Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

EAC diharap mampu tangani masalah ekonomi negara

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik langkah Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamed dalam menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi sebagaimana yang dilaporkan menerusi beberapa portal media semalam.

Majlis yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri dijangka akan memainkan peranan utama dalam menangani masalah yang melanda negara terutamanya dalam hal ekonomi. Melalui Majlis ini, kerajaan juga dijangka akan memastikan pertumbuhan ekonomi secara mampan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya golongan miskin khususnya B40 terjamin.

PKPIM berharap agar penubuhan Majlis ini dapat memberikan perhatian yang mustahak terhadap nasib rakyat di luar bandar terutamanya pekebun kecil, peneroka FELDA dan nelayan.

PKPIM juga menggesa kerajaan untuk mengutamakan keperluan ekonomi rakyat dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan. Hal ini termasuklah perkara-perkara yang berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.

PKPIM yang mewakili keluhan generasi muda juga menggesa kerajaan supaya lebih prihatin akan bebanan yang dihadapi generasi muda kini seperti peluang pekerjaan, hal berkaitan perumahan mampu milik dan juga menangani kebimbangan masalah kemuflisan yang melanda dalam kalangan anak muda yang disebabkan oleh bebanan hutang.

PKPIM juga mendesak para ahli politik untuk segera menghentikan sandiwara politik yang kelihatan tidak berkesudahan seterusnya kembali menumpukan pelaksanaan matlamat kebajikan rakyat bagi memastikan kesejahteraan mereka terpelihara.

PKPIM menegaskan bahawa sudah tiba masanya Jemaah Menteri pimpinan Tun Dr Mahathir untuk berhenti menyalahkan kerajaan lama dan sebaliknya mengemukakan dasar-dasar ekonomi yang mampan dan kukuh bagi memastikan cita-cita mengembalikan ketenteraman hidup rakyat menjadi kenyataan.

AHMAD FAHMI ADZHA MOHD NASARUDIN
Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKPIM sambut baik cadangan pinda AUKU

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik keputusan Kabinet yang bersetuju untuk meminda Seksyen 15 & 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik, peruntukan yang terlibat ialah Seksyen 15(2)(c) Akta ini yang melarang mana-mana mahasiswa daripada melibatkan diri dalam sebarang kegiatan parti politik di dalam kampus-kampus universiti awam.

Menurut beliau, tindakan ini akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum undang-undang baharu mengenai pendidikan tinggi negara digubal bagi menggantikan AUKU 1971 menjelang tahun 2020.

PKPIM juga berpandangan akta-akta lain seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Terpakai terhadap IPTS) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Terpakai terhadap UiTM, Kolej-kolej Matrikulasi, Politeknik-politeknik, Institut-institut Pendidikan Guru dan Kolej-kolej Komuniti) yang turut mempunyai peruntukan yang sama juga harus dipinda bagi memberikan ruang kepada mahasiswa untuk memanfaatkan kebebasan bersuara dan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(a) & (b) Perlembagaan Persekutuan di samping menyuburkan semangat demokrasi dalam kalangan mahasiswa.

PKPIM juga menyarankan agar kerajaan mengkaji semula cadangan penubuhan cawangan-cawangan parti politik di setiap IPT tempatan. Hal ini adalah penting bagi memastikan agenda pemerkasaan golongan mahasiswa dalam arena politik nasional tidak disalahgunakan oleh mana-mana ahli politik untuk mencapai cita-cita peribadi mereka yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

PKPIM meletakkan setinggi-tinggi harapan dan keyakinan kepada kerajaan dan KPM khususnya supaya Iltizam 4(3) dalam Buku Harapan yakni manifesto mengenai pemansuhan AUKU seperti yang dijanjikan semasa PRU14 dapat ditunaikan menerusi keputusan yang diambil oleh Kabinet ini dalam usaha memperkasakan golongan anak muda dalam era Malaysia Baharu kini.

Akhir kata, PKPIM akan terus menyokong dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan agenda reformasi universiti dapat direalisasikan.

Hidup Biar Berjasa

MUHAMAD NUR IMAN ABDUL KHUDUS
Presiden,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, (PKPIM) Sesi 2018/2019.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

PKPIM: Semak tatacara pilihanraya kampus tindakan reformasi telus

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Langkah menyemak semula tatacara pengurusan Pilihanraya Kampus (PRK) dilihat sebagai tindakan yang menzahirkan komitmen kerajaan baharu ke arah merealisasikan agenda reformasi secara telus serta menyeluruh di negara ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Khair Sujud berkata, pendekatan yang diambil kerajaan itu lebih telus kerana akan membuka ruang ke arah pengendalian PRK yang telus atas semangat ‘Dari Mahasiswa Kepada Mahasiswa’.

“PKPIM melihat perkara ini sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan gerakan mahasiswa seluruh negara yang konsisten menuntut hak kebebasan bersuara serta autonomi universiti khususnya yang melibatkan badan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam berkata Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua universiti awam diberi kebebasan sepenuhnya dalam menentukan acuan kepimpinan mereka sendiri tanpa penglibatan pihak pengurusan universiti mulai tahun ini.

Sehubungan itu, kementerian berkata tatacara pemilihan MPP atau juga dikenali sebagai PRK turut akan disemak semula.

