Categories
EXCO SELANGOR

ADN Kajang bantu keluarga dihalau rumah sewa, beri modal niaga nasi lemak

SHAH ALAM, 19 SEPT: Nasib sebuah keluarga yang dihalau daripada rumah sewanya mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang Hee Loy Sian.

Loy Sian menerusi Facebook memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung nasib menimpa pasangan Mohd Risainy dan Hafizah sebelum bergegas di Bandar Kajang mencari mereka.

Menurut beliau, setibanya di lokasi pasangan itu bersama tiga anaknya tidur di dalam kereta dalam keadaan berhimpit.

“Hafizah memaklumkan mereka mempunyai tujuh anak iaitu tiga diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang meninggal dunia kerana sakit dan tiga lagi dijaganya.

“Keluarga ini diusir daripada rumah sewanya kerana terdapat dua bulan tunggakan dan tuan rumah mengunci semua barang miliknya serta tidak dibenarkan mengambil apa-apa,” katanya.

Loy Sian yang juga EXCO pelancongan memaklumkan pihaknya telah menghubungi beberapa kenalan untuk mencari rumah sewa termasuk membayar wang pendahuluan sewa.

“Saya juga membawa Hafizah membeli bahan dan peralatan antaranya peti sejuk, tilam, dapur memasak dan barangan berkaitan untuk memulakan perniagaan nasi lemak.

“Suami Hafizah dulunya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan disebabkan pandemik beliau terpaksa diberhentikan kerja,” katanya.

ADN Kajang turut berkongsi perasaan yang tersentuh dengan sikap Hafizah yang menghalangnya mengeluarkan banyak duit bagi membantu mereka.

“Saya bertanya lagi kepada Hafizah apa keperluan yang dia perlukan lagi untuk memulakan perniagaan dan kehidupan baharu, tetapi cara beliau dan anaknya membuat hati saya tersentuh dan menghalang saya dari banyak keluarkan duit bagi membantu mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan di akaun Bank Simpanan Nasional suami Hafizah Mohd Risainy 1111729000119021.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mantan ADN Kajang meninggal dunia, MB ucap takziah

SHAH ALAM, 11 MEI: Bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang Lee Kim Sin meninggal dunia pagi tadi akibat serangan jantung di Hospital Serdang.

Perkara tersebut dimaklumkan anaknya Lee Teng menerusi Facebook mendiang.

“Untuk makluman semua, ayah saya mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pagi ini – Lee Teng,” tulisnya di laman sosial itu.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat handai mendiang.

“Menerima perkhabaran dukacita mantan ADN Kajang saudara Lee Kim Sin atau dikenali sebagai Cikgu Lee telah menghembuskan nafas terakhir.

“Takziah diucapkan kepada ahli keluarga serta sahabat mendiang. Mendiang merupakan ADN Kajang dari tahun 2008 ke 2013,” tulisnya.

Kim Sin, 66, dipilih sebagai wakil rakyat Kajang selama satu penggal selepas menewaskan calon MCA Datin Paduka Low Lee Leng pada 2008.

Beliau yang berasal dari Merbok, Kedah, terkenal sebagai Tokoh Budaya dan Warisan Kajang.

Categories
SELANGOR

PWB terus aktif laksana program pembangunan wanita

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 MAC: Pusat Wanita Berdaya (PWB) terus bergiat aktif melaksanakan pelbagai aktiviti menarik di seluruh daerah bagi membantu pembangunan wanita di negeri itu.

Antaranya di PWB Sungai Pelek melaksanakan dua program iaitu Kursus Asas Solekan di Pusat khidmat Dun dan Kursus Asas membuat kek di Balairaya JKKK Kampung Baru Sungai Pelek pada 27 dan 28 Februari lalu.

PWBSementara itu, PWB Gombak Setia dan PWB Kajang masing-masing giat menjalankan program masakan membuat muruku dan membuat bingka ubi serta pulut kuning.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil bahagian bersama peserta bagi memeriahkan lagi program.

Sempena Hari Wanita Sedunia, PWB Kajang bakal mengadakan Majlis Fiesta Wanita dan Keluarga 2016 bertempat di Kompleks Metropoint pada 5 Mac ini.

Antara acara menarik yang berlangsung adalah pertandingan Beauty Mama, Deko kek, Ukir Henna, Tricky Puzzle dan karaoke.

Lebih menarik dengan kehadiran artis tanah air seperti Ani Mayuni, Nita (OIAM) dan Acher Ukays sebagai juri jemputan bagi pertandingan karaoke.

Selain itu, turut diadakan taklimat keusahawanan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi penyelia PWB Kajang, Elliza Aliza di talian 012 3287446.

EZY