Categories
NASIONAL

Pertingkat mutu internet, bukan ulang janji lama

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia diingatkan supaya bersikap serius jika mahu menggandakan kelajuan internet yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun seperti dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata, hal ini perlu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam merebut peluang besar daripada perkembangan ekonomi berasaskan internet yang semakin rancak.

“Ingin saya ingatkan, dalam menghadapi persaingan global yang semakin mencabar, Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang wajar memiliki capaian internet berkelajuan tinggi dan meluas.

“Memetik laporan kaji selidik mutu perkhidmatan internet oleh Akamai Technologies Inc pada suku pertama tahun lalu, saya berpendapat beberapa perkara wajar diberi perhatian

“Malaysia dilihat semakin gagal menyerlah sedangkan kita adalah antara negara paling awal menceburi dunia siber dengan memperkenalkan Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya pada lewat 1990-an,” katanya.

Komputer (1)Bagi membuktikan kesungguhan tersebut, Kar Hing mencabar kerajaan memberi penjelasan berhubung status Projek High Speed Broad Band (HSBB) fasa ke-2 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa Pembentangan Bajet 2014.

“Sepanjang tempoh kira-kira tiga tahun yang dinyatakan itu, apakah projek dengan pelaburan kira-kira RM 4.9 bilion itu telah mencapai sasarannya untuk mempertingkat kelajuan internet sehingga 10Mbs dan berjaya memperluas liputan internet di luar bandar seperti yang dirancangkan?

“Kita bimbang kenyataan Salleh baru-baru ini hanyalah bertujuan menutup kegagalan kerajaan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan internet di negara ini. Rakyat sudah muak dengan janji serupa yang sering diulang-ulang oleh pemimpin kerajaan,” katanya.

Laporan Akamai Technologies Inc menyatakan Malaysia di kedudukan ke-74 dunia daripada segi purata kelajuan Internet pada 2016 dengan kelajuan sekitar 6.4 megabait sesaat (Mbps), merosot satu tangga berbanding 2015 selain berada di tangga ke-9 dalam kalangan 15 negara rantau Asia Pasifik.

Smart Phone“Berkedudukan di belakang Korea Selatan yang berada di tangga teratas dengan purata kelajuan 29Mbps, Hong Kong (19.9Mbps), Jepun (18.2Mbps), Singapura (16.5Mbps), Taiwan (14.8Mbps), New Zealand (10.5Mbps) dan Thailand (10Mbps) apakah Malaysia akan mampu bersaing menghadapi negara-negara serantau?

“Suka saya mengingatkan Dr Salleh agar bersungguh-sungguh dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan internet di negara ini dan bukannya mengulangi janji-janji yang ditabur oleh para menteri sebelum beliau,” katanya.

-nR-