Categories
KENYATAAN MEDIA

Syabas diarah aktifkan pelan kecemasan & agih air berjadual kepada pengguna terjejas

Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim

Kerajaan Selangor memandang serius gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan beberapa kawasan di negeri ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat yang melibatkan kira-kira 27,000 rumah terputus bekalan air kerana Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup semenjak 28 Januari lalu disebabkan pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat.

Dalam masa yang sama, beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang melibatkan kira-kira 75,000 rumah juga terputus bekalan air dan tekanan rendah sejak kebelangan ini disebabkan pertambahan permintaan air yang mendadak ekoran cuaca panas kering dan kekurangan hujan .

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor telah mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengaktifkan pelan tindakan kecemasan termasuk mengagihkan air berjadual kepada pengguna di mana SYABAS akan memaklumkan butiran terperinci pelan pengagihan berjadual dalam waktu terdekat ini.

Pengagihan air berjadual ini akan diteruskan sehingga 31 Mac sekiranya bekalan air terputus dan tekanan air rendah masih berlaku.

Kita juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat untuk menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas di samping memastikan lif-lif rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) berfungsi bagi memudahkan penduduk mengangkut air.

Selain itu, kita meminta pihak Konsortium ABBAS Sdn Bhd, syarikat milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya membekalkan air minuman kepada penduduk yang terlibat.

Bagaimanapun, kemampuan bekalan air kecemasan ini amat terhad dan tidak mampu memenuhi kesemua permintaan pengguna pada waktu yang sama.

Justeru, kita menasihatkan pengguna berjimat cermat dan mengelak sebarang pembaziran supaya lebih ramai pengguna mendapat bantuan air kecemasan ini.

Kerajaan Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan berharap rakyat memahami keadaan ini disebabkan cuaca panas dan kering yang di luar kawalan manusia.

Pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPEL SYABAS di talian 1-800-88-5252 atau Pusat Khidmat Setempat SYABAS yang turut dibuka di kawasan-kawasan yang terjejas.

* Tan Sri Khalid Ibrahim ialah Menteri Besar Selangor

Categories
SELANGOR

MB bincang 6 jam tanpa henti cari penyelesaian terbaik isu bekalan air

SHAH ALAM 21 FEB: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bermesyuarat hampir 6 jam membincangkan strategi menangani impak cuaca panas dan kering keatas keselamatan bekalan air negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim mendedahkan perkara itu di laman sosialnya semalam.

.“Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dipengerusikan Menteri Besar bermesyuarat dari 2.30 petang hingga 8.10 malam tanpa henti untuk menyelesaikan 15 perkara termasuk usul pencatuan air,” kata Chang Khim.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan berkata kekurangan bekalan air di Negeri Sembilan menerusi beberapa langkah kontingensi.

Semalam media melaporkan Negeri Sembilan diisytiharkan krisis.

Sementara itu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) meminta pengusaha air untuk mendapatkan kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) sebelum melaksanakan program pencatuan.

“Pengusaha air perlu menjustifikasikan tindakan itu,dengan pelan kontinjensi termasuk pengurusan strategik, jadual, pelan komunikasi serta mitigasi,” kata KeTTHA dalam satu kenyataan.

Setakat ini, hanya Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) diberi kelulusan untuk melaksanakan catuan air di Kluang, Johor.

Manakala dua loji rawatan di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi terus ditutup ekoran paras pencemaran amonia yang tinggi.

Categories
SELANGOR

Air percuma KL, Putrajaya bukti PR perjuang hak rakyat

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 FEB : Kesediaan Kerajaan Selangor menawarkan pemberian air percuma 20 meter padu kepada penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) sentiasa konsisten memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira sempadan politik.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata perkara itu juga sudah lama dibincangkan di peringkat Kerajaan Negeri dengan mengambil kira penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya juga merupakan pelanggan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

rodziahKatanya, perancangan itu bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan sekiranya Syabas masih dikawal sepenuhnya oleh pihak swasta yang bermotifkan keuntungan semata-mata.

“Tetapi seandainya penstrukturan semula berjaya dan kerajaan negeri dapat menguruskan pembekalan air, maka mereka (penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya) berhak untuk mendapat inisiatif sama seperti rakyat Selangor dapat.

