Categories
AGENDA SUKANKINI

5,000 pemain bersaing dalam Liga Suparimau, cungkil bakat baharu bola sepak

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Usaha untuk memastikan tiada ketandusan bakat dalam arena bola sepak negara disambut baik oleh ibu bapa dengan penyertaan 5,000 pemain muda dalam Liga Suparimau yang bermula sejak 15 Jan lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata liga itu yang dilancarkan 30 Mac tahun lepas sewaktu beliau memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan, berjaya menarik minat 300 pasukan.

Katanya, pengajuran itu menunjukkan kejayaan Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui Institut Sukan Negara untuk terus memperkasakan Program Pengenalpastian Bakat (TID) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Saya ucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penganjur bersama, Maxim Event dan Boost Juice atas usaha ini yang membolehkan inisiatif pengenalpastian bakat sukan bola sepak yang lebih menyeluruh dapat dilaksana.

“Insya-Allah, dengan sinergi semua pihak, ikhtiar kita untuk memperkasa sukan negara pasti akan membuahkan hasil,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, hari ini beliau bersama-sama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell, membuat lawatan ke Stadium Panasonic Shah Alam untuk menyaksikan salah satu perlawanan Liga Superimau bagi melihat bakat barisan pemain muda beraksi.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Skuad Harimau Malaya divaksin bermula Isnin depan

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, boleh menarik nafas lega apabila sah akan menerima suntikan vaksin Covid-19 Isnin depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, 78 individu terdiri daripada pemain dan pegawai termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, dijangka menerima suntikan dos pertama Covid-19 di Dewan Seri Seroja di Putrajaya.

“Berkat usaha berterusan, kita dimaklumkan mereka sejumlah 78 orang pemain, jurulatih dan pegawai termasuk presiden, akan divaksinkan pada tarikh lebih awal.

“Maknanya mereka dapat selesaikan (suntikan dos kedua) sebelum mereka berangkat ke Dubai,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Sebelum itu, dikhabarkan tiada jaminan diberikan kepada skuad Harimau Malaya untuk menerima vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi melengkapkan baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan pasukan.

Skuad kebangsaan yang dijadual kembali berkumpul pada 16 Mei, dijangka berlepas ke Timur Tengah untuk menjalani kem latihan intensif, selain mengadakan beberapa aksi persahabatan di sana sebelum memulakan saingan Kumpulan G pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Malaysia akan berdepan tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata pihaknya tidak menerima maklum balas negatif daripada kumpulan pertama 264 atlet, yang menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Senarai 4,000 nama atlet, pegawai dihantar untuk terima vaksin awal

SHAH ALAM, 20 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menghantar senarai nama 4,000 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke pelbagai peringkat untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata senarai itu telah dihantar sendiri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Saya ada hantar senarai keutamaan kepada Khairy tapi dia kena melihat melalui ‘roll out’ dan peringkat awal ini akan diberikan kepada atlet dan pegawai yang mewakili negara dalam sukan di pentas dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA dan Sukan Asia,” katanya selepas melakukan pemantauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kemudahan sukan di Stadium Panasonic di sini hari ini.

Reezal Merican mengulas pertanyaan pemberita sama ada negara akan mengutamakan atlet Olimpik sebagai antara penerima awal vaksin Covid-19 menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula 26 Februari ini.

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi esok.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata penyokong bola sepak akan dibenarkan memasuki stadium bagi menonton perlawanan sukan itu hanya apabila situasi pandemik Covi-19 sudah beransur pulih dan terkawal.

“Kalau keadaan (Covid-19) sudah reda, saya akan kemukakan permohonan agar membenarkan penonton masuk mengikut SOP tertentu, mungkin ada cadangan ujian saringan dilaksanakan, (jika negatif) penonton akan dibenarkan masuk,” katanya.

Sementara itu, berhubung pematuhan SOP sektor sukan dan rekreasi, Reezal Merican berkata seramai 3,000 anak muda telah berdaftar dengan gerakan kesukarelawanan ‘Rakan Muda Sports Bubble Volunteer’ (RMSBV) setakat ini.

