Categories
NASIONAL

270 keluarga PPR Taman Mulia terima beras, wang tunai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 19 MEI: Seramai 270 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia Bandar Tun Razak menerima manfaat Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) yang dijalankan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), hari ini.

Naib Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kempen digerakkan sejak 13 tahun lalu dan kali ketiga dengan kerjasama AIBIM itu menyasarkan keluarga di bawah kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40), Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mereka yang mempunyai penyakit tertentu.

“Kita laksanakan program bersama penduduk di PPR ini sejak tiga tahun lalu kerana penduduk bukan terdiri daripada orang Islam sahaja tetapi khas pada Ramadan ini kita memberi tumpuan kepada kelompok muslim.

“Kedatangan kita ke sini secara tidak langsung dapat melihat lebih dekat keadaan miskin bandar dan berhadapan situasi penyakit kronik. Ada yang kehilangan ibu bapa serta mata pencarian sehingga tiada ruang untuk menyara kehidupan.

“Pembabitan AIBIM satu jalinan sangat bermanfaat untuk kita menggerakkan program ini bukan sahaja menyerahkan bantuan tetapi menyantuni mereka yang mengalami kes terpencil dan memerlukan perhatian,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Eksekutif AIBIM, Ratna Sha’erah Kamaludin; Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohamed Iran Moriff dan Ketua Pegawai Strategik Agrobank, Taufik Muhammad.

Selain menerima sekampit beras, setiap keluarga terbabit turut mendapat sumbangan wang tunai termasuk barangan keperluan harian sebagai meringankan beban untuk menjalani ibadah puasa dan melakukan persiapan Aidilfitri kelak.

Pada masa sama, Ahmad Fahmi berkata, kempen berkenaan juga mengangkat wadah kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda melalui pembabitan sukarelawan doktor yang bersedia memberi khidmat pemeriksaan kesihatan percuma ketika menyantuni asnaf.

“Sukarelawan ini dapat memberi penjelasan kepada asnaf yang mempunyai penyakit misalnya berkaitan pengurusan ubat-ubatan.

“Ini antara lain program yang banyak rangkaian untuk meringankan beban mereka sepanjang Ramadan termasuk elemen kesihatan dan bantuan susulan kerana ada dalam kalangan mereka tidak tahu kaedah mendapatkan bantuan melalui mekanisme kerajaan,” katanya.

Beliau berharap, program sedemikian akan berterusan membabitkan kerjasama semua pihak termasuk pihak swasta, korporat dan individu supaya KSSB dapat digerakkan secara menyeluruh ke seluruh negeri.

Categories
SELANGOR

PKPIM : Tindakan Buang Pelajar Keterlaluan

 

SHAH ALAM 6 SEPT : Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) beranggapan tindakan membuang pelajar terlibat insiden menunjukkan punggungnya kepada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai keterlaluan.

Menurut Presiden PKPIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin pendekatan itu bakal menjejaskan masa depan Muhammad Ammar A Rahman, 19, dari segi jangka panjang berikutan dia pasti sukar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian lain serta mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata, satu jalan penyelesaian perlu diambil supaya kedua-dua pihak iaitu pusat pengajian dan pelajar tersebut mendapat pertimbangan di dalam perkara berkenaan.

“Sewajarnya di peringkat ini perlu ada satu mekanisma iaitu proses membentuk pelajar seperti memberi nasihat atau kaunseling sebagai jalan penyelesaian. Segala tindakan diambil mestilah tidak menjejaskan atau mendatangkan kesan negatif terhadap pihak terlibat,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Dalam kejadian 30 Ogos lalu, Muhammad Ammar serta beberapa individu didakwa melakukan aksi berkenaan sewaktu menyertai himpunan Janji Demokrasi sempena sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur.

Biarpun dari segi adab, tegasnya, tingkah laku pelajar tersebut tidak menepati budaya masyarakat di negara ini namun perbincangan antara pihak berkaitan perlu diadakan bagi mencari jawapan mengapa tindakan sebegitu diambil oleh pelajar tersebut.

“Lagipun pelajar tersebut telah memohom maaaf akan kesalahan dilakukannya,” katanya lagi.

Media tempatan di negara ini semalam melaporkan Muhammad Ammar, pelajar Diploma Multimedia Kreatif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics dikenakan tindakan buang kolej selepas ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics, Prof Dr Nazaruddin Mohamed berkata pihak kolej memandang serius perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pelajar yang terbukti terlibat dalam insiden berkenaan.

“Tindakan ini diambil berdasarkan pengakuan bertulis pelajar berkenaan dan peraturan tatatertib serta disiplin dan pihak kolej telah mengambil keputusan membuang pelajar ini daripada pengajiannya. Malah keputusan ini adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak boleh dikemukakan,” katanya.