“Inilah yang Pakatan Rakyat perjuangkan, iaitu manfaat kepada setiap rakyat tidak kira kamu itu siapa, asalkan hak kamu, kamu seharusnya dapat,” katanya kepada Selangor Kini.

air-syabas_MB1Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tawaran pemberian 20 meter padu air percuma kepada penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya program penstrukturan semula berjaya.

Abdul Khalid ketika berucap dalam seminar Malaysian Power and Water Summit di Kuala Lumpur Kerajaan negeri kini dalam peringkat akhir rundingan penstrukturan semula air bersama kerajaan pusat dan pemegang konsesi.

Sejak 2008, rakyat Selangor menikmati pemberian 20 meter padu air percuma melibatkan peruntukan kira-kira RM 700 juta setahun.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Air percuma kepada KL, Putrajaya jika penstrukturan berjaya

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 18 FEB: Kerajaan Selangor bersedia menawarkan pemberian air percuma 20 meter padu kepada penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya, seperti yang dinikmati rakyat Selangor kini sekiranya penstrukturan air berjaya diselesaikan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada perancangan manfaat daripada penstrukturan air Selangor.

air-syabas_MB1“Perbelanjaan kos melaksanakan pemberian air percuma di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dianggarkan RM2 bilion setahun,” katanya ketika berucap dalam Malaysian Power and Water Summit 2014.

Jelas Abdul Khalid, rundingan penstrukturan ini sudah berada di peringkat akhir dan berharap akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu.

Tambahnya, pelan penstrukturan air ini bukan menjurus kepada unjuran untuk tahun 2020 malah boleh diteruskan sehingga tahun 2035.

Kata beliau lagi, Kerajaan Negeri kekal dengan tawaran sebanyak RM9.65 juta kepada syarikat konsesi air dan tidak akan membayar dengan harga lebih rendah daripada itu.

Sekiranya harga berkenaan tidak dipersetujui, syarikat konsesi boleh membawa perkara ini ke peringkat Timbang Tara untuk diputuskan dan Kerajaan Negeri bersedia untuk membayar harga yang bakal diputuskan.

EZY

Categories
SELANGOR

LUAS: Kapasiti air 7 empangan Selangor baik, memuaskan

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 17 FEB : Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesahkan kapasiti air bagi ketujuh-tujuh empangan di Negeri Selangor berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

Dalam lawatan bersama Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi ke Empangan Sungai Selangor, baru-baru ini mendapati kesemua empangan itu masih berada di tahap melebihi paras kawalan yang ditetapkan.

Lawatan itu untuk melihat keadaan empangan bagi menyalurkan bekalan air kepada penduduk di sekitar Lembah Klang memandangkan keadaan cuaca yang kering kebelakangan ini.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_1Yunus berkata tiga empangan berada di tahap melebihi 90 peratus .

Antaranya, empangan Tasik Subang berada pada tahap 97.6 peratus, Semenyih 93.85 peratus dan Batu sebanyak 92.03 peratus.

Manakala empangan Langat berada di tahap 83.63 peratus, Sungai Tinggi sebanyak 83.56 peratus, Klang Gate 58 peratus dan Sungai Selangor 57.63 peratus.

“Selangor juga mempunyai sebuah kolam takungan air untuk kegunaan kawasan di sekitar Kuala Lumpur International Airport (KLIA) iaitu Kolam Takungan Sungai Labu,” katanya yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk melakukan pemantauan ke tujuh empangan itu.

Hadir sama Pengarah Luas, Md Khairi Selamat, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, wakil Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) dan kakitangan Luas.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_2Yunus berkata, empangan Sungai Selangor bersama-sama dengan empangan Sungai Tinggi sahaja menyalurkan lebih kurang 3300 mld bekalan air kepada lima loji rawatan air iaitu Rasa, Rantau Panjang, SSP1, 2 dan 3 yang membekalkan 60 peratus peggunaan air untuk penduduk di sekitar Lembah Kelang.

