Categories
SELANGOR

MB : Tiada kenaikan tarif air di Selangor walaupun Kerajaan Pusat naik kadar elektrik

OLEH : Norhayati Umor

SHAH ALAM 15 DIS : Kerajaan Selangor menyatakan komitmen untuk tidak akan menaikkan harga air walaupun kadar caj elektrik dinaikkan Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 2014.

air-syabas_MB1Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pendekatan itu diambil ekoran mahu membantu meringankan beban rakyat.

“Walaupun Kerajaan Pusat mengambil langkah menaikkan caj elektrik tetapi Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga air,” katanya dalam ucapannya ketika lawatan kerja ke Rumah Puteri Arafiah Seksyen 7, di sini.

Hadir sama isterinya yang juga Yang diPertua Kebajikan dan Amal Wanita negeri (PEKAWANIS) dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Rumah Puteri Arafiah, Puan Sri Salbiah Tunut.

Turut hadir Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan wakil pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Norita Mohd Sidek serta Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Abdul Khalid berkata sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, rakyat perlu diberikan sokongan dalam menangani isu kenaikan ini.

“Langkah itu diambil untuk menolong rakyat yang mana kita merasakan rakyat memerlukan sokongan dalam masalah ini,” katanya.

Tarif elektrik akan dinaikkan bermula tahun hadapan sebanyak 15 peratus.

Kenaikan itu menjadikan harga baru untuk sekilowatt 33.54 sen di Semenanjung Malaysia.

Manakala bagi Sabah dan Labuan, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kwj kepada 34.52 sen/kwj.

Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan subsidi air kepada 10 tahun akan datang.

-EZY

Categories
SELANGOR

Solat hajat mohon penstrukturan industri air dimuktamad

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 10 DIS : Kerajaan Selangor akan menganjurkan majlis Solat Hajat agar rundingan penstrukturan semula industri air berjalan lancar dan dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

Sallehen MukhyiExco Hal Ehwal Islam,Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa,Sallehen Mukhyi, berkata beliau menyeru agar rakyat Selangor turut serta menyokong usaha kerajaan negeri dalam memulihkan industri air agar lebih cekap dengan tarif yang munasabah.

Kata beliau, majlis Solat Hajat Dan Bacaan Doa Selamat Perdana ini akan diadakan pada 12 Disember  (Khamis) bertempat di Dewan Solat Utama, Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang bermula selepas Solat Maghrib.

Beliau juga berkata pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta untuk mengarahkan semua masjid – masjid dan surau-surau di Negeri Selangor untuk mengadakan Solat Hajat dan bacaan doa selamat untuk tujuan yang sama.

air-syabas_MB1“Penyusunan industrI air di negeri Selangor yang sudah berlarutan sejak 2009 dan Kerajaan Negeri harap ianya dapat diselesaikan. Saya yakin dengan doa rakyat Selangor ianya dapat berakhir dengan positif untuk semua pihak.

“Tambahan pula, dalam mesyuarat EXCO baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar Selangor ada memberi gambaran yang perkara ini boleh diselesaikan dengan baik,” kata Sallehen dalam satu kenyataan media.

Categories
SELANGOR

MB : Tawaran akhir ambil alih industri air RM9.65 bilion

OLEH : Norhayati Umor

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Selangor sudah mengeluarkan tawaran akhir untuk membeli empat syarikat konsesi air negeri itu pada jumlah RM9.65 bilion dalam satu surat tawaran yang dihantar kepada pengendali syarikat berkenaan semalam.

air-syabas_MBaEmpat syarikat konsesi terbabit adalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd yang meliputi industri air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata surat tawaran yang dihantar menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) perlu dijawab dalam masa 14 hari atau selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 4 Disember.

Katanya, KDEB turut menetapkan ekuiti keempat-empat syarikat konsesi air yang memberi pulangan sebanyak 12 peratus dikira sehingga 31 Disember 2012, tidak dikompaun dan dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen yang terdahulu, akan dibeli kerajaan negeri.

“Tawaran itu juga menyatakan bahawa KDEB akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan.

“Jika pemegang saham keempat-empat syarikat tersebut merasakan mereka berhak mendapat jumlah lebih daripada yang ditawarkan, mereka boleh meminta perkara itu untuk dibawa ke timbang tara antarabangsa,” katanya.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri memutamadkan tawaran itu ekoran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyatakan sokongan untuk menyatukan industri air di negeri terbabit menerusi surat yang dihantar pada Jun dan September lalu.

“Tawaran terakhir itu adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) demi kepentingan menubuhkan industri air secara holistik di Selangor.

“Kami berharap boleh memecahkan kebuntuan rundingan kerana Kerajaan Negeri sudah bersedia dengan rancangan pengambilalihan ini,” katanya.

Abdul Khalid turut berharap pemegang saham keempat-empat syarikat tersebut dapat menerima tawaran yang dilihat akan memberi pulangan menguntungkan.

Katanya, satu siasatan menyeluruh dan terperinci akan dijalankan ke atas syarikat konsesi tujuh hari dari tarikh penerimaan tawaran itu.

“Kerajaan Negeri Selangor komited untuk menubuhkan industri air secara holistik bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap pada tarif yang berpatutan kepada lebih 5 juta pengguna air di Selangor , Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.

-EZY