RMSBV akan memainkan peranan sebagai rakan advokasi dan diplomasi sukan, khususnya untuk membantu usaha pematuhan penganjur, peserta dan penonton atau orang awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua aktiviti sukan, rekreasi tidak bersentuh dibenar – KBS

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bermula hari ini.

Bagi penganjuran kejohanan, pertandingan atau perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan pula, ia terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton atau penyokong.

Selain itu, lebih banyak kelonggaran diberikan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) seperti sukan berpasukan serta penganjuran, kejohanan dan pertandingan tempatan mengikut model gelembung sukan dengan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah bersetuju dengan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi oleh kementerian berkenaan.

KBS menegaskan bahawa semua tatacara operasi piawai (SOP) dan prokotol am yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada pewartaan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), peraturan-peraturan berkaitan PKP, PKPB dan PKPP oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dari semasa ke semasa.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua penggiat dan pemain industri sukan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan sektor sukan dan rekreasi terus mendapat keyakinan dan kepercayaan kerajaan untuk memastikan kelangsungan industri sukan secara keseluruhan.

“Selaras dengan pengumuman tersebut, KBS telah mengemas kini dan menambah baik SOP sektor sukan dan rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP tersebut boleh diperolehi di laman web KBS melalui pautan http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi.

Berikut adalah butiran SOP terbaharu mengikut kawasan:

Semasa PKP
(i) Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal yang dijalankan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri adalah dibenarkan;

(ii) Aktiviti sukan dan rekreasi mestilah mematuhi penjarakan fizikal 1–3 meter;

(iii) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;

(iv) Pengoperasian fasiliti/ premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;

(v) Penganjuran kejohanan/ pertandingan/perlawanan persahabatan mengikut model Gelembung Sukan adalah terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton/ penyokong;

(vi) Program Latihan Berpusat secara kuarantin bagi pasukan- pasukan dalam MFL, MHL dan STL menggunakan model Gelembung Sukan (Sports Bubble: Home Based Training atau Camp Based Training);

(vii) Program Latihan Berpusat secara kuarantin yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri dilaksanakan dengan konsep “Camp Based Training”;

(viii) Aktiviti bersentuhan fizikal dan permainan/ perlawanan termasuk penganjuran kejohanan/ pertandingan adalah dilarang kecuali penganjuran Liga MFL, Liga MHL dan Liga STL yang telah mendapat kelonggaran khas daripada KBS;

(ix) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon adalah dilarang.

Semasa PKPB
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan;

(ii) Penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan dibenarkan dengan kelulusan KBS mengikut model Gelembung Sukan (Sports Bubble) yang telah ditetapkan;

(iii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;

(iv) Kehadiran penonton/penyokong adalah tidak dibenarkan untuk semua aktiviti sukan dan rekreasi;

(v) Pengoperasian fasiliti/premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;

(vi) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;

(vii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.

Semasa PKPP
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan dan penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan tanpa kehadiran penonton/penyokong;

(ii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;

(iii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan;

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Latihan acara beregu hanya secara kuarantin di ABM

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Pemain profesional bagi acara beregu yang mahu menjalani latihan perlu menyertai kem latihan secara kuarantin di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata tidak timbul persoalan persiapan ke kejohanan kelayakan Olimpik terjejas bagi pemain profesional kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah bersetuju untuk membenarkan pemain dari luar skuad kebangsaan untuk melakukan latihan di ABM.

Beliau turut menegaskan bahawa ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada masa ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya memberi kelonggaran kepada acara perseorangan di mana-mana fasiliti lain bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Untuk pemain profesional dan atlet elit, tidak timbul persoalan tidak boleh melakukan latihan bagi acara beregu, tetapi mereka perlu berada dalam gelembung sukan di ABM, bukannya kuarantin di rumah atau latihan di tempat lain supaya tidak wujud kemungkinan untuk jangkitan.

“Kita tidak boleh buat terlalu banyak pendekatan secara kuarantin tetapi Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berbesar hati untuk membenar pemain profesional untuk turut mengikuti latihan di ABM,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di premis sukan di sini semalam.

Beliau berkata pendekatan sama telah dilaksanakan ketika latihan program ‘Road to Tokyo’ pada tahun lalu.

Pada Sabtu pemain beregu campuran Goh Liu Ying menyatakan bahawa sukar bagi beliau dan pasangannya Chan Peng Soon untuk mengikuti SOP ketat dan latihan berasingan ketika ini dalam memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu yang dijangka membuka kempen kelayakan pada Terbuka Switzerland bermula 2-7 Mac ini, diikuti All England (17-21 Mac), manakala satu lagi kejohanan kelayakan, Terbuka Jerman yang dijadual pada 9-14 Mac, dibatalkan berikutan sekatan dikenakan negara itu untuk mengekang penularan Covid-19.

Peng Soon-Liu Ying berada di landasan terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo apabila menduduki ranking ketujuh dunia, dan menerusi ranking ‘Race to Tokyo’ Persekutuan Badminton Dunia (BWF), mengatasi satu lagi pasangan negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, yang menduduki tangga ke-11 dunia.

Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KBS komited bantu gerakan belia diterajui MBM

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan komitmen untuk membantu gerakan belia yang diterajui Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika sesi dialog dalam talian bersama ahli dewan tertinggi majlis itu semalam.

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan sesi dialog yang dipengerusikan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menyaksikan pengumuman pemberian dana bantuan pentadbiran kepada MBM dan Badan Induk Gabungan Kebangsaan masing-masing sebanyak RM1 juta.

“Saya dan KBS akan meneruskan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dalam memperkasa gerakan belia yang diterajui oleh MBM,” kata Reezal Merican.

Menurut KBS, dalam sesi dialog itu Reezal Merican membincangkan usaha dan peranan dewan tertinggi MBM yang terdiri daripada 19 badan induk Gabungan Belia Kebangsaan dalam pembangunan golongan tersebut di negara ini.

Turut menyertai dialog itu ialah Presiden MBM Jufitri Joha.

Reezal Merican turut menjelaskan senario semasa perkembangan belia di peringkat global yang terkesan akibat Covid-19 termasuk di Malaysia.

Beliau turut menekankan usaha semasa kerajaan dan KBS khususnya melalui Belanjawan 2021 yang antara lain menyentuh soal peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, peningkatan latihan dan kemahiran serta akses belia terhadap dana dan kemudahan yang disediakan kerajaan, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Reezal Merican turut membuka keterlibatan MBM dalam merangka Model Baharu Pembangunan Belia sebagai pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia 2015-2035.

Ini bagi membolehkan Dasar Belia sedia ada diperkasa dengan agenda mutakhir yang menyentuh hala tuju negara, peluang baharu untuk belia dalam suasana ekonomi dan teknologi baharu serta pembentukan masyarakat yang dipandu oleh belia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petunjuk positif penonton kembali ke stadium tahun depan

PETALING JAYA, 11 DIS: Kerinduan peminat bola sepak tanah air untuk kembali bersorak di stadium dan merasai kehangatan saingan Liga Malaysia (Liga-M) bakal terubat menjelang musim 2021.

Ia selepas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam konteks norma baharu yang akan diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengambil kira acara sukan dengan kehadiran penonton.

Menurut Reezal Merican, perkembangan menggembirakan itu turut melibatkan kesemua acara sukan, namun ia perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang bakal ditetapkan.

“Kalendar sukan 2021 tidak seharusnya menghadapi ‘butang henti’ lagi kerana rakyat akan hadapi cabaran. Suka atau tidak, kita akan hidup dengan Covid-19 dan ia tidak akan hilang.

“Kita sudah kemukakan (kehadiran penonton ke stadium) dan ia dalam pertimbangan dan saya nampak ada petunjuk kalendar sukan 2021 akan menyaksikan aktiviti dan kegiatan sukan kembali aktif,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini semalam.

Jelas beliau, perkara itu sedikit sebanyak akan memberi industri sukan ruang untuk kembali bernafas lebih baik selepas terjejas sepanjang tahun susulan penularan Covid-19.

Pada Rabu, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan satu SOP baharu sedang dirangka untuk membolehkan penyokong kembali ke stadium dengan jumlah tidak melebihi 10 peratus daripada kapasiti sesebuah stadium.

“Berita gembira, SOP sedang dibuat. Akan datang, bola sepak akan kembali kali ini dengan penyokong 10 peratus daripada kapasiti stadium,” kata Tunku Ismail dalam laman Instagram miliknya.

– BERNAMA