Katanya, dengan keaadan yang kering dan kemarau ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor sedang berbincang dengan pihak Jabatan Meterologi Malaysia (JMM) untuk melakukan proses pembenihan awan (cloud seeding) dengan kadar skala yang agak besar mengikut kesesuaian masa dalam masa terdekat ini.

“Untuk menangani masalah keperluan air di kawasan Dengkil, Sepang dan Kuala Langat, mesyuarat Exco bersetuju menambah tangki air di kawasan terbabit melalui Unit Perancangan Ekonomi negeri (UPEN) dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk membantu membekalkan air di kawasan terbabit.

“Selain itu, pihak Syabas menghantar lori-lori tangki air ke kawasan tersebut secara berterusan selama 24 jam,” katanya.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_3Yunus turut menasihatkan supaya orang ramai tidak melakukan pembaziran dalam penggunaan air walaupun kerajaan negeri Selangor memberikan air percuma 20 meter padu pada setiap bulan.

“Rakyat Selangor perlu sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah di dalam penggunaan air supaya sumber air Selangor tidak terjejas di masa hadapan,” katanya.

EZY

 

Categories
SELANGOR

MB : HORAS mampu bekal air bersih lebih 600 juta liter sehari

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 JAN: Dalam usaha memberi penerangan berhubung pelan penstrukturan semula industri air di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempengerusikan sendiri sesi taklimat pertama, di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Abdul Khalid antara lain menegaskan bahawa kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan projek HORAS (Hybrid Off River Augmentation System) yang dijangka mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari.

Katanya, HORAS juga bertindak sebagai jaminan bekalan air berterusan sementara menunggu Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) bertujuan menyusun semula industri perkhidmatan air di Selangor.

mb“Kerajaan Persekutuan kini tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan Seksyen 114 itu tetapi kita tahu caranya.

“Sebab itu, kita sudah bersedia dengan perkembangan selanjutnya dan pada masa sama bersedia dengan syarat tertentu jika Langat 2 ingin diteruskan,” katanya di hadapan wakil rakyat dan parti komponen sempena sesi taklimat khas berkenaan.

Kerajaan negeri sebelum ini membuat tawaran kepada empat syarikat konsesi iaitu SYABAS, ABBAS, Splash dan Puncak Niaga sebanyak RM9.65 bilion bagi mengambil semula pengurusan air di Selangor.

Bagaimanapun, jumlah tawaran itu tidak dipersetujui syarikat konsesi yang menuntut bayaran RM13 bilion.

“Kerajaan negeri memerlukan RM1.5 bilion setahun untuk pembiayaan pemberian air percuma. Bermakna kalau ikut kehendak mereka, kita tidak boleh melaksanakan program air percuma selama enam hingga tujuh tahun.

“Ini kerugian kepada rakyat, maka kita tidak akan ikut kehendak mereka,” katanya.

Pada akhir sesi taklimat, beliau turut menyatakan hasrat untuk mewujudkan pusat panggilan khusus memberi peluang kepada rakyat bertanyakan sebarang soalan berhubung pelan penstukturan semula industri air di Selangor.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

Merungkai isu penstrukturan industri air di Selangor

ISU air kembali hangat di Selangor apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim baru-baru ini dikatakan melakukan u-turn dengan bersetuju untuk memberi kebenaran kepada kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji air Langat 2.

Bekas EXCO dan juga ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang dikatakan mengelirukan rakyat Selangor apabila secara tiba-tiba tunduk kepada desakan kerajaan persekutuan untuk akur kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Water Services Industry Act 2006).

Akta itu membenarkan kerajaan persekutuan mengambil alih aset industri air di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia danWilayah Persekutuan Labuan bagi mengstruktur semula industri air di Malaysia.

Pertama,  untuk membincangkan isu industri air di Selangor, elok kita ketepikan politik dalaman parti tertentu, pertembungan peribadi antara ahli politik dan hal tidak berkaitan.

imagesIsu air melibatkan kepentingan rakyat Selangor bukannya kepentingan individu tertentu yang sibuk menggunakan isu itu sebagai modal politik untuk menjatuhkan musuh politik mereka.

STRUKTUR AIR DI SELANGOR

Industri air di Selangor  agak kompleks kerana ia melibatkan pemegang aset air, konsesi-konsesi air melibatkan syarikat swasta dan juga kerajaan persekutuan.

