Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia kembali jalani latihan di akademi badminton

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia antara pemain yang kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini, yang sebelum ini ditutup susulan penularan wabak Covid-19 dikesan di lokasi berkenaan.

Beregu wanita muda negara meningkat naik, Pearly Tan-M Thinaah juga dilihat menyertai Zii Jia dan beberapa pemain lain dalam sesi latihan yang dijalankan di ABM sejak Selasa lepas.

Mereka kembali menjalani latihan selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif Covid-19 di ABM, baru-baru ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata sesi kali ini hanya melibatkan pemain yang terlibat dengan kejohanan dijadual berlangsung dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Sesi bermula dengan latihan ringan termasuk di gimnasium sebelum kita teruskan dengan rejim latihan yang lebih berat selepas ini,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook BAM.

Choong Hann menegaskan sesi latihan kali ini dijalankan dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat termasuk cuba mengehadkan jumlah pemain pada satu-satu masa seperti di gimnasium dalam usaha membendung penularan virus itu.

Enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April dan pada 23 April BAM mendapati lapan lagi pemain pelapis disahkan positif jangkitan virus semasa ujian saringan pada 20 April dan seorang lagi dikesan positif dalam saringan pada Sabtu lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Latihan acara beregu hanya secara kuarantin di ABM

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Pemain profesional bagi acara beregu yang mahu menjalani latihan perlu menyertai kem latihan secara kuarantin di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata tidak timbul persoalan persiapan ke kejohanan kelayakan Olimpik terjejas bagi pemain profesional kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah bersetuju untuk membenarkan pemain dari luar skuad kebangsaan untuk melakukan latihan di ABM.

Beliau turut menegaskan bahawa ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada masa ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya memberi kelonggaran kepada acara perseorangan di mana-mana fasiliti lain bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Untuk pemain profesional dan atlet elit, tidak timbul persoalan tidak boleh melakukan latihan bagi acara beregu, tetapi mereka perlu berada dalam gelembung sukan di ABM, bukannya kuarantin di rumah atau latihan di tempat lain supaya tidak wujud kemungkinan untuk jangkitan.

“Kita tidak boleh buat terlalu banyak pendekatan secara kuarantin tetapi Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berbesar hati untuk membenar pemain profesional untuk turut mengikuti latihan di ABM,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di premis sukan di sini semalam.

Beliau berkata pendekatan sama telah dilaksanakan ketika latihan program ‘Road to Tokyo’ pada tahun lalu.

Pada Sabtu pemain beregu campuran Goh Liu Ying menyatakan bahawa sukar bagi beliau dan pasangannya Chan Peng Soon untuk mengikuti SOP ketat dan latihan berasingan ketika ini dalam memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu yang dijangka membuka kempen kelayakan pada Terbuka Switzerland bermula 2-7 Mac ini, diikuti All England (17-21 Mac), manakala satu lagi kejohanan kelayakan, Terbuka Jerman yang dijadual pada 9-14 Mac, dibatalkan berikutan sekatan dikenakan negara itu untuk mengekang penularan Covid-19.

Peng Soon-Liu Ying berada di landasan terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo apabila menduduki ranking ketujuh dunia, dan menerusi ranking ‘Race to Tokyo’ Persekutuan Badminton Dunia (BWF), mengatasi satu lagi pasangan negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, yang menduduki tangga ke-11 dunia.

Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

– BERNAMA