Categories
PBT SELANGOR

PJ International Youth Leadership Camp galak kerjasama dua hala

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JUL: Penganjuran PJ International Youth Leadership Camp (PJIYLC) yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu menggalakkan kerjasama dua hala serta perkongsian amalan baik antara bandar-bandar antarabangsa.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, PJIYLC merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program Friendship City yang diusahakan oleh MBPJ sejak tahun 2011.

Katanya, penganjuran program itu juga bertujuan membentuk dan mencungkil kemahiran kepimpinan dari kalangan peserta pelajar sekolah menengah dari dalam dan luar negara.

“Inisiatif ini bagi mendapatkan kerjasama dua hala serta perkongsian amalan baik antara bandar antarabangsa dalam pelbagai bidang antaranya seperti ekonomi dan perniagaan, kebudayaan, kesenian, pelancongan dan pendidikan.

“Setakat ini MBPJ sudah memeterai memorandum persefahaman dengan 5 buah bandar raya iaitu Bandar raya Miyoshi, (Jepun), Bandar raya Asan ( Korea Selatan), Bandar raya Seongbuk-gu, (Korea Selatan) Bandar raya Bandung (Indonesia) dan Bandar raya Qingyuan, (Republik Rakyat China).

“Program PJIYLC merupakan salah satu program dibawah bidang pendidikan dalam program Frendship City,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azizi berkata, PJIYLC juga merupakan program ‘pendidikan’ kedua yang dianjurkan oleh MBPJ, selepas kali pertama menganjurkan program seumpamanya pada 17-21 April 2017 iaitu SAEYLS@PJ (Seri Aman Environmental Youth Leadership Summit) 2017.

Katanya, menerusi PJIYLC, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memberi pengalaman dan pengetahuan berguna kepada peserta agar dapat membentuk generasi cemerlang dan mempunyai jati diri tinggi.

“MBPJ juga menghantar 10 Pelajar bersama dua orang pengiring untuk menyertai ‘’2nd International Student Exchange Camp” yang diadakan di Bandar raya Asan, Korea Selatan.

“Antara aktiviti diadakan adalah explore race (jelajah bandar Petaling Jaya menggunakan perkhidmatan awam), larian malam, bengkel kepimpinan dan kebudayaan, merentas hutan dan lain-lain,” katanya.

Pada program berlangsung bermula 2 Julai itu, tiga bandar raya iaitu Bandar raya Bandung, Bandar raya Qingyuan, dan Bandar raya Miyoshi telah menyertai program ini.

Setiap bandar raya menghantar 10 pelajar dan dua guru pengiring.

Manakala sekolah-sekolah tempatan menyertai program ini adalah SMK Damansara Damai 1, SMK Bandar Utama Damansara (4), SMK La Salle, SMK Seksyen 10, Kota Damansara, SMK (P) Taman Petaling, dan SMK Sri Permata. Jumlah keseluruhan peserta adalah 60 orang.

 

Categories
SELANGOR

Bonus: Ahli Majlis MBPJ berlapang dada keputusan Kerajaan Negeri

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 MAC: Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima dengan hati terbuka keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkenaan pembayaran bonus kepada mereka dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Ahli Majlisnya, Azri Mohamad Arish berkata, walaupun terdapat di dalam peraturan berkenaan cadangan boleh dilakukan berhubung pembayaran itu tetapi pihaknya menerima baik apa juga keputusan MMKN.

_DSC9968“Kita akur keputusan yang dibuat walaupun sebenarnya ia sesuai. Apa dibentangkan dalam kertas cadangan adalah pencapaian dalam lima tahun dan memang MBPJ menunjukkan peningkatan.

“Memang munasabah kakitangan mendapat ganjaran daripada hasil kerja ditunjukkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Ahmad Akhir Pawan Chik pula berkata, MBPJ hanya mencadangkan kepada MMKN dan pihak terbabit berhak membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak.

“Bagi saya tidak diluluskan bukan masalah. Apa dicadangkan adalah mengikut prestasi MBPJ secara keseluruhan dan bukan prestasi kakitangan.

MBPJ“Mengikut laporan Merdeka Centre, segala kerja termasuk aduan penduduk hampir 78 peratus berjaya diselesaikan maka ia tidak teruk sangat,” kata Ahli Majlis MBPJ itu.

Seorang lagi Ahli Majlis, Shatiri Mansor berkata, segala keputusan MMKN perlu diterima secara baik.

“Kita merasakan amat perlu diberikan bonus kepada pekerja yang membantu MBPJ memberikan perkhidmatan cemerlang. Bagaimanapun, apabila keputusan sudah dibuat MMKN maka kita kena terima dan akur kerana Kerajaan Negeri yang berhak membuat kata putus,” katanya.

-NFN-