Categories
AGENSI SELANGOR

Tidak daftar e-bil Air Selangor, terima bil dua bulan sekali

SHAH ALAM, 4 MEI: Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang tidak mendaftar e-bil akan menerima bil air bulanan setiap dua bulan sekali melalui pos, kata ketua komunikasi korporatnya.

Elina Baseri berkata mereka akan menerima bil bulan semasa disatukan dengan jumlah bil bulanan sebelumnya pada bulan kedua menerusi satu bil manakala tempoh pembayaran adalah 30 hari daripada tarikh bil bulan berkenaan.

“Praktis ini hanya untuk pelanggan domestik sahaja. Bagi pelanggan selain domestik dan mereka yang berdaftar e-bil, akan menerima bil setiap bulan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata kaedah itu dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan kertas selaras dengan sokongan Air Selangor ke arah menghijaukan bumi.

Beliau berkata pihaknya menyarankan pelanggan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih belum memilih menerima e-bil Air Selangor agar berdaftar segera di https://update.airselangor.com dan memilih untuk terima melalui e-mel atau WhatsApp.

“Pelanggan yang ingin mendapat bil air melalui perkhidmatan WhatsApp perlu memastikan nombor telefon didaftarkan adalah betul dan boleh menerima mesej,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut dan bantuan mengenai bekalan air, pelanggan boleh menghubungi di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) serta laman sesawang Air Selangor www.airselangor.com

Pelanggan juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play untuk maklumat semasa bekalan air atau semakan bil.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dapatkan bil air menerusi WhatsApp – Air Selangor

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pelanggan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) kini boleh menerima bil air melalui aplikasi WhatsApp, jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata pelanggan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh mendaftar untuk perkhidmatan e-Bil yang bermula pada 1 April, atau mengemas kini maklumat mereka di laman sesawang http://update.airselangor.com untuk menetapkan kaedah penerimaan bil melalui WhatsApp.

“Pelanggan yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan WhatsApp perlu memastikan nombor telefon yang didaftarkan di laman web ini adalah betul dan boleh menerima mesej melalui WhatsApp.

“Untuk maklumat lanjut dan bantuan mengenai bekalan air, pelanggan boleh menghubungi kami di talian 15300, WhatsApp di 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) dan laman web Air Selangor (www.airselangor.com),” Katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Air Selangor juga menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar mereka melalui aplikasi AppStore atau GooglePlay untuk maklumat mengenai bekalan air atau untuk semakan bil air.

Pelaksanaan e-Bil adalah selaras dengan program transformasi Air Selangor untuk bergerak ke arah perkhidmatan digital dengan pelanggan kini dapat menerima bil air dengan lebih pantas dan mudah sama ada melalui e-mel atau dengan mengakses aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Air Selangor sasar 600,000 pengguna beralih ke e-bil

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Pengursan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mensasarkan 600,000 pengguna akan menggunakan kaedah e-bil menjelang Mac 2020.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata, setakat 16 Disember lepas, seramai 452,600 sudah menggunakan e-bil.

“Air Selangor memperkenalkan e-bil pada 1 Januari 2018 dan sehingga kini, kita mempunyai 452,600 pengguna.

“Kita sasarkan jumlah ini akan terus meningkat sebanyak 600,000 menjelang Mac tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui.

Abdul Halem berkata, kempen e-bil itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan menggalakkan pengurangan penggunaan kertas.

Katanya, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang memudahkan pengguna dengan membayar bil air di mana-mana dan pada bila-bila masa menerusi perkhidmatan dalam talian.

“Satu bil mungkin nampak remeh di mata pengguna tetapi sekiranya ia dijimatkan dalam tempoh yang panjang, tentunya memberi impak kepada cucu kita pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Air Selangor kini dalam usaha menyokong menyelamatkan bumi dengan mengurangkan penggunaan kertas dan memperkenalkan e-bil atau bil air secara dalam talian yang diterima menerusi e-mel bermula 1 Januari 2018.

Penerimaan bil air menerusi e-mel itu lebih cepat, mudah dan senang untuk dirujuk pada bila masa dan di mana-mana sahaja.

Pengguna boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang https://update.airselangor.com/.

Categories
AGENSI SELANGOR

Air Selangor galak pengguna daftar e-bil

SHAH ALAM, 16 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggalakkan pengguna beralih kepada perkhidmatan bil dalam talian (e-bil) kerana dapat mengurangkan penggunaan kertas selain mudah dan pantas.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata, kaedah e-bil menerusi emel itu pengguna boleh membuat pembayaran bil air tidak kira waktu dan di mana sahaja secara dalam talian tanpa perlu membawa bil fizikal.

“Kaedah e-bil ini sudah bermula sejak Januari tahun lalu, dan sehingga kini 400,000 pengguna telah menggunakannya.

“Buat masa ini kami mensasarkan 200,000 lagi akan menggunakan e-bil sekali gus menjadikan 600,000 pengguna menjelang suku pertama pada 2020,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Air Selangor adalah syarikat milik sepenuhnya Kerajaan Selangor ditubuhkan pada 26 Februari 2014 di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965 untuk menyediakan perkhidmatan air secara holistik di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 15300 atau dapatkan maklumat serta status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com.