Muhammad Khair berkata PKPIM turut menggesa mahasiswa agar memanfaatkan peluang berkenaan sebaik mungkin serta berharap lebih ramai pimpinan mahasiswa yang berkualiti dapat dilahirkan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Beri cuti peristiwa galak mahasiswa pulang mengundi

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengambil maklum akan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan tarikh pengundian yang ditetapkan pada hari Rabu 9 Mei 2018.

Berdasarkan rekod sebelum ini, hari pengundian bagi PRU 12 dan PRU 13 telah diadakan pada hari Ahad dan Sabtu. Kali terakhir PRU diadakan pada hari bekerja adalah pada 1999 di mana tarikh pengundian jatuh pada hari Isnin 29 November 1999.

PKPIM melihat penetapan tarikh pengundian selain daripada hari minggu dijangka akan menyukarkan para pengundi bagi mengundi di kawasan masing-masing. Sebagai badan yang menguruskan perjalanan proses pilihan raya di negara ini, SPR seharusnya memudahkan proses pengundian terutama dalam soal penetapan hari pengundian.

PKPIM menggesa pihak kerajaan sementara agar mengisytiharkan cuti peristiwa sehari sebelum hari pengundian (Selasa, 8 Mei 2018) dan pada hari pengundian (Rabu, 9 Mei 2018) bagi memberi ruang kepada mahasiswa, pengundi muda dan seluruh rakyat Malaysia untuk pulang ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini.

PKPIM juga mencadangkan pihak pentadbiran institusi Pengajian Tinggi mengambil tindakan sewajarnya bagi menggalakkan para mahasiswa di institusi masing-masing pulang mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

PKPIM menegaskan cadangan pemberian cuti peristiwa dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan keluar mengundi. Untuk rekod, PRU13 yang lalu mencatatkan peratusan keluar mengundi yang paling tinggi iaitu sebanyak 84 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab memilih.

PKPIM berharap pihak kerajaan sementara danpihak berkaitan dapat menimbang cadangan bagi memastikan setiap rakyat diberikan ruang dan kemudahan dalam proses terpenting dalam menentukan masa depan negara.

Muhammad Khair Sujud

Presiden

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKPIM sambut baik arahan henti asing kelas

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pengumuman yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada 26 Disember 2017 yang lalu, agar menghentikan pengasingan pelajar menurut pencapaian akademik semata.

Kami melihat bahawa ini merupakan kesinambungan dalam usaha KPM untuk membangun pelajar-pelajar secara holistik dan bukan bergantung pada kepakaran menjawab kertas ujian sahaja.

Langkah ini juga akan memberikan ruang yang lebih luas kepada para pendidik dan para pelajar untuk mengembangkan potensi dan kemampuan mereka dalam suasana yang lebih bebas.

Kami mengkhuatiri jikamana sistem pengasingan kelas berasaskan pencapaian akademik diteruskan, ini hanya akan meningkatkan jurang antara pelajar dan akan memperkasakan “elitism” dalam kalangan pelajar sendiri.

Seharusnya pencapaian yang dicari dalam pembangunan pelajar-pelajar adalah pembinaan nilai-nilai manusiawi mereka seperti contoh sifat toleransi, sifat keterbukaan, sifat tolong-menolong dan sebagainya.

Kami yakin, setiap insan mempunyai potensinya tersendiri, dan tidak mampu untuk kita membuat satu rumus pendidikan yang umum untuk semua.

Sepanjang pengalaman kami turun dan berinteraksi secara langsung dengan pelbagai jenis pelajar, kami sedari jurang ini semakin tampak jelas dalam kalangan pelajar sendiri.

Mereka hanya berkawan sesama mereka sahaja dan yang berada di kelas lebih tinggi mempersenda rakan-rakan di kelas bawah.

Persepsi ini juga sudah makin menebal dalam kalangan para pendidik bilamana terdapat segelintir yang terus melabel pelajar-pelajar dalam kelas belakang sebagai “degil”, “nakal”, “tidak mahu belajar” dan sebagainya.

Perkara ini akan merendahkan lagi keyakinan diri pelajar itu, terutamanya pada diri mereka sendiri dan akhirnya pada para pendidik mereka juga.

Sedangkan kami sendiri menyaksikan kekreatifan dan kepintaran pelajar-pelajar, yang dilabel, tersebut menyelesaikan permasalahan yang kami berikan dengan cara yang kami tidak pernah terfikir.

Ibarat kata-kata Albert Einstein, “Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing it is stupid.”

Muhamad Nur Iman bin Abdul Khudus
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kampung Menara Gading latih mahasiswa terokai dunia universiti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR : Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganjurkan Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK) di UNISEL kampus Bestari Jaya, bermula 1 hingga 4 April lalu.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, 300 peserta antaranya adalah pelajar lepasan SPM, STPM serta STAM menyertai program itu sebagai landasan persediaan kepada mereka untuk melangkah ke gerbang universiti.

“Inisiatif ini meliputi pengisian program di peringkat universiti seperti pilihan raya kampus, ‘town hall discussion’ dan forum Pendidikan Al Hikmah: Ke arah Pembebasan Budaya Biskut.

KAMPUNG MENARA UNISEL (1)“Istimewanya, ia turut menampilkan Naib Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Khairul Anwar Ismail sebagai panel serta Siri Dialog: Memberdaya Tekad Transformatif.

“Ia turut disertai Tokoh Belia ASEAN 2014, Jufitri Joha dan Naib Presiden WADAH, Prof Madya Dr Izura Udzir sebagai panel jemputan,” katanya dalam kenyataan.

Serentak program itu, Majlis Istiadat Konvokasi Perkampungan Menara Gading 2017 turut diadakan dengan majlis perasmian oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Sementara itu, Mohammad Redzuan dalam ucapannya berkata, program itu diyakini mampu melahirkan generasi mahasiswa bitara yang produktif, progresif dan dinamik yang boleh menyumbang kepada pembentukan negara bangsa

“Bertemakan ‘Tekad Transformatif: Memberdaya Kebitaraan Mahasiswa Mukmin’, UNISEL juga memandang positif usaha PKPIM untuk mengangkat budaya ilmu dan pendidikan di Selangor melalui penganjuran program yang mampu memberdayakan potensi bakal mahasiswa dan mahasiswi.

“Usaha ini seterusnya diharapkan mampu melahirkan generasi yang bakal menjadi penerus harapan umat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, UNISEL sebagai institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri konsisten mampu memacu kepada pertumbuhan hab pendidikan serantau menerusi bidang tawaran pengajian dan komitmen berterusan dilaksanakan di peringkat negeri.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Terima kasih Cikgu!

OLEH : MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH

1- Assalamualaikum wbt. Alhamdulillahi wa bihi nasta’in, ‘ala umuri ‘d-dunya wa ‘d-din.

2- Segala puja puji bagi Allah Tuhan sarwa alam, Yang Maha Mengasihi kita semua dengan mengurniakan kita para guru yang menjadi wasilah bagi kita memperoleh ilmu, dan dengan ilmu kita semua menjadi mulia.

3- Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, pesuruh Allah yang mulia, yang diutuskan oleh Tuhan sebagai Guru Agung kepada kita semua. Baginda mengajarkan kita mengenal hakikat dan mengasuh kita dengan pekerti yang halus agar kita menjadi manusia beradab.

4- Pada kesempatan yang sangat menggembirakan ini, saya mewakili seluruh saf qiyadah PKPIM, merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Guru buat semua pendidik seluruh nusa!

hari guru5- Sesemangnya, para guru sangat wajar dihargai dalam hari peringatan khusus seperti 16 Mei ini. Bagi kami, setiap hari adalah hari guru kerana guru menempati tempat yang istimewa dalam jiwa kami semua.

6- Tanpa tunjuk ajar dan didikan cikgu-cikgu dan para pensyarah, mana mungkin kami mampu memandu bahtera kehidupan, lebih-lebih lagi dalam menempuh alam kedewasaan yang mendatang.

Saudaraku dan para guru yang budiman,

MENDIDIK DENGAN KASIH, MENUAI TERIMA KASIH

7- Dalam konteks pendidikan, guru adalah suatu entiti yang sentral dan sangat penting. Proses pendidikan tidak mungkin dapat berlangsung dengan ketiadaan guru.

8- Ungkapan kepujanggan bangsa seperti ‘guru ibarat lilin yang membakar diri’ adalah sangat benar dan signifikan. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan bagi setiap anak didik untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan cikgu-cikgu yang telah mendidik mereka selama ini.

9- Sesungguhnya, pendidikan tidak seharusnya dilihat dari sisi akademik semata-mata. Ia merupakan suatu proses pembangunan potensi insan secara menyeluruh meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

10- Prof. Syed Ali Asyraf, seorang ilmuwan dan tokoh pendidik terkemuka, pernah menyatakan bahawa pendidikan merupakan proses penyaluran kasih sayang.

11- Dalam tradisi pengajian Islam tradisional, kasih sayang menjadi pra-syarat kepada proses pengajaran dan pembelajaran kerana menyempurnakan kehendak psikologi dan emosi manusia.

12- Justeru, pembinaan suasana harmoni dalam proses pengajaran-pembelajaran di sekolah adalah suatu yang wajar dititikberatkan. Iklim keilmuan dan budaya intelektualisme harus dibugar dan dikembang-suburkan.

13- Apalah ertinya kecemerlangan akademik tanpa penyuburan jiwa; apalah nilainya gred ‘A+’ tanpa akhlak terpuji.

14- Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merupakan landasan pelaksanaan agenda kependidikan di Malaysia dengan jelas menyatakan “Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”.

15- Oleh sebab itu, kecemerlangan yang sebenar adalah kemajuan perkembangan potensi keinsanan setiap pelajar yang mengikuti pendidikan dan persekolahan.

16- Kami yakin dan percaya, cikgu-cikgu di sekolah yang dianggap sebagai ibu ayah kedua para pelajar sentiasa sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pendidik yang mengajarkan para pelajar dengan ilmu dan hikmah. Terima kasih para pendidik sekalian.

LITERASI & LIBERASI: MEREALISASIKAN PENDIDIKAN KEINSANAN DAN PENDIDIKAN YANG MEMBEBASKAN

17- Pendidikan adalah proses penyaluran ilmu dan nilai. Kita semua meyakini bahawa dengan ilmu kita akan jadi orang mulia, kerana kita bebas daripada belenggu kebodohan dan kejahilan.

18- Oleh yang demikian, para guru wajar menciptakan keyakinan dalam kalangan pelajar dan anak didik bahawa kesempatan belajar dan bersekolah adalah suatu anugerah Tuhan yang wajib disyukuri, justeru membangkit motivasi untuk terus bersungguh-sungguh dalam pelajaran masing-masing.

19- Anak bangsa kita memerlukan motivasi untuk memahami erti menjadi para penuntut ilmu. Pendidikan tidak sebatas proses literasi semata-mata, tetapi juga menjangkau proses liberasi – pembebasan diri daripada kejahilan, rasa rendah diri, budaya takut, perasaan malu tak bertempat, rendah keyakinan diri dan selalu berasa gagal.

20- Pendidikan adalah untuk manusia, justeru pendidikan haruslah bersifat memanusiakan (humanizing), bukan meredam sifat keunggulan manusia.

21- Seperti yang telah disinggung tadi, pendidikan bukan hanya sebatas domain literasi – mengajarkan ilmu, teori dan kemahiran – tetapi juga menyuburkan jiwa dengan watak unggul kemanusiaan seperti amanah, berintegriti, bertanggungjawab, adil, berdikari, yakin diri, kerja terancang, progresif, proaktif dan akomodatif.

Guru-guru serta teman-teman seperjuangan,

MEMBANGUN WATAK BANGSA YANG BERADAB

22- Renungi ungkapan hikmah oleh Pendeta Za’ba, tokoh pembangkit dhamir kebanggaan bangsa: “Pelajaran sangatlah wajib bagi membetulkan segala yang kekurangan pada perangai-perangai kebangsaan sesuatu kaum dan bagi mengubahkan dan membaiki tabiat-tabiat kecenderungan yang kurang baik pada diri seseorang”.

23- Ternyata pendidikan yang murni dan sejati bakal membuahkan watak peribadi dan bangsa beradab.

24- Pendeta Za’ba juga mengajarkan kita untuk sedar dan membangun diri; yakin dengan kebolehan dan potensi sendiri; jangan suka menjadi manja dan bergantung harap kepada orang lain; sentiasa mahu menjadi maju dan terus-terusan membaiki kelemahan diri; berusaha gigih dan jangan mudah menyerah kalah; berusaha mencapai keluhuran budi dengan memahami agama dan berfikir rasional.

25- Kesemua yang dinyatakan ini dan banyak lagi sifat mahmudah yang lain harus diterapkan, jadi pegangan kita semua dan seterusnya sama-sama diasuhkan kepada anak-anak didik kita.

26- Bangsa Malaysia adalah bangsa yang hebat. Guru adalah watak utama dalam membangun bangsa hebat ini, kerana merekalah yang berperanan mencelikkan anak bangsa dengan ilmu yang berguna dan dimanfaatkan untuk waktu kini dan masa depan.

GURU INSAN TERPILIH: MEWARISI TUGASAN NABAWI

27- Para guru sekalian, anda adalah orang-orang terpilih yang mengemban tugasan berat, menyampaikan ilmu, mendidik pelajar jadi manusia berguna.

28- Justeru, didiklah dengan jiwa. Haruslah disedari bahawa sekolah adalah ‘syurga’ kerana di dalamnya ada ilmu, ada kasih sayang dan ada keberkatan.

29- Kenangilah sabdaan Ar Rasul s.a.w: “Orang yang berkasih sayang, akan disayangi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah penduduk bumi, engkau akan dikasihi penduduk langit (para malaikat).”

30- Memang para Nabi dan Rasul ditugaskan menjadi guru: “Sesungguhnya aku diutuskan sebagai guru”. Justeru, menjadi guru adalah legasi dan warisan Nabi s.a.w.

Para guru dan sahabat-sahabatku yang bitara,

IDEALISME KEGURUAN: “HUMAN TRANSFORMER” DAN “CULTURE BUILDER”

31- Menurut tokoh ideolog dan murabbi umat Ayahanda Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, seorang guru yang bitara harus punya berperanan sebagai: i) Human Tranformer’ dan ii) ‘Culture Builder’.

32- Dalam erti kata lain, fikrah dan idealisme perjuangan seorang guru adalah untuk melakukan perubahan, untuk mentransformasikan manusia kepada keadaan yang lebih baik.

33- Oleh itu, teman-teman kita yang sedang dipersiapkan menjadi guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau yang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), haruslah menyedari bahawa profesyen keguruan ini menuntut pemikiran perjuangan. Ia bukan sekadar karier tapi ia adalah “misi” untuk memandaikan anak bangsa.

34- Dalam masa yang sama, guru harus bertindak menyediakan suasana yang selesa untuk pembentukan iklim intelektualisme dan keilmuan dalam kalangan warga pendidik dan peserta didik.

35- Iklim keilmuan akan terbentuk dengan kesepakatan warga institusi pendidikan setiap peringkat dalam mengapresiasi ilmu dan menjadikan kegiatan intelektualisme dan ilmiah sebagai rutin harian.

36- Pada pandangan saya, pembentukan budaya ilmu bermula dengan tiga langkah: (i) Pembinaan kecenderungan (tendency); (ii) Pembentukan sikap (attitude); (iii) Pengamalan rutin (routine).

37- Kecenderungan positif terhadap ilmu dan kegiatan ilmiah akan membentuk sikap dan pendirian yang utuh terhadap ilmu. Sikap ini kemudiannya akan mendorong seseorang untuk melazimi kegiatan ilmiah dan akhirnya akan menjadi kebiasaan dan rutin harian yang tak dapat ditinggalkan.

38- Saatnya kesemua warga komuniti tersebut melazimi rutin yang sama, maka terbentuklah budaya keilmuan dalam komuniti tersebut.

39- Justeru, budaya ilmu boleh dicipta dan diaturkan. Malah budaya-budaya lain dengan nilai-nilai positif juga wajar dibentuk dengan langkah yang dinyatakan.

40- Maka jadi kewajipan bagi para petugas yang mengemban misi memandaikan anak bangsa ini untuk terus memperkukuh budaya ilmu dan budaya positif yang lain dalam usaha mentransformasi anak bangsa Malaysia menjadi bangsa yang terampil dan berkemajuan.

Para pendidik dan teman-teman yang berjasa,

SEDIA BELAJAR, MENGAJAR DAN DIAJAR

41- Kepada teman-teman aktivis dan penggiat PKPIM di seluruh Tanah Air, terima kasih kerana mengorban masa, tenaga dan wang ringgit kalian untuk sama-sama berperanserta memandaikan anak bangsa Malaysia.

42- Kalian turun ke sekolah mengendalikan kegiatan, bersama menjadi pembimbing kepada adik-adik kita di sana, menceriakan mereka, menyuntik motivasi untuk berjaya, berkongsi pengalaman buat pedoman kehidupan mereka. Kalian juga menganjurkan program-program membangun peribadi dan potensi diri di kampus-kampus universiti, juga turun ke lapangan bersama masyarakat dalam menjayakan agenda mendidik umat.

43- Sungguh, kalian orang-orang yang mulia, dan hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa kalian. Saya dan teman-teman qiyadah merakamkan setinggi-tinggi apresiasi atas kerja-buat kalian ini. Teruskan berjasa kerana kalian sangat-sangat diperlukan oleh umat ini.

44- Buat para guru dan pedidik, sekali lagi terima kasih kerana jasa dan pengorbanan kalian. Moga diganjari Allah dengan imbalan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin.

45- Mudah-mudahan Allah memelihara kalian yang menjadi guru, dan memelihara para guru kami. Sesungguhnya, taklifan sebagai guru adalah tugasan mulia, yang punya misi memuliakan manusia lain dengan ilmu, nilai dan hikmah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

TERIMA KASIH CIKGU
HIDUP BIAR BERJASA

* MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKPIM: Kerajaan tiada sebab gantung biasiswa

OLEH : Mohammad Fazril Mohd Saleh

PKPIM merujuk kepada laporan oleh portal berita MalaysiaKini yang menyatakan bahawa Biasiswa JPA (untuk pelajar sarjana muda) dan bursari Kementerian Pendidikan (untuk pra-universiti) digantung atas faktor ekonomi yang merudum. (MalaysiaKini, 20 Januari 2016).

Menurut laporan tersebut, perkara ini telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong.

Berhubung isu ini, PKPIM menyatakan kekesalan dan rasa kecewa kami terhadap tindakan kerajaan yang memangsakan pelajar dalam menangani kegawatan ekonomi yang membadai negara dewasa ini.

graduationWalau bagaimanapun, pihak PKPIM masih menunggu laporan dan berita lanjut berhubung perkara ini.

Tindakan menggantung biasiswa dan bantuan kewangan bursari kepada pelajar dengan alasan kejatuhan pendapatan negara adalah jelas tidak bertanggungjawab.

Mengapa pelajar berpencapaian cemerlang yang merupakan aset penting pembangunan negara masa depan menjadi mangsa program “rasionalisasi” dan “penjimatan” kerajaan? Apakah perkara ini menjadi sebahagian agenda semakan semula Bajet 2016?

Justeru, kami mohon YAB Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia menjawab sendiri isu ini. Sekiranya benar penggantungan ini berlaku, diharapkan supaya YAB Dato’ Seri Najib insaf akan kegagalan beliau dalam mengurustadbir kewangan dan ekonomi negara.

Dalam perkembangan yang sama, kami bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, En. Zairil Khir Johari yang mengesyorkan peruntukan tinggi Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM 60.3 bilion disalurkan sebahagiannya kepada kepada Biasiswa JPA.

Selain itu, langkah-langkah mengatasi ketirisan dan keborosan dalam urustadbir negara adalah perkara utama yang harus difikirkan oleh kerajaan dalam mengatasi masalah pendapatan negara, bukan menggantung biasiswa.

PKPIM berharap isu penggantungan biasiswa ini mendapat maklum balas daripada pihak berwajib. Kami mohon Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib, Ketua Setiusaha Negara Tan Sri Dato’ Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahazir Khalid memberikan kenyataan maklum balas berhubung perkara ini.

“HIDUP BIAR BERJASA”

* Mohammad Fazril Mohd Saleh adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKPIM: Jangan jual negara melalui perjanjian TPP

Oleh: Mohammad Fazril Mohd Saleh

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan kesedihan dan kekesalan kami atas berita kesepakatan yang dicapai oleh 12 buah negara termasuk Malaysia dalam perundingan peringkat akhir di Atlanta, Amerika Syarikat, semalam. Ternyata, setelah sekian lama berdolak-dalih, akhirnya kerajaan bakal “jual negara”.

Sikap dolak-dalih Kerajaan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terhadap isu Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement – TPPA) akhirnya membuahkan jawapan.

Setelah lima tahun “penelitian” dan “kajian” dibuat oleh MITI, dengan pelbagai rintihan dan kerisauan rakyat, kerajaan masih yakin bahawa “TPPA baik untuk negara”.

tppaPKPIM mewakili kelompok pelajar dan mahasiswa Tanah Air sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak akan mudah berpuas hati dengan jaminan Dato’ Sri Mustafa Muhammad yang menggunakan skrip jawapan yang sama setiap kali rakyat menyatakan kerisauan: “kerajaan akan memastikan kesemua aspek yang menjadi keprihatinan dan sensitiviti Malaysia diambil kira”.

Dalam kenyataan media beliau ketika rundingan di Hawaii penghujung Julai lalu, Datuk Seri Mustafa Muhammad memberikan jawapan yang masih belum cukup meyakinkan. Itulah juga jaminan yang beliau janjikan dalam kenyataan media MITI semalam (05 Oktober 2015).

Dalam hiruk pikuk keresahan rakyat dengan situasi ekonomi gawat hari ini, mana mungkin kami boleh berasa yakin dengan kebolehan negara menangani TPPA, sedangkan skandal besar politik dan ekonomi negara yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara pun kerajaan tak mampu mengendalikannya.

Inikan pula isu yang mungkin berbangkit dengan pihak pelabur luar dengan peruntukan perundangan ISDS (Investor-to-State Dispute Settlement) dalam TPPA ini?

Pelajar dan mahasiswa Malaysia sudah hilang percaya terhadap integriti kerajaan. Cukuplah kami dijanjikan oleh para menteri tentang kebaikan GST dan ia akan beri kesan baik kepada rakyat.

Ternyata, kerajaan sendiri gagal mengawal kesan kenaikan harga barang selepas implementasi GST.

Bagaimana mungkin kerajaan mampu mengawal harga barangan penting seperti ubat-ubatan apabila tempoh pempatenan dipanjangkan? Atau harga buku apabila hayat hak cipta diperpanjangkan sehingga 120 tahun, mengakibatkan harga buku naik disebabkan kos yang meningkat?

Kesimpulannya, kami meragui TPPA seluruhnya. Memang kami ragu-ragu dengan kerajaan. Jangan gadai masa depan kami. PKPIM bersama dengan pertubuhan pelajar dan mahasiswa akan terus mendesak kerajaan dalam isu ini.

Rakyat seluruh dunia sedang bangkit menyatakan kekesalan kepada negara masing-masing atas peristiwa malang ini. Walaupun kesepakatan sudah dicapai oleh kesemua perunding terbabit, kami akan pastikan kerajaan terus ditekan!

Jangan jual negara dengan kejahilan pemimpin!
Hidup Biar Berjasa

* Mohammad Fazril Mohd Saleh adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Categories
KENYATAAN MEDIA

Apa nasib mahasiswa selepas GST, kerajaan patut prihatin

Oleh: Mohammad Fazril Mohd Saleh

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan kerisauan dan keresahan kami akan nasib para pelajar khususnya mahasiswa yang menuntut di peringkat pengajian tinggi selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April ini.

GST yang diwar-warkan di media sebagai ‘baik’ dan ‘dapat mengurangkan harga barangan’ ternyata suatu penyelewengan daripada realiti.

Pihak kami menerima aduan daripada para mahasiswa bahawa mereka telah menerima notis daripada pihak pentadbiran universiti tentang kenaikan harga yuran pengajian, yuran asrama, dan yuran berkaitan yang menyebabkan kos sara hidup mereka semakin meningkat.

Kerajaan telah berjanji bahawa beberapa barangan dan sektor perkhidmatan dikecualikan daripada GST. Antaranya adalah sektor kesihatan, pengangkutan awam dan pendidikan (exempted) dan beberapa barangan keperluan asas (zero-rated).

GST Grafik BaruNamun, pihak kami meragui kesan pengecualian GST atas perkhidmatan tersebut kerana penyedia perkhidmatan tetap dikenakan GST dalam kos pentadbirannya.

Justeru, walaupun pengguna perkhidmatan tersebut dikecualikan daripada GST tetapi harga perkhidmatan akan tetap dinaikkan, dan mahasiswa akan menjadi mangsanya.

Mungkin sesetengah pihak menarik nafas lega setelah YAB Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan bahawa buku-buku akan termasuk dalam kelompok barang perbekalan berkadar sifar.

Namun begitu, akibat pelaksanaan GST, pihak pencetak dan penerbit buku tetap akan menaikkan harga buku walaupun tanpa GST dan rakyat tetap akan terbeban dengan kenaikan tersebut.

Apatah lagi, dalam riuh rendah keresahan rakyat terhadap GST, tiba-tiba secara mengejut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kenaikan harga tambang perkhidmatan awam yang berkuatkuasa serta merta, menjadikan keadaan semakin meresahkan.

Dalam masa yang sama, pinjaman PTPTN pun telah dikurangkan menjadikan kehidupan kemahasiswaan semakin tertekan. Perlu diingat bahawa mahasiswa adalah kelompok yang tidak berkerjaya dan tiada perolehan pendapatan.

Mahasiswa juga terpaksa menanggung kesan kenaikan harga barang secara mendadak. Mereka juga perlu berbelanja untuk makanan, perkhidmatan awam, yuran pengajian, buku akademik dan peralatan pengajian.

Atas pertimbangan ini, ramai mahasiswa marah dan sesetengah mereka menyatakan bantahan secara terbuka termasuk melalui unjuk rasa dan demonstrasi. Tindakan mereka adalah disebabkan rasa kesal terhadap janji kerajaan untuk mengutamakan rakyat.

Oleh yang demikian, pihak PKPIM memohon penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam isu kenaikan kos pendidikan dan sara hidup mahasiswa.

Kami juga mendesak YB Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan bersuara mempertahankan nasib mahasiswa yang telahpun menjadi mangsa kenaikan harga yuran perkhidmatan pengajian dan barangan.

Antara cadangan kami kepada pihak KPM ialah:

i) Kawalan harga dan pengecualian kepada mahasiswa daripada terkena impak segera GST khususnya untuk harga makanan dan minuman di kafe universiti, serta harga barangan dan perkhidmatan dalam kampus.

ii) Jaminan perlindungan kepada mahasiswa daripada kenaikan harga yuran pengajian dan servis lain seperti asrama dan perkhidmatan oleh universiti.

iii) Diskaun kepada mahasiswa untuk perkhidmatan awam, pembelian buku dan barangan pengajian. Kad Siswa 1 Malaysia wajar diperluaskan penggunaannya.

Perlu dinyatakan di sini, sebagai pertubuhan mahasiswa, kami juga melakukan survei dan kajian impak ini secara ilmiah.

Bukanlah telahan kami ini bermaksud menafikan kesan positif GST untuk perkembangan ekonomi negara akan tetapi melihat kepada kondisi semasa ketidakstabilan ekonomi dalam negara, kami berpandangan adalah tidak sesuai untuk ia dilaksanakan.

Ternyata impak negatif lebih nyata daripada kesan positif yang diwar-warkan oleh kerajaan selama ini.

Kegagalan KPM memenuhi tuntutan ini akan menatijahkan kesan buruk kepada mahasiswa dan tidak mustahil aksi-aksi bantahan akan terus dijalankan secara lebih agresif.

“Hidup Biar Berjasa”

*Mohammad Fazril Mohd Saleh adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Categories
KENYATAAN MEDIA

UN DPA gesa Israel henti rancangan bina 1000 penempatan baru di Jerusalem

Oleh: MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan kekesalan terhadap sikap dan tindakan para pemimpin Israel yang terus-menerus melakukan pencerobohan secara sistematik dan terancang ke atas bumi Palestin. Bukan sekadar itu sahaja, Israel kini sedang merencanakan usaha merampas Masjid al-Aqsa iaitu Tanah Suci ketiga umat Islam, dan juga merupakan tapak warisan peradaban antara tertua di dunia.

Kami merujuk kenyataan Jeffrey Feltman, Ketua Jabatan Perhubungan Politik Pertubuhan Bangsa Bersatu (United Nation Department of Political Affair – UN DPA) semalam yang menggesa Israel menghentikan rancangannya untuk membina 1000 lagi penempatan baharu di Timur Jerusalem. Menurut beliau, pembinaan penempatan baharu ini adalah pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan kontradik dengan pelan “two-states solution”.

Dalam masa yang sama, usaha penggalian bawah tanah di dalam kompleks Masjid al-Aqsa sedang giat dijalankan oleh pihak Israel. Beberapa insiden pencerobohan golongan ekstrimis agama Yahudi ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa juga semakin kerap berlaku. Lebih mengecewakan apabila pencerobohan ini direstui oleh pimpinan Israel dan disokong oleh pihak bersenjata Israel.

PKPIM mengutuk keras tindakan dan sikap angkuh para pimpinan Israel yang sesuka hati mencabuli undang-undang dunia. Sememangnya Israel terkenal dengan kesombongannya dan sewenang-wenangnya memperlakukan Palestin. Luka di hati masyarakat dunia masih belum sembuh pasca peristiwa serangan Israel ke atas Gaza beberapa bulan yang lalu, kini Israel mencipta onar lagi.

Pencerobohan seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah Palestin. Pada tahun 1994, di Bandar Al-Khalil (Hebron), Masjid Ibrahimi telah dicerobohi oleh seorang pelampau Yahudi yang masuk ke masjid dan melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan kematian puluhan jemaah yang sedang bersolat, manakala ratusan yang lain turut cedera. Apa yang berlaku kini, Masjid Ibrahimi di Bandar al-Khalil dibahagi kepada dua bahagian; satu bahagian untuk umat Islam, dan satu lagi untuk umat Yahudi.

Ini tidak dapat diterima akal. Orang Yahudi punya tempat ibadat yang tersendiri, mengapa menceroboh tempat ibadat penganut agama lain? Jelas, ini pencabulan terhadap prinsip dan hak kebebasan beragama yang sewajarnya dihormati secara bersama oleh seluruh penduduk dunia.

Justeru, PKPIM menyeru masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia amnya, untuk bersama-sama bersatu menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mempertahankan hak kaum tertindas. Penjajahan Israel ke atas Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang, dan Kuasa Besar dunia hanya mendiamkan diri sahaja atas kezaliman nyata yang dilakukan. Justeru, kita sebagai rakyat dan penduduk dunia yang akan menghakimi Israel!

PKPIM dan seluruh badan gabungan kami juga menyatakan sokongan padu terhadap NGO Malaysia yang dibentuk untuk kempen Selamatkan al-Quds yang terdiri daripada pertubuhan antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Permuafakatan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM), Aqsa Syarif, Aman Palestin, Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan lain-lain. NGO ini telah mengeluarkan kenyataan media mereka semalam dalam sidang media yang berlangsung di Wisma Bernama.

Dengan ini, PKPIM sekali lagi menyatakan sikap dan pendirian kami menolak sebarang usaha pembinaan penempatan haram Israel dalam kawasan Jerusalem. Kami juga menolak dan membantah tindakan pencerobohan golongan yahudi ke dalam kawasan Masjidil Aqsa dan usaha keji mereka melakukan penggalian bawah tanah di kawasan tersebut yang bakal merosakkan struktur tapak warisan peradaban dunia ini.

PKPIM sekali lagi menyeru masyarakat Malaysia menyokong usaha dan kempen menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mengenakan tekanan global terhadap Israel dan sekutu kuat mereka. Sekiranya sebahagian masyarakat Eropah dan Amerika Latin berusaha memberi tekanan dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin, apakah kita masih terus berdiam diri?

Sesungguhnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan adalah tugas kita bersama. Palestin akan dibebaskan suatu hari nanti.

# Mohammad Fazril Mohd Saleh adalah Presiden PKPIM

Categories
KENYATAAN MEDIA

Soalan bocor bukan kali pertama: PKPIM gesa siasat

Oleh: Mohammad Fazril Mohd Saleh

PKPIM menyatakan kekesalan akibat penangguhan ujian mata pelajaran Science 018, 028, 038 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan berlangsung pada jam 8:15 pagi ini kerana didapati bocor.

Merujuk kepada kenyataan akhbar oleh Lembaga Peperiksaan pada 10 September 2014, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan itu telah tersebar melalui media sosial.

UPSR BOCORLembaga Peperiksaan juga telah menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Tindakan Lembaga Peperiksaan untuk menarik semula soalan peperiksaan mata pelajaran Science 018, 028, 038 yang bocor ini merupakan suatu tindakan yang betul dan wajar walaupun kemungkinan besar banyak lagi soalan peperiksaan bagi mata pelajaran lain juga turut bocor di media sosial.

PKPIM mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Membocorkan soalan peperiksaan awam adalah suatu tindakan khianat terhadap prinsip pendidikan dan perbuatan ini menyalahi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

Lebih menyedihkan, tarikh penangguhan peperiksaan ini bersamaan dengan tarikh pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang telah dibentangkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dua tahun yang lalu (11 September 2012).

Justeru, PKPIM bertanya, berdasarkan kejadian ini, sejauh mana keseriusan pihak kementerian dalam menambahbaik sistem pendidikan negara?

logo pkpimKebocoran soalan peperiksaan bukanlah kali pertama berlaku. Ia bukan fenomena baharu dalam konteks peperiksaan awam di Malaysia. Cuma, mungkin soalan bocor itu tidak dianggap sebagai ‘bocor’ sebelum ini.

Kami juga percaya, sekiranya satu kertas peperiksaan telah bocor soalannya, maka tidak mustahil untuk kebocoran soalan berlaku untuk kertas-kertas peperiksaan yang lain.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan yang sentiasa peduli dengan kualiti pendidikan di Malaysia, PKPIM menggesa pihak berwajib khususnya Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan menyiasat isu ini secara serius akan isu ini.
Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dalam tindakan tidak bertanggungjawab ini.

Kepada para guru, penggubal soalan peperiksaan dan juga petugas peperiksaan, PKPIM mengingatkan bahawa peperiksaan adalah salah satu aspek daripada keseluruhan proses pembelajaran bagi para pelajar.

Peperiksaan bertujuan untuk membuat pentaksiran dan penilaian terhadap apa yang dipelajari.

Justeru, kami merayu agar mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini atas sebab semata-mata untuk “ranking” sekolah yang baik. Tindakan seperti ini adalah amat memalukan.

Kepada ibu bapa, kami sedia maklum bahawa kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan merupakan sesuatu yang diidamkan. Adalah menjadi kebanggaan bagi setiap ibu bapa apabila anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan.

Walau bagaimanapun, apakah tindakan menyebarkan soalan bocor seperti ini dianggap sebagai sesuatu yang bermaruah dan boleh dibanggakan?

PKPIM sekali lagi menyatakan kekesalan kami terhadap peristiwa yang berlaku ini. Kami menggesa pihak bertanggungjawab menyiasat kes ini secara serius demi maruah dan masa depan pendidikan negara.

* Mohammad Fazril Mohd Saleh adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)