulan depan

SHAH ALAM, 22 FEB: Lebih 5,000 ekor ayam terjual dalam tempoh dua minggu sejak program Program Intervensi Harga Ayam dan Telur bermula 7 Februari lalu.

Program jualan ayam RM8 sekilogram dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu, turut berjaya menjual 220 papan telur dengan harga lebih rendah dari pasaran.

“Program akan terus diperluaskan dan bermula Mac ini kita sediakan tiga pasar bergerak menggunakan Lori Ehsan.

“Jadi selain di Wisma PKPS dan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan jualan ini digerakkan ke beberapa DUN (Dewan Undangan Negeri) bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan segar,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga bahan makanan itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta akan diperluas ke seluruh negeri jika mendapat sambutan orang ramai.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jualan ayam, telur murah anjuran PKPS terus dapat sambutan

SHAH ALAM, 16 FEB: Program jualan ayam RM8 sekilogram hasil inisiatif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus mendapat sambutan apabila sebanyak 3,679 ekor ayam dan 148 papan telur berjaya dijual setakat ini.

PKPS memaklumkan jumlah jualan dicatatkan sejak diperkenal pada 7 Februari lalu menerusi Program Intervensi Harga Ayam dan Telur.

“Jualan melibatkan dua lokasi utama iaitu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Wisma PKPS, Seksyen 14 selain melalui tiga Lori Ehsan di lokasi berbeza setiap hari.

“Secara purata, setiap Lori Ehsan mencatat jualan melebihi RM5,000 sehari,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula 7 Februari lalu bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Selepas mendapat sambutan menggalakkan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta itu diperluas ke seluruh negeri.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jual ayam, telur secara bergerak, PKPS sasar lebih RM5,000 sehari

SHAH ALAM, 11 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan jualan kira-kira RM5,080 sehari melalui Program Intervensi Harga Ayam dan Telur menggunakan lori Ehsan mulai 14 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jualan itu berdasarkan jumlah produk yang akan dibawa ke setiap lokasi seperti ayam, telur ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Sebanyak 200 ekor ayam, 150 papan telur ayam serta 50 pek buah dan sayur disediakan dalam sebuah lori yang akan menjelajah ke setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Lori Ehsan akan bergerak mengikut jadual sehingga akhir Mac dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Menurutnya, kempen jualan secara bergerak ini dibuat susulan sambutan menggalakkan sejak dimulakan 7 Februari di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Wisma PKPS di Seksyen 14.

Pada 6 Februari lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jualan melibatkan 50,000 ekor ayam melalui dana RM1 juta bagi meringankan beban kenaikan harga barang makanan.

Berikut senarai lokasi lori Ehsan:

– 14 Februari dan 12 Mac (Kuang, Rawang dan Taman Templer)
– 15 Februari dan 13 Mac (Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Klang)
– 16 Februari dan 14 Mac (Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya)
– 17 Februari dan 15 Mac (Pandan Indah dan Teratai)
– 19 Februari dan 16 Mac (Dusun Tua dan Semenyih)
– 20 Februari dan 17 Mac (Kajang, Sungai Ramal dan Balakong)
– 21 Februari dan 19 Mac (Seri Kembangan dan Seri Serdang)
– 22 Februari dan 20 Mac (Kinrara dan Subang Jaya)
– 23 Februari dan 21 Mac (Seri Setia, Taman Medan dan Bukit Gasing)
– 24 Februari dan 22 Mac (Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan)
– 26 Februari dan 23 Mac (Paya Jaras dan Kota Damansara)
– 27 Februari dan 24 Mac (Kota Anggerik dan Batu Tiga)
– 28 Februari dan 26 Mac (Meru, Sementa dan Selat Kelang)
– 1 dan 27 Mac (Bandar Baru Klang, Pelabuhan Klang dan Pandamaran)
– 2 dan 28 Mac (Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning)
– 3 dan 29 Mac (Sijangkang, Banting dan Morib)
– 4 dan 30 Mac (Tanjung Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek)