Categories
AGENSI SELANGOR

Air Selangor galak pengguna daftar e-bil

SHAH ALAM, 16 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggalakkan pengguna beralih kepada perkhidmatan bil dalam talian (e-bil) kerana dapat mengurangkan penggunaan kertas selain mudah dan pantas.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata, kaedah e-bil menerusi emel itu pengguna boleh membuat pembayaran bil air tidak kira waktu dan di mana sahaja secara dalam talian tanpa perlu membawa bil fizikal.

“Kaedah e-bil ini sudah bermula sejak Januari tahun lalu, dan sehingga kini 400,000 pengguna telah menggunakannya.

“Buat masa ini kami mensasarkan 200,000 lagi akan menggunakan e-bil sekali gus menjadikan 600,000 pengguna menjelang suku pertama pada 2020,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Air Selangor adalah syarikat milik sepenuhnya Kerajaan Selangor ditubuhkan pada 26 Februari 2014 di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965 untuk menyediakan perkhidmatan air secara holistik di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 15300 atau dapatkan maklumat serta status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Gangguan bekalan air di Gombak, Hulu Selangor minggu hadapan

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Sebanyak 15 kawasan di Gombak dan 17 di Hulu Selangor melibatkan 22,958 akaun pelanggan berdaftar akan terjejas dengan gangguan bekalan air sementara minggu hadapan ekoran pelaksanaan kerja menaik taraf sistem bekalan air di Kolam Sedut Bukit Kanching.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan bahawa gangguan bekalan selama 20 jam itu akan bermula pada 9 malam hari Khamis, 28 November.

“Bekalan air akan dibuka sejurus kerja menaik taraf siap dan disasarkan pulih sepenuhnya pada 5 petang Jumaat, 29 November,” menurut kenyataan Air Selangor hari ini.

Di Gombak, kawasan gangguan meliputi Aman Siara, Kampung Selayang Permai, Selayang Heights, Bandar Baru Selayang, One Sierra, Taman Bukit Idaman, Idaman Hill, Perdana Residensi, Taman Puncak Templer, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Perindustrian Taman Selayang Baru, Taman Selayang Baru, Kampung Selayang Baru, Prima Selayang dan Taman Selayang Segar.

Di Hulu Selangor, ia merangkumi Dolomite Templer, Prima Ville, Taman Mawar 355, Kampung Melayu Batu 16, seluruh perniagaan Reef/Tesco, Taman Setia, Kampung Sungai Samak, Rawang Perdana, Taman Setia Jaya, Perindustrian Massalam, Taman Tun Perak, Taman Tun Teja, sebahagian Bukit Rawang Putra (flat), Taman Desa Sri Bayu, Templer Saujana, seluruh kawasan Templer dan Taman Kanching Jaya.

Pelanggan berkenaan dinasihat menyimpan bekalan air bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.

Air Selangor juga akan menggerakkan bantuan lori tangki air dengan keutamaan kepada premis kritikal serta kecemasan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

203 kes paip pecah akibat kerja pihak ketiga – Air Selangor

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Rekod Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menunjukkan terdapat 203 kes paip pecah dari Januari hingga Ogos tahun ini dengan kekerapan 85 kali di 53 kawasan terlibat yang menjejaskan 27,985 akaun disebabkan oleh kerja-kerja pihak ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, statistik juga menunjukkan Taman Tasik Perdana merekodkan kekerapan insiden paip pecah tertinggi dalam tempoh itu dengan 15 kes, diikuti Kampung Pandan dan Jalan Ayer Panas, Setapak masing-masing merekodkan sembilan kes kerana kerja-kerja pihak ketiga itu.

Bagi wilayah Petaling, lokasi paip pecah adalah di Jalan Kuchai lama dengan kekerapan (K) sebanyak tiga kali melibatkan lapan kawasan terlibat (KT) menjejaskan sebanyak 1,500 akaun (A), manakala untuk wilayah Klang pula, tiga lokasi paip pecah adalah di Taman Sentosa (K-4, KT-9, A-9,560), Taman Johan Setia (K-3, KT-1, A-1,332), Jalan Kebun (K-4, KT-4, A-5,210) dan Kampung Jawa (K-6, KT-1, A-3,210).

Sementara di wilayah Hulu Langat pula lokasi terjejas adalah Bandar Mahkota Cheras (K-4, KT-2, A-330), Taman Damai Indah (K-3, KT-1, A-550), Industri Sungai Chua (K-8, KT-2, A-440) serta Kampung Sungai Balak (K-3, KT-1, A-175).

Selain itu, di wilayah Kuala Lumpur lokasi paip pecah adalah di Kampung Pandan (K-9, KT-4, A-800) dan Taman Tasik Perdana (K-15, KT-10, A-700).

Di wilayah Gombak terdapat lima lokasi iaitu Jalan Jerejak, Taman Setapak (K-3, KT-2, A-100), Jalan Ayer Panas, Setapak (K-9, KT-2, A-1,241), Jalan Cengal, Taman Setapak (K-5, KT-1, A-1,497), Jalan Besar Kepong, Kepong (K-3, KT-4, A-400) serta Taman Samudera, Batu Caves (K-3, KT-1, A-400).

“Bagi setiap insiden yang berlaku, Air Selangor telah memaklumkan kepada pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan untuk mengambil tindakan bagi mengelakkan insiden itu berulang. Pihak kami mohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pelanggan ekoran insiden paip pecah oleh pihak ketiga yang di luar kawalan pihak kami.

“Air Selangor sentiasa berusaha meminimumkan impak gangguan dan menyalurkan bantuan dengan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas. Kerjasama dan kesabaran pelanggan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air tiga wilayah pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 JUL: Kawasan Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Gombak yang mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran diesel di Sungai Selangor telah pulih sepenuhnya setakat jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, bagaimanapun, proses pemulihan di keseluruhan kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air pula mencapai tahap 96 peratus.

“Pemulihan gangguan bekalan air di kawasan Klang/Shah Alam mencapai tahap 94 peratus; Kuala Lumpur (99 peratus); Petaling (96 peratus) dan Kuala Langat (97 peratus).

“Kami sentiasa memantau proses ini dan sedang berusaha untuk mempercepatkan pemulihan secara keseluruhan di kawasan terjejas yang disasar pulih sepenuhnya pada pukul 9 pagi Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Raof berkata, lori-lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas dan pengguna di lokasi yang telah pulih gangguan bekalan diminta supaya menggunakan air dengan berhemah.

Tambah beliau, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air melalui aplikasi ‘Air Selangor’ pada telefon pintar atau menerusi laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.

Pada Ahad lalu, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dekat sini terpaksa dihenti tugas yang mana menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

– BERNAMA