Mari kita lihat lebih mendalam pemegang konsesi air dan pemilik atau pemegang saham syarikat konsesi air:

a) Konsesi yang merawat air mentah dan menguruskan loji rawatan air:

Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB): Pemegang 2 konsesi yang bertanggungjawab mengurus 29 loji rawatan air di Selangor dan Kuala Lumpur dengan kapasiti pengeluaran 1,909 juta liter air setiap hari.

Ia dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (syarikat tersenarai di Bursa Saham) yang pemiliknya ialah Tan Sri Rozali Ismail [melalui syarikat persendirian Central Plus Sdn Bhd dan Corporate Line Sdn Bhd] (41.25%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (6.19%) dan Lembaga Tabung Haji (5.74%).

ii) Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH)

Syarikat itu diberi konsesi 30 tahun oleh kerajaan Selangor pada Januari 2009 untuk membina, mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan Fasa 3.

Ia dimiliki oleh Gamuda Bhd (40%), The Sweet Water Alliance Sdn Bhd [syarikat milik Tan Sri Wan Azmi Hamzah] (30%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd [61% milik kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad] (30%)

iii) Konsortium ABASS Sdn Bhd

Konsortium itu dianugerah konsesi 30 tahun oleh kerajaan Selangor pada 2001 untuk mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Semenyih

Ia 100 peratus dimiliki oleh Titisan Modal Sdn Bhd [55% milik Kumpulan Perangsang Selangor Bhd yang juga milik kerajaan negeri Selangor melalui KDEB].

b) Pengedar air terawat:

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)

– Pengedar/pengagih air terawat tunggal bagi seluruh kawasan Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya.

– Mengurus dan menyelenggara pam air, takungan air dan stesen pam.

SYABAS dianugerah 30 tahun konsesi mengedar air oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor pada 2005.

– Dimiliki oleh Tan Sri Rozali yang juga pengerusi eksekutif sebanyak 70% melalui Puncak Niaga Sdn Bhd, dan kerajaan negeri Selangor memiliki 30% SYABAS melalui KDEB (15%) dan Kumpulan Perangsang (15%). Kerajaan persekutuan memiliki satu golden share.

CADANGAN AMBIL ALIH KONSESI AIR OLEH KERAJAAN SELANGOR

Sejak 2009 kerajaan Selangor membuat bidaan rasmi untuk mengambil alih seluruh aset dan ekuiti pemegang konsesi. Tujuan pengambilalihan ialah:

– Menggabungkan industri air di bawah kerajaan Selangor melalui KDEB bagi melindungi kepentingan rakyat negeri ini dari beban kenaikan tarif yang tinggi.

– Menyusun semula industri air bagi mewujudkan perkhidmatan air yang holistik.

– Memastikan kecekapan pengurusan rawatan dan pembekalan air seperti menurunkan kadar non-revenue water (NRW) atau air yang hilang melalui ketidakcekapan pengedar air (SYABAS) akibat kebocoran paip.

Kerajaan Selangor, demi melindungi kepentingan rakyat menghalang kenaikan tarif air yang sepatutnya dinaikkan oleh SYABAS sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.

Kerajaan negeri berpendapat SYABAS gagal mengoptimum bekalan air kepada pengguna air berikutan 34 loji rawatan air mempunyai kapasiti merawat 4,807 juta liter air sehari tetapi SYABAS hanya berupaya mengedar 4,411 juta liter air sehari.

Pada masa sama, SYABAS memberi alasan pembekuan Capital Expenditure (CAPEX) atau perbelanjaan modal untuk menyelenggara pam lama dan sebagainya sebagai halangan untuk mengedar air secara optimum.

Sejak 2009 sehingga hujung 2013, kerajaan Selangor membuat lima kali tawaran untuk mengambil alih aset dan ekuiti konsesi air Selangor.

Berikut ialah cadangan pengambilalihan aset dan ekuiti konsesi air di Selangor dan maklum balas terhadap tawaran oleh pemegang konsesi air:

norman
Semua tawaran kerajaan Selangor kepada empat pemegang konsesi air dibuat berdasarkan beberapa perkara iaitu:

– Jumlah pelaburan yang dibuat pemegang konsesi air.
– Tempoh pelaburan pemegang konsesi sejak penswastaan air di Selangor.
– Jumlah hutang yang ditanggung (bon dan pinjaman bank) pemegang konsesi air.
– Tawaran yang dibuat entiti kerajaan persekutuan iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
– Pulangan ke atas pelaburan (Return on Investment) sebanyak 12 peratus.

Walaupun tawaran ke atas pemegang konsesi dianggap berpatutan tetapi ia tetap ditolak atas alasan harga yang tidak berpatutan. Pemegang konsesi mahukan ROI sebanyak 15 peratus, bukan 12 peratus, penilaian ke atas aset yang dikatakan kurang daripada nilai sebenar (undervalued) dan sebagainya.

Kita maklum syarikat swasta berperanan menjana keuntungan maksimum dan kepentingan rakyat selaku pengguna air bukan objektif utama oleh semua pemegang konsesi.

AKTA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR  (2006)

Pada 2005, Parlimen meluluskan pindaan perlembagaan bagi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memindahkan perkara berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama (kecuali Sabah dan Sarawak).

Pindaan diwarta pada 10 Februari 2005 dan dikuat kuasa mulai 21 Mac 2005. Ini bermakna air yang sebelum 2005 dalam bidang kuasa negeri, dipinda kepada senarai bidang bersama yang bermaksud selepas pindaan perlembagaan itu, hal berkaitan air berada dalam tanggungjawab kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Dengan pindaan itu, kerajaan persekutuan akan mengawal selia industri perkhidmatan air dari segi pelesenan dan kawal selia operator perkhidmatan. Kerajaan Negeri pula mengekalkan kuasa terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan embangan sungai.

Pada pertengahan 2006, Parlimen meluluskan dua undang-undang yang mengubah cara Malaysia menguruskan perkhidmatan air iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu Akta 654 atau Akta SPAN dan Akta Industri Perkhidmatan Air iaitu Akta 655. Akta 654 (WSIA) menggariskan peranan, fungsi dan bidang tugas SPAN manakala Akta 655 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal dan sosial serta perlindungan hak pengguna.

Seksyen 114 akta itu memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih aset konsesi-konsesi air Selangor.

Setelah lima tawaran kepada syarikat konsesi ditolak, kerajaan Selangor tidak dapat mengambil alih konsesi sebelum 31 Disember 2013, tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

Maka, kerajaan persekutuan hampir pasti akan mengambil alih aset konsesi air di Selangor iaitu:

norman2
LOJI RAWATAN PROJEK LANGAT 2

Ia merupakan projek membina Loji Rawatan Air Langat 2 yang juga sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor untuk merawat 1.89 bilion liter air mentah sebelum disalur ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Projek itu yang dicadang kerajaan persekutuan seawal tahun 2007 bertujuan menampung permintaan bekalan air terawat dari Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya yang meningkat saban tahun.

Langat 2 yang sepatutnya mula dibina pada 2012 tertangguh kerana kerajaan Selangor tidak membenarkan Langat 2 dibina selagi pengstrukturan industri air tidak diselesaikan.

Kerisauan kerajaan  Selangor jelas untuk melidungi kepentingan rakyat Selangor dari beban kenaikan tarif air jika Langat 2 diteruskan.

Pada awal bulan ini, rakyat dikejutkan dengan berita Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bersetuju supaya Langat 2 diteruskan walaupun beliau sebelum ini, menafikan projek itu satu keperluan dengan alasan air mentah di Selangor mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

Secara jelas, MB menerangkan bahawa Langat 2 boleh diteruskan hanya selepas pengstrukturan industri air di Selangor selesai. Status terkini Langat 2 juga masih berada dalam proses rundingan dan belum dimuktamad dan bersyarat.

Syarat yang dikenakan oleh kerajaan Selangor kepada kerajaan persekutuan untuk persetujuan meneruskan projek Langat 2 ialah:

– Aset loji Langat 2 mesti diserap ke dalam program pengstrukturan air Selangor.
– Kerajaan negeri akan terlibat dalam semua urusan tender Langat 2.
– Kerajaan negeri berhak mendapatkan harga terbaik bagi sebarang struktur binaan Langat 2.
– Harga/tarif air akan ditetapkan oleh kerajaan Selangor.
– Operasi seluruh industri air akan disatu dan diuruskan oleh sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) yang akan ditubuh oleh kerajaan negeri.
– Pelantikan dua pentadbir yang dicadangkan oleh kerajaan negeri untuk mentadbir industri air Selangor.

norman3

Kerajaan Selangor juga memberi jaminan, program air percuma melalui skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan kekal walaupun Langat 2 dibina.

Untuk menunjukkan betapa seriusnya kerajaan Selangor menyelesai program pengstrukturan industri air, kerajaan negeri membatal lesen air mentah yang sebelum ini diberi kepada Puncak Niaga Holdings Berhad dan lesen air mentah diserahkan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor.

Malah, Kerajaan Selangor juga akan memulakan projek ‘Hybrid Off River Augmentation System’ (HORAS) yang akan membekalkan air terawat antara 600 juta hingga 700 juta liter sehari kepada pengguna air sementara menunggu kerajaan persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA.

Projek HORAS akan mengurangkan kebergantungan Selangor kepada Langat 2 untuk mendapatkan bekalan air terawat.

RUMUSANn

Tidak adil menuduh MB Selangor u-turn ataupun tunduk kepada tekanan kerajaan persekutuan kerana kerajaan Selangor sudah  menawarkan RM9.65 bilion kepada empat konsesi air dan tawaran itu ditolak dengan alasan penilaian aset air yang tidak memuaskan sedangkan kerajaan Selangor mengambil kira pelbagai faktor seperti pulangan ke atas pelaburan (ROI), liabiliti konsesi dan sebagainya.

Kita sedia maklum syarikat swasta dan persendirian akan mengutamakan keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak.

MB Selangor juga tegas untuk tidak tunduk kepada kerajaan persekutuan dalam urusan mengstruktur semula industri air di Selangor. Kebajikan rakyat tetap dijaga melalui penetapan tarif air yang akan ditentukan oleh kerajaan negeri dan program air percuma tetap diteruskan walaupun kerajaan persekutuan mengambil alih aset menggunakan Seksyen 114 WSIA.

Isu air tidak patut dipolitikkan dan dijadikan modal untuk menyerang individu tertentu. Kerjasama dengan kerajaan persekutuan perlu kerana perlembagaan persekutuan sudah dipinda dan meletakkan kuasa ke atas air dalam senarai bersama.

Seperti yang dilaungkan sesetengah pemimpin parti, kita perlu mencari titik temu bersama kerajaan persekutuan demi menjaga kepentingan rakyat.

Jangan hanya kerana permusuhan politik dalaman, isu air tidak selesai dan berlarutan sehingga menjejaskan kelancaran penstrukturan industri air Selangor.

* Disunting dari blog oskortos.blogspot.com.

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri kawal harga, pemberian air percuma diteruskan

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 15 JAN : Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar harga air di Selangor dalam penstrukturan industri air.

Manakala pemberian 20 meter padu air percuma dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada rakyat diteruskan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam penstrukturan air di Selangor dan boleh menentang hasrat Kerajaan Pusat sekiranya bertindak mengawal keseluruhan industri air.

air-syabas_MB1Katanya, sekiranya Kerajaan Pusat mengawalnya ia bertentangan dengan Akta 655 Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang menyatakan ia mesti diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Pusat menggunakan Seksyen 114, Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA 2006) ekoran kegagalan Kerajaan Negeri memuktamadkan rundingan dengan empat syarikat konsesi air yang berakhir 31 Disember 2013 lalu.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan Seksyen 115 iaitu ia akan diserahkan kepada orang yang memiliki aset-aset air iatu Kerajaan Negeri,” katanya.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri masih mengekalkan tawaran sebanyak RM9.65 bilion dalam penstrukturan itu.

“Modus operandi pembayaran akan dibincangkan kemudian bersekali dengan pemilikian saham emas yang dimiliki oleh Kerajaan Pusat,” kata Abdul Khalid.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Selangor bina projek HORAS pasti bekalan air berterusan

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 13 JAN: Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan untuk memulakan projek HORAS (Hybrid Off River Augmentation System) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari (MLD).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri melaksanakan usaha itu bagi memastikan pengguna terus mendapat bekalan air sementara menunggu Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) yang bertujuan menyusun semula industri perkhidmatan air di Selangor.

air-syabas_MB1Katanya, dengan adanya HORAS ini, rakyat Selangor tidak akan terlalu bergantung kepada projek loji Langat 2 sebagai satu jaminan atau kepastian bahawa pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air berterusan.

“Sistem ini melibatkan penakungan stormwater dari Sungai Selangor di kawasan bekas lombong di Bestari Jaya.

“Berdasarkan data limpahan di Baraj Bestari Jaya, didapati sumber stormwater Sungai Selangor adalah mencukupi ketika berlaku lebihan daripada penggunaan loji di Sungai Selangor.

“Keupayaan takungan ini dianggarkan mencukupi untuk 4 bulan tanpa aliran dari Sungai Selangor ketika musim kemarau pertengahan tahun,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata majlis pecah tanah bagi pembinaan HORAS ini dirancang diadakan dalam waktu terdekat ini dan akan menjemput Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bersama-sama menjayakan projek itu.

“Kita mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) supaya menyelaraskan pengeluaran lesen air mentah untuk diberikan kepada syarikat milik penuh kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), selari dengan rancangan penyusunan semula industri air Selangor.

“Sehubungan itu, lesen air mentah yang diberikan kepada syarikat konsesi termasuk Puncak Niaga akan ditamatkan,” kata beliau.

Abdul Khalid berkata, beliau yakin Kerajaan Persekutuan mampu menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA dengan lancar bagi memberi laluan kepada penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri itu.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kerajaan Selangor bina Horas pastikan bekalan air berterusan

Kerajaan Negeri telah memulakan usaha-usaha bagi memastikan pengguna terus mendapat bekalan air sementara menunggu kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) yang bertujuan menyusun semula industri perkhidmatan air di Selangor.

Justeru, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Pengawal Selia Air Selangor, Dato’ Mohamad Roslan Sakiman untuk memulakan projek HORAS (Hybrid Off River Augmentation System) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari (MLD).

air-syabas_MB1Dengan adanya HORAS ini, rakyat Selangor tidak akan terlalu bergantung kepada projek loji Langat 2 sebagai satu jaminan atau kepastian bahawa pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air berterusan.

Sistem ini melibatkan penakungan stormwater dari Sungai Selangor di kawasan bekas lombong di Bestari Jaya.

Berdasarkan data limpahan di Baraj Bestari Jaya, didapati sumber stormwater Sungai Selangor adalah mencukupi ketika berlaku lebihan daripada penggunaan loji-loji di Sungai Selangor.

Keupayaan takungan ini dianggarkan mencukupi untuk 4 bulan tanpa aliran dari Sungai Selangor ketika musim kemarau pertengahan tahun.

Majlis pecah tanah bagi pembinaan HORAS ini dirancang diadakan dalam waktu terdekat ini dan kita juga akan menjemput Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bersama-sama menjayakan projek ini.

Pada masa yang sama, kita telah mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) supaya menyelaraskan pengeluaran lesen air mentah untuk diberikan kepada syarikat milik penuh kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), selari dengan rancangan penyusunan semula industri air Selangor.

Sehubungan itu, lesen air mentah yang telah diberikan kepada syarikat konsesi termasuk Puncak Niaga akan ditamatkan.

Kita yakin Kerajaan Persekutuan mampu menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA dengan lancar bagi memberi laluan kepada penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Selangor dan Pusat setuju ambil alih kawalan industri air mengikut Akta WSIA

Oleh: SIRAJ ZAINI

SHAH ALAM 8 JAN: Kemelut pengambilalihan industri air di Selangor bakal berakhir apabila Kerajaan Pusat bersetuju memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Negeri dengan mengguna pakai Seksyen 114, Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) bersama syarat lain.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pertemuannya bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus semalam, bersetuju dengan tertakluk kepada beberapa syarat iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang Pentadbir syarikat konsesi air bagi menjalankan pengurusan air.

DSC_7230Katanya, dua Pentadbir yang dilantik adalah Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Suhaimi Kamaralzaman yang merupakan seorang akauntan bertauliah serta mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan industri air di Malaysia.

Manakala, calon Pentadbir kedua adalah Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Faekah Husin yang merupakan peguam terlatih selama 20 tahun dan mahir dalam pentadbiran dan pengurusan hartanah.

Abdul Khalid berkata, syarat yang dikenakan itu perlu kerana Selangor memiliki banyak aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Katanya, Kerajaan Negeri bersetuju pada dasarnya bagi pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat Dua dan kedua-dua Pentadbir dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya.

“Perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada Menteri secara rasmi melalui surat yang saya hantar pagi ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

air-syabas_MB1Katanya, Kerajaan Negeri memberikan sepenuh komitmen sejak 2009, dengan mengadakan perbincangan berterusan bersama KeTTHA serta agensi berkaitan seperti SPAN dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABBAS Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd, untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan.

Walau bagaimanapun, perbincangan atas dasar ‘willing buyer willing seller’ seperti yang ditetapkan KeTTHA gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu pada 31 Disember 2013.

Abdul Khalid berkata, punca utama kegagalan penyelesaian itu adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor.

“Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh melakukan penyusunan semula industri perkhidmatan air kerana syarikat konsesi berkenaan gagal memberikan perkhidmatan yang baik dengan tarif berpatutan walaupun mengaut keuntungan tinggi,” kata Abdul Khalid.

EZY

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kerajaan Selangor dan Pusat setuju ambil alih kawalan industri air mengikut Akta WSIA

Kerajaan Selangor komited untuk menyusun semula industri air seperti yang dihasratkan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang antara lain untuk membatalkan penswastaan industri air supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik dengan tarif yang munasabah.

Bagi tujuan murni ini, Kerajaan Selangor telah memberikan sepenuh komitmen dimana sejak 2009 perbincangan berterusan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta agensi yang berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah dilakukan.

air-syabas_MB1Pada masa yang sama, rundingan pengambilalihan empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd; juga telah dilakukan dimana kerajaan negeri telah menawarkan RM9.65 bilion untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan.

Walaubagaimanapun, perbincangan yang kami lakukan untuk pengambilalihan atas dasar “willing buyer willing seller” seperti yang ditetapkan oleh Kementerian telah gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu 31 Disember 2013.

Kami percaya punca utama kegagalan penyelesaian ini adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor.

Kementerian melalui surat bertarikh 9 September 2013 telah menyatakan hasrat untuk mengambilalih hal ehwal dan pengurusan air mengguna pakai Seksyen 114 WSIA – jika tiada penyelesaian pada 31 Disember 2013.

Sehubungan dengan itu, saya telah berbincang dengan YB Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semalam dan bersetuju untuk memberi kerjasama penuh kepada Kementerian dan Kerajaan Pusat mengguna pakai Seksyen 114 tertakluk dengan beberapa syarat; antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang Pentadbir syarikat konsesi air bagi menjalankan tentang pengurusan air. Ini adalah perlu kerana Negeri Selangor memiliki kebanyakan dari aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Dua Pentadbir yang dilantik adalah Presiden Kumpulan Darul Ehsan, Suhaimi Kamaralzaman yang juga seorang akauntan bertauliah dan mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan industri air di Malaysia. Calon kedua adalan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Cik Faekah Husin, yang juga peguam terlatih lebih daripada 20 tahun serta mahir dalam pentadbiran dan pengurusan hartanah.

Kerajaan Negeri secara dasarnya bersetuju untuk pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat 2 dan kedua-duan Pentadbir dipertanggungjawab untuk merealisaikannya.

Perkara-perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada YB Menteri secara rasmi melalui surat yang telah saya hantar pagi ini.

Kerajaan Selangor bersungguh-sungguh untuk menjayakan penyusunan semula industri perkhidmatan air serta pengambilahan syarikat konsesi air kerana adalah nyata syarikat konsesi telah gagal memberi perkhidmatan yang baik dengan tariff yang berpatutan walaupun telah mengaut keuntungan yang tinggi.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR