Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat Bangi positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming diuji positif Covid-19 pada Isnin.

Melalui Twitter, Ong berkongsi berita tersebut setelah memperoleh keputusan ujian kendiri pada 3.30 petang tadi dan perkara itu disahkan sekali lagi selepas keputusan ujian PCR sejam kemudian.

“Saya tidak mengalami sebarang gejala. Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari. Akan meluangkan masa sejam berikutnya untuk memaklumkan perkara ini kepada kontak rapat saya,” katanya.

Menurut Ong, beliau diuji negatif pada Rabu lepas di Parlimen dan tidak pasti bagaimana beliau boleh dijangkiti wabak berkenaan.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata tiada individu di Parlimen diuji positif Covid-19 pada sesi yang sedang berlangsung hari ini.

Semua yang hadir ke Parlimen termasuk ahli parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen Saliva secara rawak pada setiap Isnin dan Rabu.

Langkah itu sebahagian daripada tatacara operasi piawai (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kenyataan tiada BR1M untuk Melayu pemalas palsu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menafikan dakwaan poster yang mempunyai gambar beliau dengan perkataan “Tiada BR1M Untuk Melayu Pemalas”.

Kian Ming dalam kenyataan di laman rasmi facebooknya berkata, poster itu adalah palsu dan beliau tidak pernah berkata sedemikian seperti dituduh dalam grafik berkenaan.

“Ini adalah perbuatan jijik dan nakal oleh pihak tidak bertanggungjawab (laman FB Anak Muda Benci DAP Return) yang berniat memburukkan hubungan kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kepada pengguna laman sosial yang melihat status berkenaan diminta membuat aduan dan sebarkan supaya lebih ramai mengetahui ia adalah berita palsu.

Beliau turut menegaskan kepada pihak yang cuba memburukkan namanya supaya kritik perlu berasaskan fakta bukan sebaliknya.